Tuesday, August 20, 2013

Pemuda Umno bantah kerajaan laksana CCRIS terhadap peminjam PTPTN

Pemuda Umno menolak cadangan melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar (pic) sebaliknya menggesa Putrajaya supaya menggunakan mekanisma sedia ada untuk mengutip balik semula pinjaman PTPTN.
"Pergerakan Pemuda Umno tidak bersetuju dengan pendirian Kerajaan, yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh.
"Pada pandangan Pemuda Umno, Kerajaan sepatutnya mengguna pakai segala mekanisme kutipan serta tindakan sedia ada ke atas peminjam-peminjam yang masih berkeras dan tidak mengambil endah tuntutan pembayaran balik yang dikeluarkan," kata Khairy dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Belia dan Sukan itu juga berkata Putrajaya juga perlu menimbangkan situasi semasa peminjam PTPTN.
"Bahkan,  keutamaan hendaklah diberi kepada tindakan bersepadu yang juga mengambil kira pemberian insentif bayaran balik serta kaedah pembayaran anjal yang mengambil kira situasi semasa peminjam," tegasnya lagi.
Pinjaman PTPTN adalah sebuah keperluan dan berbeza dengan pinjaman-pinjaman lain serta tidak wajar kaedah sama digunakan untuk mengutip semula hutang pinjaman pendidikan tersebut, menurut Khairy lagi.
"Pinjaman PTPTN amat berbeza dengan pinjaman-pinjaman lain seperti hutang kad kredit atau kenderaan kerana ia tidak tergolong dalam pinjaman berasaskan pilihanan peribadi.
"Harus diakui bahawa pinjaman PTPTN bersifat keperluan kerana Kerajaan tidak menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya di institusi pengajian tinggi," tegasnya lagi.
Selain itu, Khairy juga berkata pendidikan adalah keperluan untuk golongan muda dan langkah melaksanakan CCRIS akan memberi tanggapan negatif terhadap kerajaan.
"Kumpulan peminjam tegar yang tidak melunaskan sebarang pembayaran balik adalah kecil dan tindakan penyenaraian hitam sebegini boleh memberi tanggapan umum yang negatif kepada segala gerak kerja PTPTN," tambahnya.
Semalam, Idris semasa mengumumkan langkah tersebut berkata, menerusi pendekatan melalui CCRIS,  peminjam PTPTN ingkar berkenaan akan menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya.
Sejurus pengumuman tersebut, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan, pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dan juga aktivis mahasiswa membidas Idris kerana langkah tersebut akan menindas golongan belia.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) berkata selain menghukum peminjam, yang majoritinya anak muda, tindakan diumumkan Idris itu juga akan menutup peluang belia Melayu dan Bumiputera menceburkan diri dalam perniagaan ekoran kesukaran mendapatkan pembiayaan institusi kewangan.
PR juga turut membidas kenyataan Idris tersebut dengan mengatakan ia satu bentuk penindasan kepada peminjam  PTPTN serta sebaliknya menegaskan kerajaan wajar menangani masalah peningkatan kos sara hidup yang menjadi beban utama  golongan muda.
PTPTN meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2.2 juta pelajar sejak 1 Julai 1997 sehingga 30 Jun lalu, dengan amaun  keseluruhan berjumlah RM49.9 bilion.

No comments:

Post a Comment

Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by Shafee Live