Tuesday, August 13, 2013

Hans, Neelofa rasai debaran sebagai kekasih

 


HARI Raya Aidilfitri kali ini adalah antara saat yang paling sesuai bagi pasangan pelakon utama filem Lemak Kampung Santan, Neelofa dan Hans Isaac mengeratkan lagi hubungan baik di antara mereka.
Neelofa tidak menafikan menggunakan peluang beraya di Hari Lebaran baru-baru ini bagi saling kenal mengenali antara keluarganya dan pelakon kacak tersebut.
Malah, pelakon jelita itu secara jujur berkata, Hans turut pernah mengunjungi sanak keluarganya di Kelantan sewaktu perayaan perayaan yang disambut umat Islam setahun sekali itu.
"Sewaktu Hari Raya Aidilfitri dua tahun lepas, Hans pernah datang beraya di rumah keluarga saya di Pasir Mas dan Kota Bahru, Kelantan yang mana itulah kali pertama kami beraya bersama.
"Saya mengenali Hans dua tahun lebih yang mana ketika itu kami belum dipertemukan berlakon bersama-sama dalam Lemak Kampung Santan yang menjalani penggambarannya selepas itu.
"Sebab itu, tidak timbul isu mengatakan kami baru kenal secara lebih rapat hanya selepas berlakon dalam filem ini semata-mata," katanya kepada Hits sewaktu sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Gosip hubungan cinta antara pasangan itu timbul bukan baru, sebaliknya ia mula bertiup kencang terutama sewaktu penggambaran Lemak Kampung Santan dijalankan dua tahun lalu.
Meskipun enggan mengulas lanjut gosip hubungan intim itu, Neelofa berkata dia berasa serasi dan teruja sewaktu menjalani penggambaran filem ketiga arahan Hans tersebut.
Antara adegan-adegan romantis antaranya dan Hans yang banyak memerlukan penghayatan serta komitmen yang jitu, apatah lagi lokasi penggambarannya pula diadakan di tempat yang mencabar.
"Salah satu adegan yang mencabar antara saya dengan Hans adalah dalam adegan romantik yang diadakan di tingkat 80 bangunan berkembar KLCC pada sekitar November 2011.
"Tempat itu boleh dikatakan eksklusif kerana tidak ramai orang yang dibenarkan berada di situ melainkan atas sebab-sebab tertentu yang mana banyak cabarannya sewaktu di sana.
"Misalnya soal tiupan angin dan cuaca yang tidak menentu di kawasan yang tinggi seperti itu sehingga memaksa kami semua memakai tali pinggang demi menjaga keselamatan.
"Saya rasa adegan itu adalah yang paling romantik sekali dalam filem itu," ujarnya yang teruja menceritakan tentang filem yang ditayangkan mulai 8 Ogos lalu di pawagam seluruh negara.
Jelas Neelofa pengalaman berlakon dengan Hans bukan sahaja baru baginya, malah dia turut senang bekerja bersama-samanya yang juga merupakan penerbit serta pengarah filem tersebut.
Walaupun telah mengenali Hans sebelum terbabit dalam Lemak Kampung Santan, dia seperti juga pelakon lain terpaksa melalui sesi ujibakat sebelum berlakon dalam filem itu.
"Saya melakonkan watak Tiqa dan Hans pula watak Ridzuan yang mana watak saya meliputi hampir 70 peratus dalam filem ini. Saya seronok berlakon dan bekerja dengan Hans.
"Ini kerana, dia seorang yang matang dan amat mementingkan kualiti dalam hasil kerjanya. Hans juga amat mementingkan keselesaan para pelakon dalam filem ini semasa penggambarannya.
"Biarpun sudah mengenalinya tetapi saya juga telah melalui sesi ujibakat sebelum diterima berlakon dalam filem ini. Mungkin watak pasangan kekasih itu sesuai untuk kami," jelasnya.
Sempena sambutan hari raya ini, seperti biasa Neelofa telah beraya di rumah sanak keluarganya di Alor Setar, Kedah selama kira-kira tiga hari sebelum pulang ke Pasir Mas, Kelantan.

No comments:

Post a Comment

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Shafee Live