BUKIT MERTAJAM, 14 Ogos (Bernama) -- Wanita yang dipukul suami dalam sebuah lif di sebuah hospital swasta di Bandar Perda, di sini berharap pihak polis dapat mengambil tindakan segera ke atas lelaki berkenaan.
Wanita berusia 36 tahun itu yang telah membuat laporan polis selepas
kejadian itu Isnin lepas, berkata beliau bimbang suaminya, seorang
penjawat awam, akan bertindak lebih ganas.
Mangsa, yang bekerja di sebuah kilang di sini, berkata beliau
bercadang mengambil tindakan mahkamah ke atas suaminya kerana bertindak
keterlaluan.
Rakaman kamera litar tertutup yang dimuat naik dan disebarkan secara
meluas dalam Facebook dan YouTube itu menunjukkan suspek menumbuk
isterinya sehingga kepalanya terhantuk, memijak cermin mata isterinya
yang terjatuh, menampar dan menendang mangsa beberapa kali.
Insiden itu turut diperhatikan dua anak kecil pasangan itu yang masing-masing berusia empat dan lima tahun.
Menceritakan
kejadian itu di sini hari ini, katanya kejadian itu berlaku ketika
beliau bersama dua anaknya mahu pulang selepas melawat anak sulungnya
berusia sembilan tahun yang dimasukkan ke wad kerana demam panas.
"Kebetulan saya bertemu suami yang melawat anak sulung tetapi kami tidak
bertegur sapa. Ketika hendak pulang, suami turut mengikut kami masuk ke
dalam lif sambil meminta saya memujuk anak agar mengikutinya.
"Bagaimanapun, anak perempuan saya kata dia nak ikut saya dan tidak mahu mengikut ''daddy'' menyebabkan suami marah," katanya.
Mangsa, yang tinggal berasingan dengan suaminya berusia 36 tahun
itu, berkata suaminya bertindak menampar mukanya beberapa kali walaupun
dua anaknya melihat kejadian itu.
Beliau mendakwa suaminya sudah berkahwin dengan wanita lain pada
2011 dan bekerja di sebuah agensi kerajaan di Jerantut, Pahang.
Katanya beliau pernah meminta suaminya agar menceraikannya tetapi dia dicabar agar pergi ke pejabat agama.
"Saya
minta agar dia lepaskan saya dengan cara elok tetapi dia cabar saya
supaya ke pejabat agama. Susulan itu, saya mendapatkan bantuan peguam
untuk memfailkan permohonan cerai pada awal Julai lalu. Saya sudah tawar
hati dan sebelum ini pun saya yang menyara anak kerana dia tidak
memberi nafkah sejak Disember tahun lalu," katanya.
Adik mangsa, Mohd Yunus Ahmad Ramli, 31, yang memuatkan naik video tersebut, berharap pihak polis mengambil tindakan lanjut.
Ekoran kejadian itu, polis sedang mengesan suami mangsa yang menghilangkan diri dan didapati tidak hadir di tempat kerjanya.
No comments:
Post a Comment