20 Ogos – Pengarah dan penerbit, Ahmad
Idham mencabar wartawan ruangan gosip 'Kak Pora' akhbar Berita Minggu
untuk bersemuka selepas kesal dengan kenyataan wartawan tersebut pada 18
Ogos lalu bertajuk "Usah salahkan FINAS filem tak laku" yang
dianggapnya sebagai 'pendek akal'.
"Saya mencabar wartawan ini. kalau dia berani, kita jumpa dan bersemuka.
Kalau dia tidak sahut cabaran ini, saya tahulah yang dia tidak cukup
pandai dan sampai bila-bila sekadar duduk dan bersembunyi di belakang
ruangan gosip seperti 'Kak Pora'.
"Dengan tindakan itu juga, massa lebih percaya kredibiliti wartawan tersebut, begitu juga pengiat bidang perfileman kita.
"Saya tidak marah, tetapi dalam keadaan sekarang di mana para wartawan
mempunyai tahap pendidikan dan intelek yang tinggi, masih ada wartawan
seperti ini yang menjadi 'parasit' merosakkan industri," ujarnya
menerusi kenyataan media.
Tambah Idham lagi, dia merasakan apa yang ditulis oleh wartawan tersebut
dilihat lebih bersifat peribadi dan menyerang balas secara peribadi
dalam penulisannya, di atas temuramah terdahulu antara Ahmad Idham
dengan wartawan akhbar Harian Metro bertajuk "Idham mahu FINAS
bertindak" pada 14 Ogos lalu.
"Dalam saya meluahkan kegusaran apabila melihat masalah serius yang
berlaku dalam industri filem, wartawan itu dilihat lebih seronok
menyalahkan saya, sepatutnya dia berusaha untuk bersama-sama membantu
menyelesaikan masalah yang dihadapi.
"Selama saya memperjuangkan kehendak dan kepentingan pengiat seni
(filem) tempatan, saya amat menghargai kerjasama dan sokongan rakan
wartawan, untuk membantu mempertingkatkan lagi industri ini. Saya
ucapkan jutaan terima kasih. Tetapi, bila melihat hal seperti ini, saya
merasakan yang mungkin ada agenda lain yang cuba dicapai oleh wartawan
(Kak Pora) terbabit. Industri kita bukan dirosakkan oleh orang luar,
tetapi oleh mereka seperti ini."
Sementara itu, Idham turut memberitahu industri perfileman tempatan
mengalami kemerosotan dari segi kutipan di pawagam dengan jumlah kutipan
kasar tiket pada tahun 2012 sekadar RM97.29 juta (76 filem), berbanding
RM126.49 juta (49 filem) pada tahun 2011.
Malah pada lima bulan pertama 2013 menyaksikan penyusutan lebih kritikal kutipan kasar sekadar RM40.39 juta sahaja.
No comments:
Post a Comment