Laura
Laura didakwa menjadi lelaki paling tua di dunia kerana berusia 123 tahun selain masih sihat seperti lelaki dewasa.


Seorang lelaki Bolivia yang dilahirkan dalam tahun 1890 dan masih bertenaga, didakwa menjadi lelaki paling tua di dunia sekali gus mendahului rekod dunia sebelum ini.

Lapor jabatan pendaftaran Bolivia, Carmelo Flores Laura, baru menyambut ulang tahun ke 123 pada bulan lalu.

Laura nampak seperti lelaki 80-an dan paling menarik penglihatan warga tua yang tinggal di kawasan pergunungan, 80 kilometer di luar bandar La Paz itu masih jelas.

Lelaki dari puak Aymara itu, dikurniakan tiga cahaya mata, 16 cucu dan 39 cicit selain pernah menempuhi zaman perang Perang Dunia Pertama iaitu ketika berumur 24 tahun dan 64 tahun sewaktu Ratu Elizabeth menaiki takhta Britain.

Stesen TV tempatan, Rede Uno melaporkan, Laura yang turut kehilangan isteri pada 10 tahun lalu, percaya amalan senaman jalan kaki setiap hari dan tidak memakan semua jenis pasta dan gula telah memanjangkan tempoh hayatnya.

"Saya hanya makan cananhua (sejenis kuinoa liar yang kaya dengan protein dan asid amino), malah saya tidak malas dan sering berkongsi makanan bersama isteri ketika dia masih hidup," katanya yang turut mengaku amat menggemari masakan daging skunk. - MailOnline