HARI Raya Aidilfitri kali ini adalah antara saat yang paling sesuai bagi pasangan pelakon utama filem Lemak Kampung Santan, Neelofa dan Hans Isaac mengeratkan lagi hubungan baik di antara mereka.
Neelofa tidak menafikan menggunakan peluang beraya di Hari Lebaran 
baru-baru ini bagi saling kenal mengenali antara keluarganya dan pelakon
 kacak tersebut.
Malah, pelakon jelita itu secara jujur berkata, Hans turut pernah 
mengunjungi sanak keluarganya di Kelantan sewaktu perayaan perayaan yang
 disambut umat Islam setahun sekali itu.
"Sewaktu Hari Raya Aidilfitri dua tahun lepas, Hans pernah datang 
beraya di rumah keluarga saya di Pasir Mas dan Kota Bahru, Kelantan yang
 mana itulah kali pertama kami beraya bersama.
"Saya mengenali Hans dua tahun lebih yang mana ketika itu kami belum dipertemukan berlakon bersama-sama dalam Lemak Kampung Santan yang menjalani penggambarannya selepas itu.
"Sebab itu, tidak timbul isu mengatakan kami baru kenal secara lebih 
rapat hanya selepas berlakon dalam filem ini semata-mata," katanya 
kepada Hits sewaktu sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Gosip hubungan cinta antara pasangan itu timbul bukan baru, sebaliknya ia mula bertiup kencang terutama sewaktu penggambaran Lemak Kampung Santan dijalankan dua tahun lalu.
Meskipun enggan mengulas lanjut gosip hubungan intim itu, Neelofa 
berkata dia berasa serasi dan teruja sewaktu menjalani penggambaran 
filem ketiga arahan Hans tersebut.
Antara adegan-adegan romantis antaranya dan Hans yang banyak 
memerlukan penghayatan serta komitmen yang jitu, apatah lagi lokasi 
penggambarannya pula diadakan di tempat yang mencabar.
"Salah satu adegan yang mencabar antara saya dengan Hans adalah dalam
 adegan romantik yang diadakan di tingkat 80 bangunan berkembar KLCC 
pada sekitar November 2011.
"Tempat itu boleh dikatakan eksklusif kerana tidak ramai orang yang 
dibenarkan berada di situ melainkan atas sebab-sebab tertentu yang mana 
banyak cabarannya sewaktu di sana.
"Misalnya soal tiupan angin dan cuaca yang tidak menentu di kawasan 
yang tinggi seperti itu sehingga memaksa kami semua memakai tali 
pinggang demi menjaga keselamatan.
"Saya rasa adegan itu adalah yang paling romantik sekali dalam filem 
itu," ujarnya yang teruja menceritakan tentang filem yang ditayangkan 
mulai 8 Ogos lalu di pawagam seluruh negara.
Jelas Neelofa pengalaman berlakon dengan Hans bukan sahaja baru 
baginya, malah dia turut senang bekerja bersama-samanya yang juga 
merupakan penerbit serta pengarah filem tersebut.
Walaupun telah mengenali Hans sebelum terbabit dalam Lemak Kampung Santan, dia seperti juga pelakon lain terpaksa melalui sesi ujibakat sebelum berlakon dalam filem itu.
"Saya melakonkan watak Tiqa dan Hans pula watak Ridzuan yang mana 
watak saya meliputi hampir 70 peratus dalam filem ini. Saya seronok 
berlakon dan bekerja dengan Hans.
"Ini kerana, dia seorang yang matang dan amat mementingkan kualiti 
dalam hasil kerjanya. Hans juga amat mementingkan keselesaan para 
pelakon dalam filem ini semasa penggambarannya.
"Biarpun sudah mengenalinya tetapi saya juga telah melalui sesi 
ujibakat sebelum diterima berlakon dalam filem ini. Mungkin watak 
pasangan kekasih itu sesuai untuk kami," jelasnya.
Sempena sambutan hari raya ini, seperti biasa Neelofa telah beraya di
 rumah sanak keluarganya di Alor Setar, Kedah selama kira-kira tiga hari
 sebelum pulang ke Pasir Mas, Kelantan.
 

 




 
       
      

 
 

