Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Thursday, April 17, 2014

Karpal Singh maut terlibat dalam kemalangan ngeri


Screenshots_2014-04-17-05-55-37
GUA TEMPURUNG :Ahli Parlimen…., Karpal Singh maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 305 lebuhraya utara selatan menghala ke utara kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.
IMG-20140417-WA0004
Karpal yang dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang kerana perlu menghadiri satu kes mahkamah mati di tempat kejadian akibat cedera parah.
Kemalangan berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Alphard yang dinaiki karpal melanggar sebuah lori yang cuba menukar laluan tanpa memberi isyarat.

Turut terkorban ialah pembantu beliau, Michael Cornandez.
Screenshots_2014-04-17-05-54-15
Walaubagaimanapun, pemandu kenderaan, pembantu rumah serta anak beliau, Ram… terselamat.

Sunday, April 6, 2014

Nenek mati dalam penyejuk beku


California: Sebuah hospital berdepan saman apabila pesakitnya yang juga nenek berusia 80 tahun mati selepas dimasukkan ke dalam penyejuk beku bilik mayat secara tidak sengaja.
Keluarga Maria de Jesus Arroyo memfailkan saman terhadap hospital di California itu selepas wanita berkenaan tersilap diisytiharkan meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk berkenaan.
Kesilapan itu hanya disedari apabila kakitangan hospital yang menyediakan mayatnya untuk proses pengebumian melihatnya dalam keadaan lebam pada muka dipercayai akibat mangsa cuba keluar dari peti sejuk itu.

Laporan pakar patologi menunjukkan dia sebenarnya masih hidup ketika dimasukkan ke situ namun tersedar dan berusaha keluar. Akibatnya Maria mati kesejukan.

Suami dan lapan anak Maria pada mulanya memfailkan saman terhadap rumah mayat yang mengendalikan upacara pengebumian itu sejurus selepas kematiannya pada Julai 2010.

Hospital terbabit bagaimanapun menafikan dakwaan itu. - Agensi
Atlet didakwa manipulasi gambar 'selfie' Obama
Atlet didakwa manipulasi gambar 'selfie' Obama  
David Ortiz mengambil gambar ‘selfie’ bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) dan memuat naik ke laman mikro Twitternya. - Foto BBC


NEW YORK – AMERIKA SYARIKAT. Rumah Putih membantah tindakan seorang atlet besbol, David Ortiz yang mengambil gambar ‘selfie’ bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) dan memuat naik ke laman mikro Twitternya.
Memetik laporan BBC, Rumah Putih berkata, imej Presiden tidak boleh digunakan untuk keuntungan komersil.
Bagaimanapun, Ortiz  menafikan dakwaan bahawa beliau telah dibayar oleh Samsung untuk mengambil gambar tersebut seperti dilapor Alpa Patel.

Saturday, January 25, 2014

Juruterbang diserang sakit jantung


IOWA - AMERIKA SYARIKAT. Penumpang pesawat United Airlines Boeing 737 berhadapan detik cemas apabila juruterbang pesawat berkenaan diserang sakit jantung.

Dipetik laporan Daily Mail, bagaimanapun, beliau bernasib baik selepas diselamatkan oleh seorang jururawat Linda Alweiss dari Camarillo, California yang ketika itu dalam perjalanan dari Des Moines ke Denver bersama suami dan anak perempuannya.

"Saya tampil membantu selepas kru pesawat membuat pengumuman jika ada kalangan penumpang yang mempunyai latihan perubatan," katanya.

Alweiss kemudiannya dibantu seorang lagi wanita, Amy Sorenson untuk memberikan rawatan kecemasan.

Pesawat itu bagaimanapun mendarat dengan selamat di Ohama selepas pembantu juruterbang mengambil alih penerbangan dan meneruskan perjalanan menuju ke Denver keesokan harinya. 

Teratai paling kecil di dunia hilang


Teratai paling kecil di dunia hilang  
Teratai paling kecil di dunia ini boleh mencecah nilai lumayan.

LONDON - Salah satu spesies teratai air terkecil di dunia yang semakin pupus dilaporkan dicuri dari Royal Botani Garden di Kew, United Kingdom.

Menurut jurucakap polis Nymphaea Thermarun, bunga itu didakwa dicuri dari sebuah rumah kaca Princess of Wales Conservatory, barat daya ibu negara.

"Pegawai kami dimaklumkan, tumbuhan itu mungkin digali atau dikail dari atas kolam dari jarak jauh," katanya kepada AFP.

Menurutnya, nilai bungan terbabit dianggarkan mencecah ribuan pound memandangkan spesies bunga itu sukar diperoleh dan ianya tersenarai sebagai bunga perlindungan. 

Drama tebusan cinta


Drama tebusan cinta

SANYA - Gara-gara perkahwinan ditentang keluarga, seorang buruh binaan di China sanggup mengheret teman wanitanya ke atas bumbung dan mengacukan pisau pemotong daging ke leher mangsa.

Media melaporkan, suspek dikenali sebagai Lin, 32, turut mengugut membunuh mangsa kerana mendakwa mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

"Drama tebusan berlangsung selama lima jam. Selain itu, suspek juga bertindak menanggalkan pakaian dan mengarahkan mangsa melakukan perkara sama dengan tujuan ingin memalukan mangsa di hadapan jiran yang sedang melihat mereka," menurut laporan media.

Menurut Daily Mail, selepas lima jam, suspek meminta sebuah kereta untuk melarikan diri bersama teman wanitanya, namun cubaannya gagal apabila dia ditahan anggota polis dan orang awam.

12 lelaki rogol seorang wanita


12 lelaki rogol seorang wanita  
Kesemua 12 perogol itu ditahan di balai polis untuk tindakan siasatan.

KOLKATA - Seramai 12 lelaki bertindak kejam apabila merogol seorang wanita selepas menerima arahan daripada Majlis Kampung sebagai hukuman kerana berlaku sumbang.

Polis, C Sudhakar berkata kepada AP, hukuman itu dilakukan di kawasan kampung di Benggala Barat, India selepas gadis berusia 20 tahun itu disabit kesalahan kerana ditemui bersama lelaki berlainan agama.

"Kejadian itu terbongkar selepas ibu bapa wanita berkenaan memaklumkan, mereka tidak mampu membayar denda 25,000 rupee (RM 1,300) yang dikenakan berhubung kesalahan itu," katanya.




Monday, November 25, 2013

Budak tersepit di jeriji


Budak tersepit di jeriji 
 Wang dipercayai tergelincir sebelum tersangkut


GUANGXI ZHUANG - CHINA - Tindakan seorang kanak-kanak tiga tahun yang ingin keluar mencari ibu bapanya mengundang padah apabila kepalanya tersangkut pada jeriji besi yang dipasang pada tingkap di kediamannya di Guilin, China.

Bapanya, Lian, 44, berkata Chyou Wang sering ditinggalkan sendirian ketika dia dan isterinya bekerja.

"Biasanya dia hanya tidur dan menonton televisyen. Dia mungkin bosan dan ingin mencari kami. Kami tidak pernah menyangka kejadian begini akan berlaku," katanya dipetik - Daily Mail

Kanak-kanak itu akhirnya diselamatkan anggota bomba selepas pejalan kaki terdengar tangisan dan mendapati dia tergantung pada jeriji tingkap di tingkat empat rumahnya.

Tindakan pantas selamatkan isteri


Tindakan pantas selamatkan isteri  
Lelaki tersebut memaut kaki isterinya kira-kira 10 minit sebelum bantuan tiba.


BEIJING - CHINA. Tindakan pantas seorang suami berjaya menyelamatkan isterinya yang cuba terjun dari balkoni tingkat empat sebuah apartmen di Changjiang, selatan Pulau Hainan.

Menurut lelaki itu, isterinya melompat secara tiba-tiba dari balkoni selepas berlaku pertengkaran kecil.

"Saya sempat memaut salah satu kakinya hingga menyebabkan dia berada dalam keadaan tergantung kira-kira 10 minit sebelum bantuan tiba. Mujur dia tidak meronta ketika itu," katanya dalam laporan DailyMail.

Detik cemas tersebut berakhir selepas wanita itu diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.

Wanita itu kemudiannya dihantar ke hospital untuk rawatan.

Thursday, October 3, 2013

Presiden Iran dibaling kasut


Presiden Iran dibaling kasut  
Kasut yang dibaling ke arah Hassan dilaporkan tersasar dan gagal mengenai beliau.

TEHERAN - IRAN. Kereta yang membawa Presiden Iran Hassan Rohani telah dibaling kasut oleh individu tidak dikenali ketika beliau meninggalkan Lapangan Terbang Mehrabad selepas kembali dari menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, semalam.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan kasut tersebut gagal mengenai beliau yang ketika itu sedang melambaikan tangan ke arah penyokongnya.

Kejadian itu dipercayai berlaku berikutan sekumpulan penunjuk perasaan berang kerana Hassan berbual selama 15 minit bersama Presiden AS Barack Obama untuk pertama kali, malam kelmarin selepas hubungan antara kedua-dua negara terbabit dilaporkan dingin sejak lebih 30 tahun lalu.

Khamis lalu, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif turut mengadakan pertemuan bersama wakil beberapa negara termasuk Setiausaha Negara AS, John Kerry untuk berbincang mengenai program nuklear yang dibangunkan negara tersebut.

Difahamkan laporan dipetik dari AFP, bekas Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad juga pernah menerima nasib yang sama ketika beliau mengadakan lawatan ke Mesir, awal tahun lalu.

Budak maut disambar buaya


MEXICO - Seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun meninggal dunia selepas dibaham buaya yang muncul di kampungnya selepas ribut tropika Ingrid dan Manuel membadai selatan negara itu.

Jurucakap Pegawai Perlindungan Alam Sekitar dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 28 ekor buaya ditangkap di bandar itu sejak dua minggu lalu, laporan dipetik dari AFP.

"Ketika kejadian, kanak- kanak malang itu sedang bermain di sungai di selatan negeri Oaxaca bersama abangnya berusia 13 tahun sebelum buaya sepanjang empat meter menyambar kepala dan mengheret mangsa.

"Buaya itu ditangkap dan kini diletakkan di taman negara di bawah perlindungan pengawal pantai Oaxaca," katanya.

Sunday, September 8, 2013

Wanita mengaku bakar teman lelaki


Wanita mengaku bakar    teman lelaki  
Rumah Julia Rivera lokasi dia mencurah minyak jagung panas ke atas teman lelakinya. Gambar kecil, Julia Rivera.
 
Hartford: Seorang wanita di Connecticut menyerah diri kepada polis awal pagi semalam selepas mengaku membakar teman lelakinya sehingga mati, namun dia bernasib baik, kerana lelaki terbabit terselamat.

Julia Rivera, 47, dikenakan dakwaan menyerang, melakukan tindakan berbahaya secara melulu, mengingkari arahan perlindungan dan salah laku oleh pihak polis.
Wanita terbabit sebelum itu menghubungi talian kecemasan 911, pada jam 12.30 tengah malam untuk membuat laporan bahawa dia membunuh teman lelakinya. Rivera juga meminta polis menahannya kerana membakar teman lelakinya hingga mati, tanpa menyedari bahawa lelaki terbabit terselamat tetapi mengalami 70 peratus kesan melecur.

Apabila pegawai polis tiba di lokasi kejadian, mereka melihat Rivera menunggu di luar rumahnya, bersedia untuk dibawa pergi.

Mengaku bakar

“Tangkap saya. Saya yang melakukannya. Saya bakar dia hidup-hidup,” katanya kepada mereka.
Apa yang tidak diketahui Julia ialah teman lelakinya masih hidup.

Akhbar The Hartfort melaporkan dia ditemui di dalam sebuah rumah beberapa blok dari situ dan segera dikejarkan Pusat Kebakaran Connecticut di Hospital dengan 70 peratus tubuhnya melecur.

Polis berkata, Rivera mencurah teman lelakinya dengan minyak jagung panas dari kuali di rumahnya.
AGENSI

Empat Pencuri Sumbat Kerbau Dalam Perodua MYVI



Sekumpulan empat lelaki yang mencuri kerbau bertindak kejam apabila memenggal kepala haiwan dan bahagian badan lain sebelum menjual dagingnya di sekitar Kemaman.
Kumpulan membabitkan lelaki berusia 20-an terbabit yang dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak awal Ramadan lalu turut bertindak agresif apabila melakukan kekejaman terhadap haiwan berkenaan sebaik ia ditangkap sebelum memasukkan bahagian badan yang dipotong ke dalam kereta.
Namun, kekejaman kumpulan lelaki yang dipercayai sudah mengaut keuntungan besar hasil daripada kegiatan itu berakhir apabila mereka ditahan selepas gagal melarikan diri ketika kenderaan dinaiki dikejar anggota polis, awal pagi semalam.
Kereta Perodua Myvi dinaiki kumpulan terbabit terserempak kenderaan polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di Kampung Padang Kubu, kira-kira jam 1.30 pagi.
Berikutan curiga dengan kenderaan terbabit yang dipercayai sarat dengan muatan, anggota polis mengarahkan kenderaan itu berhenti, namun ia tidak diendahkan sebelum melarikan diri ke Chukai kira-kira 50 kilometer dari tempat kejadian.

Menyedari kenderaan dinaiki diekori polis, kumpulan terbabit melarikan diri melepasi sempadan Kemaman sebelum memasuki Chendor, Pahang.
Bagaimanapun, usaha menahan kumpulan terbabit gagal menyebabkan anggota polis berkenaan mengekori kenderaan itu sebelum kenderaan terbabit yang kehilangan arah tersadai sebaik tiba di kawasan berpaya berhampiran Sungai Baging, Kuantan, kira-kira 20 kilometer dari Chendor.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata sebaik tersadai, empat lelaki terbabit cuba melarikan diri sebelum dua daripada mereka ditahan di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan dalam kenderaan itu, kami mendapati beberapa bahagian badan kerbau yang belum dilapah dianggarkan seberat lebih 100 kilogram disembunyikan di tempat duduk belakang dan soal siasat mendapati bahagian badan haiwan berkenaan haiwan yang dicuri di kawasan ladang Ketengah Jaya,” katanya.
Menurutnya, dua lelaki dari Kampung Limbong, Chukai itu disiasat mengikut Seksyen 29(1) Kanun Keseksaan kerana gagal memberi keterangan mengenai barangan dibawa dan dituduh di Mahkamah Majistret Kemaman, pagi semalam.

Thursday, August 29, 2013

Curi gerudi, bapa tembak anak


NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Seorang bapa nekad menembak anak lelakinya kerana ditangkap mencuri di salah sebuah kedai keperluan dan peralatan rumah, semalam.

Remaja berusia 17 tahun itu mengalami luka di bahagian perut selepas ditembak.
 
Laporan news.com.au yang dipetik berkata, remaja berkenaan, Quasaun Smalls telah mencuri satu mata gerudi dari Home Depot di Long Island City.
 
Menurut laporan, kejadian bermula apabila bapa mangsa, Robert Smalls, 39, menjadi berang apabila mengetahui anaknya dilepaskan oleh pihak polis dan hanya menerima "desk apperance ticket" iaitu notis peringatan bertulis untuk hadir ke mahkamah tempatan atas kesalahan yang dilakukan.
 
Sedangkan, bapa mangsa mahu anaknya 'menginap' semalaman di dalam penjara sebagai pengajaran.
 
Dek kerana tidak berpuas hati, ketika mangsa kembali ke rumah keesokkan harinya, berlaku pertengkaran antara kedua beranak itu.
 
Pertengkaran itu berakhir apabila si bapa yang juga bertugas sebagai seorang warden penjara mengeluarkan pistol 9mm miliknya lalu menembak anaknya.
 
Menurut laporan itu juga, jiran turun mengakui mendengar suara teriakan yang diikuti dengan bunyi tembakan.
 
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital dan bagaimanapun, mangsa dilaporkan stabil dan akan pulih segera.
 
Sementara itu, bapa mangsa terus menghubungi pihak polis sebaik menembak anaknya dan ditahan untuk tindakan selanjutnya.
 
Bapa mangsa didakwa kerana menyerang dan memiliki senjata api.

Tuesday, August 27, 2013

Sembunyi di ruang tayar pesawat


Remaja itu memasuki ruang tayar selepas berlari ke tengah landasan di sebuah lapangan terbang Nigeria.
Penumpang dan kru kapal terbang memaklumkan juruterbang bahawa seorang budak lelaki berlari ke arah pesawat itu yang bersedia untuk berlepas Sabtu lalu dari Benin City di selatan, kata jurucakap Arik Airline, Ola Adebanji.


Juruterbang kemudian memaklumkan agensi dan pihak berkuasa penerbangan negara itu, katanya.

Insiden itu memperkuat kebimbangan berhubung keselamatan di lapangan terbang Nigeria yang menghadapi kebangkitan puak militan agama yang sebahagian besarnya dibendung di bahagian timur laut negara itu selepas perintah darurat dikuatkuasakan.

Penerbangan singkat

Kami bimbang dengan kecuaian berterusan dari segi kawalan keselamatan di lapangan terbang, kata pengarah urusan Arik Airline, Chris Ndulue.
Negara Afrika Barat itu selain menghadapi cabaran keselamatan juga mempunyai sejarah bencana besar sektor penerbangan.

Meskipun budak lelaki itu mungkin bersembunyi di ruang berkenaan, juruterbang masih memilih untuk meneruskan penerbangan, kata jurucakap Agensi Penerbangan Persekutuan Nigeria (FAAN), Yakubu Dati.

Sejurus pesawat berlepas, pasukan keselamatan FAAN sekali lagi melakukan pemeriksaan tetapi tidak menemui sebarang perkara luar biasa di landasan, kata Dati.

Apabila pesawat tiba di Lagos, ibu kota komersial Nigeria, budak lelaki berusia 13 atau 14 tahun itu melompat ke tanah daripada tayar dan ditahan kakitangan Arik, kata Adebanji.

Katanya, remaja itu mungkin terselamat kerana penerbangan singkat dan pesawat mungkin tidak sampai 25,000 kaki (7,620 meter). - AP

Monday, August 26, 2013

Norshila Amin disambar api



PENYANYI yang popular dengan lagu Bambu Ramba, Norshila Amin, 49 ditimpa kemalangan apabila bahagian kiri tubuhnya disambar api ketika sedang sibuk memasak di dapur, Sabtu lalu.

Menurut Shila Amin, kejadian itu berpunca dari tong gas yang bocor di rumah anak perempuannya, Nurrul Admiena Norrizan.

Anggota kiri badannya termasuk wajah, tangan dan kaki melecur.

"Ketika itu saya sibuk nak masak rendang bersempena dengan majlis rumah terbuka di rumah Admiena dan tidak sedar pula yang tong gas terbocor.

"Tiba-tiba sahaja ketika mahu mencapai barang masakan yang berdekatan dengan tong gas itu, api terus menyambar sehingga membuatkan muka dan badan saya melecur," katanya dipetik dari mStar Online.

Shila juga akui rasa sakit di bahagian bibir dan wajah masih terasa meskipun sudah seminggu kejadian itu berlaku.

"Kalau nak ikutkan memang rasa sakit sangat terutama pada bahagian bibir dan wajah yang semakin tegang gara-gara melecur. Malah kening saya pun dah tidak ada.

"Apapun saya menunggu wajah ini sembuh dahulu sebelum mendapatkan khidmat nasihat daripada rakan saya yang merupakan seorang pakar kecantikan," ujarnya

Sunday, August 25, 2013

Remaja bermadu kasih dalam kereta


Pasangan remaja bermadu kasih dalam kereta  
Polis ketika membuat pemeriksaan terhadap pasangan terbabit.
 
 
KULIM - 'Kami tak buat apa-apa encik. Saya dan teman wanita saya sedang berbincang tentang pelajaran.'

Itulah alasan sepasang kekasih yang ditemui berbaring di dalam kereta mereka di Taman Tasek Kulim ketika polis membuat rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pasangan itu masih menuntut di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini.

Menurutnya, ketika polis membuat rondaan, kelihatan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan di tempat letak kereta taman berkenaan kira-kira jam 3.30 pagi.

"Apabila menghampiri kenderaan terbabit, polis mendapati kedua-dua pasangan itu sedang berbaring di dalam kereta.

“Terkejut dengan kehadiran polis, suspek perempuan terus bangun manakala teman lelakinya keluar dari kereta dalam keadaan kedua tangan memegang seluar yang dipakainya," katanya.

Ketika ditanya pada suspek lelaki, apa yang sedang mereka lakukan dalam kereta dan berbaring dalam keadaan gelap, pelajar tahun akhir itu memberi alasan bahawa mereka sedang berbincang tentang peperiksaan yang akan mereka duduki tidak lama lagi.

"Kami belajar di IPTA sama. Saya sekarang ini belajar dalam semester akhir manakala teman wanita saya belajar di semester tiga.

"Keluarga kami sudah tahu kami berkawan sejak dulu lagi,” katanya.

Ghuzlan berkata, setelah membuat pemeriksaan, polis mendapati pasangan itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Polis akhirnya mengarahkan mereka beredar agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.

"Sedih saya lihat perlakuan anak-anak muda sekarang ini, ibu bapa diharap memantau anak dalam apa keadaan sekalipun,” katanya.

Jutawan Arab Saudi pecat Pengarah saluran TV



Putera Alwaleed Talal  
Putera Alwaleed Talal

RIYARD - ARAB SAUDI. Jutawan Arab Saudi Putera Alwaleed Talal memecat pengarah saluran televisyen Islam selepas mengaku menjadi ahli Ikhwan Muslimin di Kuwait.

Menurut Press TV, Putera Alwaleed memecat Pengarah Televisyen Al-Resalah, Tarek Al-Suwaidan, selepas pengakuan itu dijelaskan.

Stesen Al-Resalah kepunyaan Kumpulan Rotana Alwaleed itu merupakan syarikat konglomerat media terbesar Saudi berpangkalan di Riyadh.

Difahamkan Al-Suwaidan, seorang warganegara Kuwait, kini dikecam sejak penyingkiran Presiden Mesir Mohamed Mursi.

Komplot jahat Yahudi cemari al-Aqsa didedah


al-Aqsa 
 Penduduk Yahudi berterusan cuba untuk mencemari kesucian Masjid al-Aqsa.

BAITULMAQDIS - Yayasan Al-Aqsa bagi Pembiayaan dan Warisan membongkar agenda jahat golongan Yahudi yang mahu mencemari kesucian Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Menurut yayasan itu, pemimpin Yahudi cuba memujuk pihak berkuasa Israel menyertai sebuah persatuan rasmi bertujuan untuk membina saumaah (pusat keagamaan dan tempat ibadat orang Yahudi) di tenggara masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu.

Penyelaras media Yayasan Al-Aqsa, Mahmoud Abu Atta memaklumkan pendaftaran persatuan rasmi yang akan mengendalikan pembinaan saumaah tersebut didakwa telah diluluskan.

"Perkara ini dirancang sejak tujuh bulan lalu selepas ribuan penganut menggesa pembinaan tempat ibadat tersebut yang dilihat sebagai satu tindakan biadab oleh mereka untuk menguasai al-Aqsa," jelasnya dipetik dari laporan PNN.

Awal bulan lalu, Mufti Sheikh Mohammad Hussein memberi amaran keras berhubung akibat yang akan ditanggung oleh rejim Zionis sekiranya mereka meneruskan rancangan membahagikan Masjid al-Aqsa.

Menurut Sheikh Mohammad, jika agenda jahat Israel itu berjaya diteruskan beliau khuatir ia akan menerima nasib sama seperti Masjid Ibrahimi di Hebron, sekali gus mencetuskan perang serantau.

Susulan daripada itu, beliau menggesa negara Islam dan rantau Arab bersatu untuk menyelamatkan Masjid al-Aqsa tersebut.

Siapa dalangi perang saudara Syria?




Siapa dalangi perang saudara Syria?  
Serangan gas beracun meragut ribuan nyawa dan menjadi mangsa sejak lebih 22 bulan di Syria.

DAMSYIK - Serangan gas beracun di pinggir Damsyik bukan perkara baru sejak pergolakan perang saudara mencecah lebih 22 bulan.

Namun, serangan kelmarin, paling dahsyat selepas lebih 1,300 maut di Ain Tarma, Zamalka dan Jobar dalam tempoh satu malam.

Presiden rejim Basyar Al-Assad dan Tentera Pembebasan Syria (FSA) saling tuduh menuduh dan banyak negara dunia pula menjadi ‘batu api’ dalam tuduhan itu.

Liga Arab menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera menyiasat serangan itu yang disahkan berlaku di timur Gutah iaitu kawasan puak Sunni yang dikuasai FSA.

Jurucakap Majlis Keselamatan PBB, berkata, bagaimanapun, dakwaan serangan itu masih belum disahkan.

Di sebalik konflik itu, Amerika Syarikat (AS) dilihat mengambil langkah tunggu dan lihat.

Pegawai tertinggi tentera AS, Jeneral Martin Dempsey sejak awal lagi memberi ‘ugutan palsu’ kepada tentera rejim yang mereka tidak teraga-agak untuk memusnahkan tentera udara Syria namun sehingga kini, masih tiada sebarang  tindakan atau serangan dilakukan.

Namun, mengapa AS berminat untuk ‘membantu’ FSA? Adalah mereka mahu menjajah Syria sama seperti di Libya ketika usaha penggulingan pemimpin kuku besi Muammar Gaddafi di mana ketika penentangan rejim, AS menghantar tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang kononnya untuk ‘membantu’ rakyat Libya namun sehingga kini, Nato terus kekal di Libya.

Ironinya, Syria adalah pintu terakhir Israel dan jika Syria dan Mesir jatuh ke tangan pemimpin Islam, Israel dikatakan akan 'hancur' kerana Syria bersempadan dengan Israel dan apa yang ditakuti AS adalah kebangkitan Islam di Timur Tengah.

Rejim Bashar yang kebanyakan dari puak Syiah pula disifatkan Israel Friendly dan FSA adalah dari puak Sunni yang sedia maklum musuh utama Zionis sekutu AS.

Jika puak Sunni mengusai Syria dan bergabung dengan rakyat Mesir yang majoritinya Sunni, maka Israel boleh berkubur sekali gus merencatkan usaha AS untuk menguasai negara di Timur Tengah.