Sekumpulan
empat lelaki yang mencuri kerbau bertindak kejam apabila memenggal
kepala haiwan dan bahagian badan lain sebelum menjual dagingnya di
sekitar Kemaman.
Kumpulan membabitkan lelaki berusia 20-an terbabit yang dipercayai
aktif melakukan kegiatan itu sejak awal Ramadan lalu turut bertindak
agresif apabila melakukan kekejaman terhadap haiwan berkenaan sebaik ia
ditangkap sebelum memasukkan bahagian badan yang dipotong ke dalam
kereta.
Namun, kekejaman kumpulan lelaki yang dipercayai sudah mengaut
keuntungan besar hasil daripada kegiatan itu berakhir apabila mereka
ditahan selepas gagal melarikan diri ketika kenderaan dinaiki dikejar
anggota polis, awal pagi semalam.
Kereta Perodua Myvi dinaiki kumpulan terbabit terserempak kenderaan
polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di Kampung Padang Kubu,
kira-kira jam 1.30 pagi.
Berikutan curiga dengan kenderaan terbabit yang dipercayai sarat
dengan muatan, anggota polis mengarahkan kenderaan itu berhenti, namun
ia tidak diendahkan sebelum melarikan diri ke Chukai kira-kira 50
kilometer dari tempat kejadian.
Menyedari
kenderaan dinaiki diekori polis, kumpulan terbabit melarikan diri
melepasi sempadan Kemaman sebelum memasuki Chendor, Pahang.
Bagaimanapun, usaha menahan kumpulan terbabit gagal menyebabkan
anggota polis berkenaan mengekori kenderaan itu sebelum kenderaan
terbabit yang kehilangan arah tersadai sebaik tiba di kawasan berpaya
berhampiran Sungai Baging, Kuantan, kira-kira 20 kilometer dari Chendor.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat,
berkata sebaik tersadai, empat lelaki terbabit cuba melarikan diri
sebelum dua daripada mereka ditahan di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan dalam kenderaan itu, kami mendapati beberapa bahagian
badan kerbau yang belum dilapah dianggarkan seberat lebih 100 kilogram
disembunyikan di tempat duduk belakang dan soal siasat mendapati
bahagian badan haiwan berkenaan haiwan yang dicuri di kawasan ladang
Ketengah Jaya,” katanya.
Menurutnya, dua lelaki dari Kampung Limbong, Chukai itu disiasat
mengikut Seksyen 29(1) Kanun Keseksaan kerana gagal memberi keterangan
mengenai barangan dibawa dan dituduh di Mahkamah Majistret Kemaman, pagi
semalam.
No comments:
Post a Comment