Pemuda Umno menolak cadangan melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan
Kredit Pusat (CCRIS) ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar (pic) sebaliknya menggesa
Putrajaya supaya menggunakan mekanisma sedia ada untuk mengutip balik
semula pinjaman PTPTN.
"Pergerakan Pemuda Umno tidak bersetuju dengan pendirian Kerajaan, yang
dinyatakan oleh Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh.
"Pada pandangan Pemuda Umno, Kerajaan sepatutnya mengguna pakai segala
mekanisme kutipan serta tindakan sedia ada ke atas peminjam-peminjam
yang masih berkeras dan tidak mengambil endah tuntutan pembayaran balik
yang dikeluarkan," kata Khairy dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Belia dan Sukan itu juga berkata Putrajaya juga perlu menimbangkan situasi semasa peminjam PTPTN.
"Bahkan, keutamaan hendaklah diberi kepada tindakan bersepadu yang
juga mengambil kira pemberian insentif bayaran balik serta kaedah
pembayaran anjal yang mengambil kira situasi semasa peminjam," tegasnya
lagi.
Pinjaman PTPTN adalah sebuah keperluan dan berbeza dengan
pinjaman-pinjaman lain serta tidak wajar kaedah sama digunakan untuk
mengutip semula hutang pinjaman pendidikan tersebut, menurut Khairy
lagi.
"Pinjaman PTPTN amat berbeza dengan pinjaman-pinjaman lain seperti
hutang kad kredit atau kenderaan kerana ia tidak tergolong dalam
pinjaman berasaskan pilihanan peribadi.
"Harus diakui bahawa pinjaman PTPTN bersifat keperluan kerana Kerajaan
tidak menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya di institusi pengajian
tinggi," tegasnya lagi.
Selain itu, Khairy juga berkata pendidikan adalah keperluan untuk
golongan muda dan langkah melaksanakan CCRIS akan memberi tanggapan
negatif terhadap kerajaan.
"Kumpulan peminjam tegar yang tidak melunaskan sebarang pembayaran
balik adalah kecil dan tindakan penyenaraian hitam sebegini boleh
memberi tanggapan umum yang negatif kepada segala gerak kerja PTPTN,"
tambahnya.
Semalam, Idris semasa mengumumkan langkah tersebut berkata, menerusi
pendekatan melalui CCRIS, peminjam PTPTN ingkar berkenaan akan menerima
kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan
kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya.
Sejurus pengumuman tersebut, pelbagai pihak termasuk badan bukan
kerajaan, pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dan juga aktivis mahasiswa
membidas Idris kerana langkah tersebut akan menindas golongan belia.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) berkata selain
menghukum peminjam, yang majoritinya anak muda, tindakan diumumkan Idris
itu juga akan menutup peluang belia Melayu dan Bumiputera menceburkan
diri dalam perniagaan ekoran kesukaran mendapatkan pembiayaan institusi
kewangan.
PR juga turut membidas kenyataan Idris tersebut dengan mengatakan ia
satu bentuk penindasan kepada peminjam PTPTN serta sebaliknya
menegaskan kerajaan wajar menangani masalah peningkatan kos sara hidup
yang menjadi beban utama golongan muda.
PTPTN meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2.2 juta pelajar sejak 1
Julai 1997 sehingga 30 Jun lalu, dengan amaun keseluruhan berjumlah
RM49.9 bilion.
No comments:
Post a Comment