LONDON 16 Ogos - Seorang pakar laser mata mendakwa, kadar
rabun dekat dalam kalangan orang muda semakin meningkat ekoran penggunaan
telefon pintar.
Pengasas Focus Clinics, David Allamby berkata, terdapat peningkatan sebanyak
35 peratus dalam jumlah orang mengidap rabun dekat atau myopia sejak pelancaran
telefon pintar pada 1997.
Beliau memberi amaran masalah tersebut akan meningkat sebanyak 50 peratus
dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Dr. Allamby berkata, separuh daripada rakyat Britain memiliki telefon pintar
dan menggunakannya selama dua jam sehari.
"Penggunaan komputer dan menonton televisyen, meningkatkan risiko merosakkan
penglihatan mereka secara kekal,'' katanya.
Satu kajian baharu mendapati, purata pengguna memegang dan melihat telefon
pada jarak 30 sentimeter dari muka mereka dengan sesetengah daripadanya
menggunakan alat telekomunikasi itu pada jarak lebih dekat iaitu 18
sentimeter.
Dr. Allamby berkata, menonton skrin dalam jarak dekat yang melampau
menyebabkan gen yang mengawal rabun dekat diaktifkan lebih awal berbanding usia
sepatutnya.
Rabun dekat biasanya tidak berlaku dalam kalangan individu berumur awal 20
tahun, tetapi kini ia boleh terjadi kepada mereka yang berusia 20-an, 30-an dan
40-an.
Dr. Allamby berkata, jika keadaan itu berterusan, beliau meramalkan 40 hingga
50 peratus mereka yang berusia 30 akan menghidap rabun dekat menjelang 2033
kerana telefon pintar dan gaya hidup di depan skrin. - AGENSI
No comments:
Post a Comment