Sambutan Aidilfitri dimulai dengan takbir pada malam 1 Syawal. Takbir
adalah satu sunnah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “...supaya
kamu membesarkan Allah (bertakbir) kerana mendapat nikmat
petunjuk-Nya...” (Surah Al-Hajj, ayat 37)
Pada malam Hari Raya,
kita disuruh bertakbir bagi memuji, mengagungkan dan bersyukur ke hadrat
Allah kerana telah mengekalkan kita di atas jalan petunjuknya, berada
di dalam nikmat iman dan berjaya melaksanakan perintah puasa. Lafaz
takbir mengandungi pengertian yang sangat penting dalam menyucikan hati
daripada sifat keji, terutama syirik, bongkak dan sombong. Umat Islam
disunatkan terus bertakbir bermula selepas Maghrib menjelang malam hari
raya pertama hingga imam selesai membaca khutbah selepas solat sunat
hari raya keesokannya.
Dalam ertikata sebenarnya, Aidilfitri
merupakan hari meraikan kejayaan bagi orang-orang yang telah
melaksanakan ibadah yang dituntut di bulan Ramadan iaitu ibadah puasa.
Mereka berhak bergembira menyambut Aidilfitri. Rasulullah (saw)
bersabda:
"Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ada dua
kegembiraan, gembira ketika hari berbuka (Aidilfitri) dan gembira ketika
bertemu Tuhanmu ".
Pastinya, cara umat Islam menyambut
kegembiraan dan kejayaan ini berbeza dari cara orang-orang bukan Islam
menyambut perayaan mereka. Umat Islam ada adab sopan dan peraturan yang
perlu dipatuhi sebagaimana kita menjalani hari-hari yang lain. Bagi umat
Islam, mereka dianugerahkan oleh Allah dua hari raya, iaitu Aidilfitri
dan Aidiladha.
Anas menceritakan: “ Ketika Rasulullah saw
berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh
penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah
menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu
Aidiladha dan Aidilfitri .” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)
Jelas di sini, Aidilfitri bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya.
Ia
juga bukanlah hari yang direka-reka oleh manusia. Ia merupakan anugerah
Allah sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang
taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan.
Dalam
kita menyambut 1 Syawal, sayugialah umat Islam semuanya mensyukuri
nikmat Allah dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam sambutan
Aidilfitri. Kita juga dilarang membazir dalam membuat persiapan untuk
menyambut Hari Raya. Bagaimanapun, kita disuruh memakai pakaian yang
paling baru di Hari Raya terutama ketika pergi ke masjid. “Paling baru”
tentulah tidak semestinya bermaksud yang baru dibeli setiap tahun. Jika
ada yang lama tetapi masih cantik dan sempurna digunakan tentulah sudah
memadai.
Dalam menghias rumah dan menyediakan makanan juga, umat
Islam dituntut agar tidak berlebih-lebihan, apatah lagi jika ada
saudara-saudara kita yang menyambut Hari Raya dalam keadaan serba
kekurangan.
Firman Allah bermaksud: "Janganlah kamu membazir.
Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan
dan syaitan itu kufur terhadap Tuhannya". – (Al-Israa': 26-27)
Perkara
terpenting dalam menghidupkan syiar Aidilfitri ini ialah
kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi dan mempereratkan silaturrahim
sesama ahli keluarga, sanak saudara, jiran-tetangga dan juga sahabat
handai.
Firman Allah bermaksud: "Takutilah Allah Subhanahu wa Taala yang kami memohon kepadaNya dan hubungkanlah silaturrahim.”
– (Surah An-Nisa': 1)
Kesimpulannya,
sambutlah Syawal dalam keadaan kita seperti di sepanjang Ramadan,
tunduk bertakwa dalam suasana beribadat kepada Allah. Hiasilah siang dan
malam Aidilfitri dengan tahlil, tahmid dan takbir. Mudah-mudahan
kehidupan kita sentiasa dalam keberkatan dan perlindungan Allah
Subhanahu Wata'ala. Amin
kredit : http://ustaznaim.blogspot.com
Monday, August 12, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment