Wednesday, August 21, 2013

PTPTN tidak teruskan CCRIS

SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menyatakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)  tidak akan meneruskan cadangan untuk menyenaraikan peminjam ingkar di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Menerusi kenyataan beliau yang dipetik dalam akaun Facebooknya (FB) keputusan itu dilakukan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan, hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan yang telah mendengar pandangan golongan muda.

"Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri.

"Alhamdulillah, PTPTN tak akan meneruskan cadangan untuk menyenaraikan peminjam di bawah CCRIS.

"Terima kasih kepada PM dan menteri-menteri pendidikan kerana mendengar suara orang muda," tulisnya.

Semalam, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno turut membantah tindakan menyenaraikan peminjam PTPTN disenaraikan di bawah CCRIS.

Sehubungan itu, Khairy telah menyampaikan pandangannya mengenai perkara itu kepada Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh

Uji pelajar masih dara


Palembang: Seorang pegawai pendidikan di pulau Sumatera, Indonesia, mencadangkan supaya pelajar perempuan sekolah menengah menjalani ujian mengesahkan sama ada mereka dara atau tidak.

Ia bertujuan untuk mencegah mereka daripada terbabit dalam hubungan seks bebas selain menyekat pelacuran. - AP

Tuesday, August 20, 2013

Pemuda Umno bantah kerajaan laksana CCRIS terhadap peminjam PTPTN

Pemuda Umno menolak cadangan melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar (pic) sebaliknya menggesa Putrajaya supaya menggunakan mekanisma sedia ada untuk mengutip balik semula pinjaman PTPTN.
"Pergerakan Pemuda Umno tidak bersetuju dengan pendirian Kerajaan, yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh.
"Pada pandangan Pemuda Umno, Kerajaan sepatutnya mengguna pakai segala mekanisme kutipan serta tindakan sedia ada ke atas peminjam-peminjam yang masih berkeras dan tidak mengambil endah tuntutan pembayaran balik yang dikeluarkan," kata Khairy dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Belia dan Sukan itu juga berkata Putrajaya juga perlu menimbangkan situasi semasa peminjam PTPTN.
"Bahkan,  keutamaan hendaklah diberi kepada tindakan bersepadu yang juga mengambil kira pemberian insentif bayaran balik serta kaedah pembayaran anjal yang mengambil kira situasi semasa peminjam," tegasnya lagi.
Pinjaman PTPTN adalah sebuah keperluan dan berbeza dengan pinjaman-pinjaman lain serta tidak wajar kaedah sama digunakan untuk mengutip semula hutang pinjaman pendidikan tersebut, menurut Khairy lagi.
"Pinjaman PTPTN amat berbeza dengan pinjaman-pinjaman lain seperti hutang kad kredit atau kenderaan kerana ia tidak tergolong dalam pinjaman berasaskan pilihanan peribadi.
"Harus diakui bahawa pinjaman PTPTN bersifat keperluan kerana Kerajaan tidak menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya di institusi pengajian tinggi," tegasnya lagi.
Selain itu, Khairy juga berkata pendidikan adalah keperluan untuk golongan muda dan langkah melaksanakan CCRIS akan memberi tanggapan negatif terhadap kerajaan.
"Kumpulan peminjam tegar yang tidak melunaskan sebarang pembayaran balik adalah kecil dan tindakan penyenaraian hitam sebegini boleh memberi tanggapan umum yang negatif kepada segala gerak kerja PTPTN," tambahnya.
Semalam, Idris semasa mengumumkan langkah tersebut berkata, menerusi pendekatan melalui CCRIS,  peminjam PTPTN ingkar berkenaan akan menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya.
Sejurus pengumuman tersebut, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan, pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dan juga aktivis mahasiswa membidas Idris kerana langkah tersebut akan menindas golongan belia.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) berkata selain menghukum peminjam, yang majoritinya anak muda, tindakan diumumkan Idris itu juga akan menutup peluang belia Melayu dan Bumiputera menceburkan diri dalam perniagaan ekoran kesukaran mendapatkan pembiayaan institusi kewangan.
PR juga turut membidas kenyataan Idris tersebut dengan mengatakan ia satu bentuk penindasan kepada peminjam  PTPTN serta sebaliknya menegaskan kerajaan wajar menangani masalah peningkatan kos sara hidup yang menjadi beban utama  golongan muda.
PTPTN meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2.2 juta pelajar sejak 1 Julai 1997 sehingga 30 Jun lalu, dengan amaun  keseluruhan berjumlah RM49.9 bilion.

Selebriti China paling berjaya

 
Majalah Forbes China baru-baru ini melancarkan senarai selebriti paling bersinar seluruh China. Senarai tersebut dihimpunkan berdasarkan pendapatan seseorang artis itu, selain jumlah kemunculan mereka di majalah, akhbar, rancangan televisyen dan internet.
Melalui analisa tersebut, sepuluh artis China paling bersinar 2013 adalah seperti berikut:
Fan Bingbing
2013 bagaikan tahun gemilang buat pelakon "Lust, Caution" ini. Bukan sahaja dia berjaya menarik perhatian pelbagai pereka fesyen dari LV ke Ferragamo, malah Fan Bingbing juga meraih pelbagai anugerah termasuk Artis Tahun Ini dari The Hollywood Reporter, Anugerah Stail Peribadi dari majalah Elle USA dan Wanita Tercantik Tahun ini dari majalah Esquire China.
Fan juga berjaya menarik perhatian pemain Hollywood, bermula dengan produksi "Iron Man 3", dan kini sedang sibuk membuat penggambaran untuk filem "X-Men: Days of Future Past".
Jay Chou
Penyanyi, pelakon, pemuzik, komposer, penulis lirik, pengarah filem, jurutari, penerbit muzik. Begitu banyak tugas yang digalas artis berusia 34 tahun ini. Selain daripada melancarkan album ke-12, "Opus 12" Disember tahun lalu, Jay Chou juga sibuk dengan konsert jelajahnya, selain produksi filem kedua arahannya, "The Rooftop".
Bintang "The Green Hornet" ini juga seringkali muncul di tabloid kerana gosip cintanya dengan model, Hannah Quinlivan.
Andy Lau
Dia mungkin sudah memasuki usia 50-an, tapi tidak bermakna Andy Lau berniat memperlahankan aktiviti lakonannya. Dia masih berjaya mengekalkan populariti dengan filem-filem terbarunya seperti "Blind Detective" dan "Switch" (sekalipun "Switch" mendapat kritikan hebat di pawagam).
Sebagai seorang daripada "Heavenly King" muzik Kantopop, Andy juga seringkali muncul di akhbar disebabkan kehidupan peribadinya yang begitu rahsia. Apatah lagi dengan kelahiran anak perempuan pertamanya tahun lalu.
Jackie Chan
Jackie yang sememangnya sudah cukup terkenal serata dunia, mengejutkan ramai awal tahun ini apabila mengumumkan bahawa filem aksinya, "CZ12" menjadi filem aksi blockbuster terakhirnya. Ternyata kenyataan itu salah, kerana Jackie bakal muncul dengan "Police Story 2013", sebuah lagi filem aksi Hong Kong.
Jackie juga sering menjadi muka depan akhbar kerana kontroversi yang berpunca dari sifatnya yang suka berterus-terang, malah mencetus kemarahan ramai awal tahun lalu kerana kritikannya terhadap tabiat penduduk China yang suka berdemonstrasi. Selain itu, tahun ini juga, sudah dua kali dia dikhabarkan meninggal dunia!
Zhang Ziyi
Zhang Ziyi masih berjaya meraih kedudukan di hati peminat dengan filem-filem terbarunya. Selain "The Grandmaster", filem arahan Wong Kar Wai yang sudah tiga tahun dalam produksi akhirnya keluar di pawagam, Ziyi juga sibuk melakukan tugas sebagai produser filem prekuelnya, "My Lucky Star", selain melakonkan watak utama dalam filem John Woo terbaru, "The Crossing".
Zhang Ziyi juga diberi kepercayaan untuk menjadi hakim rancangan "The X-Factor: China's Strongest Voice" bersama penyanyi Hong Kong Eason Chan, artis Taiwan Luo Tayu dan penyanyi China Zheng Jun.
Eason Chan
Penyanyi dan pelakon popular Hong Kong ini bukan sahaja berjaya melancarkan albumnya yang ke-28 tahun ini, malah sibuk dengan konsert LIFE sebanyak 25 persembahan di Hong Kong Coliseum baru-baru ini. Konsert "Duo" Eason di Tanah Besar China juga mendapat sambutan hangat tahun lalu.
Eason Chan juga sering muncul di media awal tahun ini kerana gosip yang melanda isterinya Hilary, serta penglibatannya sebagai hakim dalam rancangan "The X-Factor: China's Strongest Voice".
Yang Mi
Bintang kelahiran Tanah Besar China ini mula meningkat naik melalui penglibatannya dalam drama dan filem, apatah lagi dengan kejayaan projek-projeknya "Love in the Buff", "Beijing Love Story" dan "Wu Dang". Tahun ini sahaja, dia bakal muncul dengan empat buah filem dan drama baru, termasuk "Tiny Times 2" dan "Palace", selain bakal menerbitkan sebuah drama bersiri yang menyerupai siri televisyen "Gossip Girl".

Ahmad Idham mahu bersemuka Kak Pora

20 Ogos – Pengarah dan penerbit, Ahmad Idham mencabar wartawan ruangan gosip 'Kak Pora' akhbar Berita Minggu untuk bersemuka selepas kesal dengan kenyataan wartawan tersebut pada 18 Ogos lalu bertajuk "Usah salahkan FINAS filem tak laku" yang dianggapnya sebagai 'pendek akal'.
"Saya mencabar wartawan ini. kalau dia berani, kita jumpa dan bersemuka. Kalau dia tidak sahut cabaran ini, saya tahulah yang dia tidak cukup pandai dan sampai bila-bila sekadar duduk dan bersembunyi di belakang ruangan gosip seperti 'Kak Pora'.
"Dengan tindakan itu juga, massa lebih percaya kredibiliti wartawan tersebut, begitu juga pengiat bidang perfileman kita.
"Saya tidak marah, tetapi dalam keadaan sekarang di mana para wartawan mempunyai tahap pendidikan dan intelek yang tinggi, masih ada wartawan seperti ini yang menjadi 'parasit' merosakkan industri," ujarnya menerusi kenyataan media.
Tambah Idham lagi, dia merasakan apa yang ditulis oleh wartawan tersebut dilihat lebih bersifat peribadi dan menyerang balas secara peribadi dalam penulisannya, di atas temuramah terdahulu antara Ahmad Idham dengan wartawan akhbar Harian Metro bertajuk "Idham mahu FINAS bertindak" pada 14 Ogos lalu.
"Dalam saya meluahkan kegusaran apabila melihat masalah serius yang berlaku dalam industri filem, wartawan itu dilihat lebih seronok menyalahkan saya, sepatutnya dia berusaha untuk bersama-sama membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.
"Selama saya memperjuangkan kehendak dan kepentingan pengiat seni (filem) tempatan, saya amat menghargai kerjasama dan sokongan rakan wartawan, untuk membantu mempertingkatkan lagi industri ini. Saya ucapkan jutaan terima kasih. Tetapi, bila melihat hal seperti ini, saya merasakan yang mungkin ada agenda lain yang cuba dicapai oleh wartawan (Kak Pora) terbabit. Industri kita bukan dirosakkan oleh orang luar, tetapi oleh mereka seperti ini."
Sementara itu, Idham turut memberitahu industri perfileman tempatan mengalami kemerosotan dari segi kutipan di pawagam dengan jumlah kutipan kasar tiket pada tahun 2012 sekadar RM97.29 juta (76 filem), berbanding RM126.49 juta (49 filem) pada tahun 2011.
Malah pada lima bulan pertama 2013 menyaksikan penyusutan lebih kritikal kutipan kasar sekadar RM40.39 juta sahaja.

'Tak sangka ALLAH balas cepat'


Sedekah 


KETIKA saya dan suami berkunjung ke Melaka untuk menziarahi sahabat, kami mengambil peluang singgah ke Kota A Famosa, monumen bersejarah yang menjadi kebanggaan bandar raya pelancongan itu.
Selepas puas menaiki beca keliling bandar, kami singgah ke surau di Bandar Hilir untuk Solat Asar. Ketika itu, panas mentari masih terik walaupun sudah menjengah petang.
Saya duduk di atas bangku menunggu suami yang saya fikir masih belum keluar dari surau. Rupa-rupanya, dia sudah pun bersembang dengan seorang penarik beca tidak jauh dari tempat saya.
Ketika saya menghampiri mereka, perbualan sudah pun tamat. Suami mengiringi langkah pakcik beca itu dengan pandangan seribu makna membuatkan saya hairan dan tidak sabar mahu bertanya.
"Kenapa? Macam serius bersembang?" Soal saya ingin tahu.

Sambil menggeleng-gelengkan kepala, dia mengajak saya masuk ke kereta kerana petang itu juga kami perlu sampai ke Shah Alam atas urusan lain.

“Sembang apa?” Soal saya lagi selepas memasang tali pinggang keledar. Suami masih menggelengkan kepala sambil menjawab,

“Lepas ni, jangan kedekut untuk bersedekah. Malu betul saya dengan pak cik tadi,”

Eh, lain pula yang dia jawab. Saya masih meneka-neka dalam hati. Kenapa pula suami jadi macam ni? Nak tanya lebih-lebih, bimbang terlalu mendesak pula. Akhirnya, saya diamkan sahaja.

Dermakan segumpal wang

Separuh perjalanan suami membuka cerita. Katanya, keluar sahaja dari surau, dia berjalan-jalan untuk melihat orang ramai di situ. Sedang berjalan-jalan, dia disapa seorang kanak-kanak berusia lingkungan 11 tahun.

Kanak-kanak itu menjinjit beg sandang berisi buku agama dan panduan solat sunat. Dia mendekati suami dan seperti yang mungkin anda biasa lalui, dia mempromosikan buku itu atau sekurang-kurangnya minta anda menderma.
Walaupun hairan dengan kewujudan kanak-kanak itu, suami menghulurkan juga RM1 dan menolak untuk membeli bukunya. Dengan langkah berat, kanak-kanak itu beralih pula kepada pakcik beca yang sedang menunggu pelanggan kira-kira 10 langkah daripada suami.
Dari jauh suami memerhati gelagat kanak-kanak itu. Lelaki lewat 50an itu pada mulanya menyerahkan RM5. Tersenyum kanak-kanak itu tadi apabila pakcik beca juga menolak untuk menerima buku daripadanya.
“Pakcik derma saja,” jawab lelaki tua itu.

Selepas kanak-kanak itu pergi, dia menyeluk pula saku seluarnya dan mengeluarkan segumpal RM1 dan RM5. Kalau dicongakkan, mungkin lebih RM20.
“Adik!” Lelaki tua itu menjerit memanggil semula kanak-kanak yang sudah beberapa langkah berlalu darinya. Kanak-kanak itu berpaling dan berlari perlahan mendekati pakcik beca semula.
“Nah ambil ni,” katanya sambil menepuk-nepuk bahu si kecil.
Kanak-kanak itu kelihatan terkejut namun tetap mengucapkan terima kasih dan menghadiahkan senyuman sebelum bersalam mencium tangan pakcik itu, dan berlalu pergi. Ketika itulah suami yang kehairanan mendekati pakcik beca.

Upah naik beca

Suami memberi salam dan disambut mesra pakcik beca. Apabila suami amati, lelaki itulah yang membawa kami bersiar-siar tadi.

“Saya perhatikan pakcik, mula-mula pak cik beri RM5, lepas tu beri lagi segumpal duit. Banyak tu. Kenapa ye?” Suami bertanya.
Dengan senyuman lelaki tua itu menjawab “Saya kesian.”

Jawapan pakcik itu bersahaja tapi ia membuatkan suami lebih hairan.
“Tapi, pak cik pun kerja bawa beca. Itu pendapatan hari ini ke?” soalnya.

“Tak apalah. Saya ni masih kuat lagi. Boleh bawa beca tu cari duit lain. Tapi budak macam tu sepatutnya pergi sekolah. Terpaksa cari duit dengan cara macam tu. Apalah sangat akal seorang budak,” jawabnya lagi.

"Tapi, mana tau ada sindiket ke, menyamar ke, atau..." ujar suami yang mahu memberi alasan lain sebelum pakcik itu tiba-tiba memintas kata-katanya.
"Pak cik tak fikir sejauh itu. Ia urusan ALLAH. kita doa yang baik-baik saja pada mereka," jawabnya.

Suami terpempan dengan jawapan pakcik beca. Melihat pakcik beca mahu berlalu, suami hulur sedikit wang kepada pakcik itu, tapi dia menolak. Suami paksa juga sambil bersalam dan menyelit wang di celah-celah tangannya.

“Pakcik anggap saja sebagai upah bawa saya dan isteri naik beca tadi,” kata suami memujuk pak cik itu untuk menerima pemberiannya.

Dengan senyuman pak cik itu menjawab, “Pakcik sedekah tadi ikhlas dan tak minta balasan. Tak sangka secepat ini ALLAH balas sedekah pakcik,” katanya.
Kenyataannya buat suami rasa terpukul apatah lagi membandingkan kemampuan kami dengan pak cik beca yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu. Saya pula kelu seribu bahasa.
Memang betul kata pakcik itu. Kadang-kadang, bila ada yang minta sedekah, ada saja suara hati yang melarang dengan kata-kata seperti mungkin sindiket, kenapa tak kerja, duit hanya cukup untuk bulan ini dan pelbagai alasan lain yang mengehadkan saya daripada bersedekah.

Teringat pesan emak, dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Banyakkan memberi walaupun hanya RM1. Anda bagaimana? Setiap detik yang kita lalui itu ketentuan ALLAH. Dia menghantar kanak-kanak kecil menjual tasbih mahupun buku untuk menguji kita. Untuk memberi kita peluang berbuat pahala dan mengurangkan dosa.
Anggap saja, mungkin kita sudah lama tidak bersedekah hingga ALLAH datangkan mereka betul-betul di hadapan mata. Soal sindiket atau tidak, tipu atau sebagainya, itu bukan urusan kita. ALLAH Maha Mengetahui.

Lagi produk tenusu disekat


produk tenusu  

China memantau ketat produk tenusu import khas dari New Zealand.

WELLINGTON - China sekali lagi bertindak menyekat sebilangan besar produk tenusu dari New Zealand, berikutan mengandungi paras nitrat yang boleh menyebabkan kematian kepada kanak-kanak.

Pengatur pertanian New Zealand berkata, pihaknya terpaksa membatalkan empat penghantaran tenusu laktoferin dikeluarkan Syarikat Susu Westland selepas China mendedahkan ia mengandungi tahap nitrat berbahaya.

Bagaimanapun, dua daripada penghantaran telah dilakukan tetapi disahkan masih tidak dijual kepada pengguna.

"Risiko keselamatan makanan lain untuk pengguna China diabaikan kerana mengandungi kuantiti laktoferin pada tahap kecil dan bermakna, kandungan nitratnya masih boleh diterima," kata Ketua Pengarah Kementerian Industri Prima, Scott Gallacher.

Pengumuman dibuat beberapa minggu selepas syarikat pengeluar terbesar, Fonterra mengakui beberapa produk tenusunya telah dicemari bahan botulisme yang menyebabkan pembiakan bakteria.

Keadaan itu memaksa New Zealand menarik balik produk formula bayi, minuman sukan dan beberapa produk lain di China dan negara Asia Pasifik.  - Reuters