Sunday, September 8, 2013

Bunuh diri untuk derma organ


Zhejiang: Seorang lelaki di Hangzhou, wilayah Zhejiang di timur China, menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada polis, memaklumkan niatnya menderma anggota tubuh dan organnya untuk tujuan saintifik sebelum membunuh diri.

Kejadian berlaku pada Rabu lalu, umum polis.
“Saya membuat keputusan menderma anggota badan saya untuk kebajikan. “Apabila anda terima mesej ini, saya sudah mati. Maaf mengganggu,” kata lelaki itu.



Mesej itu diterima pada jam 4.21 pagi Isnin lalu.

Mayat tergantung

Lelaki itu kemudian ditemui tergantung di luar rumah sewanya di daerah Yuhang, kata polis.
Satu kerusi roda ada dekat mayatnya. Tongkat dan dua nota memberitahu niatnya juga ada.

Polis memotong tali dan memberi bantuan perubatan tetapi doktor mengesahkan lelaki itu diberi nama Wang, mati di tempat kejadian.

Dia mengalami kesusahan kerana ada masalah otot dan baru menyambut hari jadi ke-30.

Polis percaya, Wang sudah putus asa kerana masalah hidup tetapi mahu memberi sumbangan terakhir kepada masyarakat.

“Niat utama saya ialah menderma semua organ dan badan kepada badan kebajikan,” kata Wang.

XINHUA

Wanita mengaku bakar teman lelaki


Wanita mengaku bakar    teman lelaki  
Rumah Julia Rivera lokasi dia mencurah minyak jagung panas ke atas teman lelakinya. Gambar kecil, Julia Rivera.
 
Hartford: Seorang wanita di Connecticut menyerah diri kepada polis awal pagi semalam selepas mengaku membakar teman lelakinya sehingga mati, namun dia bernasib baik, kerana lelaki terbabit terselamat.

Julia Rivera, 47, dikenakan dakwaan menyerang, melakukan tindakan berbahaya secara melulu, mengingkari arahan perlindungan dan salah laku oleh pihak polis.
Wanita terbabit sebelum itu menghubungi talian kecemasan 911, pada jam 12.30 tengah malam untuk membuat laporan bahawa dia membunuh teman lelakinya. Rivera juga meminta polis menahannya kerana membakar teman lelakinya hingga mati, tanpa menyedari bahawa lelaki terbabit terselamat tetapi mengalami 70 peratus kesan melecur.

Apabila pegawai polis tiba di lokasi kejadian, mereka melihat Rivera menunggu di luar rumahnya, bersedia untuk dibawa pergi.

Mengaku bakar

“Tangkap saya. Saya yang melakukannya. Saya bakar dia hidup-hidup,” katanya kepada mereka.
Apa yang tidak diketahui Julia ialah teman lelakinya masih hidup.

Akhbar The Hartfort melaporkan dia ditemui di dalam sebuah rumah beberapa blok dari situ dan segera dikejarkan Pusat Kebakaran Connecticut di Hospital dengan 70 peratus tubuhnya melecur.

Polis berkata, Rivera mencurah teman lelakinya dengan minyak jagung panas dari kuali di rumahnya.
AGENSI

Berebut air mata ikan duyung



BANGKA, Sumatera - Penduduk Kampung Penyak, mukim Koba di daerah ini digemparkan dengan berita penangkapan dua ekor ikan duyung oleh seorang nelayan tempatan, Rabu lalu.
Penemuan itu membuatkan penduduk teruja dan pergi ke tepi pantai bagi melihat sekali gus mengabadikan peristiwa tersebut pada telefon bimbit masing-masing.
Malah, kebanyakan di antara mereka tidak melepaskan peluang sehingga sanggup berebut untuk mengambil air mata ikan duyung kerana mempercayai ia mempunyai 'khasiat' tersendiri.
Menurut maklumat yang diperoleh Bangkapos.com, dua ekor haiwan itu ditangkap nelayan bernama Nizar di pulau Bebuar dan pulau Penyak.
Kira-kira pukul 5 petang sewaktu Nizar mahu mengangkat jaringnya, dia mendapati, terdapat tiga ekor ikan duyung tersangkut di dalamnya.
Namun sewaktu cuba menaikkan ikan itu ke dalam bot, seekor daripada ikan itu terlepas, manakala dua ekor lagi iaitu masing-masing seekor dewasa dan anak berjaya ditangkap dan dibawa pulang.
Malangnya, kedua-dua ekor ikan itu mati sewaktu ia sedang dibawa ke rumah Nizar.
Ketua Kampung Penyak, Rustam ketika ditemui mengesahkan penangkapan ikan yang masing-masing mempunyai berat 300 dan 20 kilogram.
''Ikan dewasa itu kemudiannya dibawa ke pasar untuk dijual,'' katanya. - AGENSI

Empat Pencuri Sumbat Kerbau Dalam Perodua MYVI



Sekumpulan empat lelaki yang mencuri kerbau bertindak kejam apabila memenggal kepala haiwan dan bahagian badan lain sebelum menjual dagingnya di sekitar Kemaman.
Kumpulan membabitkan lelaki berusia 20-an terbabit yang dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak awal Ramadan lalu turut bertindak agresif apabila melakukan kekejaman terhadap haiwan berkenaan sebaik ia ditangkap sebelum memasukkan bahagian badan yang dipotong ke dalam kereta.
Namun, kekejaman kumpulan lelaki yang dipercayai sudah mengaut keuntungan besar hasil daripada kegiatan itu berakhir apabila mereka ditahan selepas gagal melarikan diri ketika kenderaan dinaiki dikejar anggota polis, awal pagi semalam.
Kereta Perodua Myvi dinaiki kumpulan terbabit terserempak kenderaan polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di Kampung Padang Kubu, kira-kira jam 1.30 pagi.
Berikutan curiga dengan kenderaan terbabit yang dipercayai sarat dengan muatan, anggota polis mengarahkan kenderaan itu berhenti, namun ia tidak diendahkan sebelum melarikan diri ke Chukai kira-kira 50 kilometer dari tempat kejadian.

Menyedari kenderaan dinaiki diekori polis, kumpulan terbabit melarikan diri melepasi sempadan Kemaman sebelum memasuki Chendor, Pahang.
Bagaimanapun, usaha menahan kumpulan terbabit gagal menyebabkan anggota polis berkenaan mengekori kenderaan itu sebelum kenderaan terbabit yang kehilangan arah tersadai sebaik tiba di kawasan berpaya berhampiran Sungai Baging, Kuantan, kira-kira 20 kilometer dari Chendor.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata sebaik tersadai, empat lelaki terbabit cuba melarikan diri sebelum dua daripada mereka ditahan di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan dalam kenderaan itu, kami mendapati beberapa bahagian badan kerbau yang belum dilapah dianggarkan seberat lebih 100 kilogram disembunyikan di tempat duduk belakang dan soal siasat mendapati bahagian badan haiwan berkenaan haiwan yang dicuri di kawasan ladang Ketengah Jaya,” katanya.
Menurutnya, dua lelaki dari Kampung Limbong, Chukai itu disiasat mengikut Seksyen 29(1) Kanun Keseksaan kerana gagal memberi keterangan mengenai barangan dibawa dan dituduh di Mahkamah Majistret Kemaman, pagi semalam.

Anjing teman dua anak cheetah



Amani diletakkan bersama dua ekor anak harimau cheetah di Zoo Dallas kelmarin.

DALLAS, Texas - Sebanyak dua ekor anak harimau cheetah menjadi ahli baharu keluarga besar haiwan di Zoo Dallas di sini kelmarin.
Pihak zoo berkenaan menyambut kehadiran dua anak cheetah jantan itu dengan menyediakan seekor anak anjing baka Labrador sebagai teman kepada spesies kucing besar itu.
Dua anak cheetah yang baru berusia lapan minggu itu diberi nama Winspear dan Kamau.
Winspear dan Kamau lahir pada 8 Julai lalu di Institut Biologi dan Konservasi Smithsonian, dalam negeri Virginia.
Dua ekor anak harimau tersebut ditemani anak anjing berkenaan, Amani yang juga berusia lapan minggu.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pihak zoo terbabit, Amani bermaksud keamanan dalam bahasa Swahili.
Beberapa pakar haiwan percaya anak anjing tersebut akan dapat menenangkan anak harimau cheetah berkenaan. - AP

Pelajar gagal besar payudara ancam bunuh diri


Beijing: Seorang pelajar kolej mengancam membunuh diri dengan terjun dari bumbung bangunan sebuah klinik pembedahan plastik.
Pelajar berkenaan bertindak demikian selepas implan payudaranya ditanggalkan kerana masalah perubatan.

Dia berdiri di tepi bumbung Hospital Perubatan Kecantikan Fuhua selama beberapa jam, mengancam untuk terjun selepas gagal mendapatkan pampasan daripada klinik itu.
Anggota keselamatan bagaimanapun berjaya memujuknya supaya membatalkan niatnya itu.

Pelajar berkenaan sebeleum itu membuat pembedahan membesarkan payudaranya sebagai persediaan untuk temuduga bagi mendapatkan pekerjaan. Ramai pelajar wanita di China percaya peluang memperoleh pekerjaan lebih terbuka jika mereka mempunyai payudara besar.

Kebanyakan pusat kecantikan di negara berkenaan menyasarkan pelajar wanita yang hampir tamat pengajian dengan menawarkan diskaun sehingga 65 peratus untuk menjalani pembedahan membesarkan payudara bagi meningkatkan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan. - Agensi

Monyet makan testikel bayi


Beijing: Seorang wanita terpaku melihat seekor monyet merentap satu daripada testikel bayinya berusia lapan bulan di sebuah zoo sebelum lari dan memakannya.
Kejadian mengejutkan itu berlaku di Taman Hidupan Liar Guiyang Qianling di Guìyáng, ibu negeri wilayah Guizhou di barat daya China.
Si ibu sedang menukar lampin bayinya apabila haiwan berkenaan menyerang dan merentap testikel kanak-kanak berkenaan dan melarikan diri sebelum testikel itu terjatuh.

Seorangt lelaki tua dilapor memungut testikel itu tetapi monyet berkenaan kembali dan merampasnya daripada lelaki terbabit dan melarikan diri sambil memakannya.

Rakaman yang disiarkan sebuah stesen televisyen China menunjukkan kanak-kanak itu dirawat di sebuah hospital dengan dijaga oleh ibunya.

Kecederaannya tidak mengancam nyawa.

Jumlah monyet di zoo terbuka itu dilapor meningkat daripada 70 kepada 500 sejak beberapa tahun lalu dengan keadaan dilihat tidak boleh dikawal lagi.

Meskipun diberi makan tiga kali sehari oleh pihak zoo, haiwan itu turut memperoleh makanan daripada pengunjung.

Stesen itu juga menyiarkan rakaman monyet menggigit seorang kanak-kanak kecil yang cuba membelai haiwan itu.

Menurut laporan itu, serangan monyet ke atas pengunjung sering berlaku di zoo berkenaan. - Agensi