Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Wednesday, August 21, 2013

PTPTN tidak teruskan CCRIS

SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menyatakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)  tidak akan meneruskan cadangan untuk menyenaraikan peminjam ingkar di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Menerusi kenyataan beliau yang dipetik dalam akaun Facebooknya (FB) keputusan itu dilakukan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan, hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan yang telah mendengar pandangan golongan muda.

"Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri.

"Alhamdulillah, PTPTN tak akan meneruskan cadangan untuk menyenaraikan peminjam di bawah CCRIS.

"Terima kasih kepada PM dan menteri-menteri pendidikan kerana mendengar suara orang muda," tulisnya.

Semalam, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno turut membantah tindakan menyenaraikan peminjam PTPTN disenaraikan di bawah CCRIS.

Sehubungan itu, Khairy telah menyampaikan pandangannya mengenai perkara itu kepada Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh

Uji pelajar masih dara


Palembang: Seorang pegawai pendidikan di pulau Sumatera, Indonesia, mencadangkan supaya pelajar perempuan sekolah menengah menjalani ujian mengesahkan sama ada mereka dara atau tidak.

Ia bertujuan untuk mencegah mereka daripada terbabit dalam hubungan seks bebas selain menyekat pelacuran. - AP

Tuesday, August 20, 2013

Pemuda Umno bantah kerajaan laksana CCRIS terhadap peminjam PTPTN

Pemuda Umno menolak cadangan melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar (pic) sebaliknya menggesa Putrajaya supaya menggunakan mekanisma sedia ada untuk mengutip balik semula pinjaman PTPTN.
"Pergerakan Pemuda Umno tidak bersetuju dengan pendirian Kerajaan, yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh.
"Pada pandangan Pemuda Umno, Kerajaan sepatutnya mengguna pakai segala mekanisme kutipan serta tindakan sedia ada ke atas peminjam-peminjam yang masih berkeras dan tidak mengambil endah tuntutan pembayaran balik yang dikeluarkan," kata Khairy dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Belia dan Sukan itu juga berkata Putrajaya juga perlu menimbangkan situasi semasa peminjam PTPTN.
"Bahkan,  keutamaan hendaklah diberi kepada tindakan bersepadu yang juga mengambil kira pemberian insentif bayaran balik serta kaedah pembayaran anjal yang mengambil kira situasi semasa peminjam," tegasnya lagi.
Pinjaman PTPTN adalah sebuah keperluan dan berbeza dengan pinjaman-pinjaman lain serta tidak wajar kaedah sama digunakan untuk mengutip semula hutang pinjaman pendidikan tersebut, menurut Khairy lagi.
"Pinjaman PTPTN amat berbeza dengan pinjaman-pinjaman lain seperti hutang kad kredit atau kenderaan kerana ia tidak tergolong dalam pinjaman berasaskan pilihanan peribadi.
"Harus diakui bahawa pinjaman PTPTN bersifat keperluan kerana Kerajaan tidak menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya di institusi pengajian tinggi," tegasnya lagi.
Selain itu, Khairy juga berkata pendidikan adalah keperluan untuk golongan muda dan langkah melaksanakan CCRIS akan memberi tanggapan negatif terhadap kerajaan.
"Kumpulan peminjam tegar yang tidak melunaskan sebarang pembayaran balik adalah kecil dan tindakan penyenaraian hitam sebegini boleh memberi tanggapan umum yang negatif kepada segala gerak kerja PTPTN," tambahnya.
Semalam, Idris semasa mengumumkan langkah tersebut berkata, menerusi pendekatan melalui CCRIS,  peminjam PTPTN ingkar berkenaan akan menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya.
Sejurus pengumuman tersebut, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan, pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dan juga aktivis mahasiswa membidas Idris kerana langkah tersebut akan menindas golongan belia.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) berkata selain menghukum peminjam, yang majoritinya anak muda, tindakan diumumkan Idris itu juga akan menutup peluang belia Melayu dan Bumiputera menceburkan diri dalam perniagaan ekoran kesukaran mendapatkan pembiayaan institusi kewangan.
PR juga turut membidas kenyataan Idris tersebut dengan mengatakan ia satu bentuk penindasan kepada peminjam  PTPTN serta sebaliknya menegaskan kerajaan wajar menangani masalah peningkatan kos sara hidup yang menjadi beban utama  golongan muda.
PTPTN meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2.2 juta pelajar sejak 1 Julai 1997 sehingga 30 Jun lalu, dengan amaun  keseluruhan berjumlah RM49.9 bilion.

Lagi produk tenusu disekat


produk tenusu  

China memantau ketat produk tenusu import khas dari New Zealand.

WELLINGTON - China sekali lagi bertindak menyekat sebilangan besar produk tenusu dari New Zealand, berikutan mengandungi paras nitrat yang boleh menyebabkan kematian kepada kanak-kanak.

Pengatur pertanian New Zealand berkata, pihaknya terpaksa membatalkan empat penghantaran tenusu laktoferin dikeluarkan Syarikat Susu Westland selepas China mendedahkan ia mengandungi tahap nitrat berbahaya.

Bagaimanapun, dua daripada penghantaran telah dilakukan tetapi disahkan masih tidak dijual kepada pengguna.

"Risiko keselamatan makanan lain untuk pengguna China diabaikan kerana mengandungi kuantiti laktoferin pada tahap kecil dan bermakna, kandungan nitratnya masih boleh diterima," kata Ketua Pengarah Kementerian Industri Prima, Scott Gallacher.

Pengumuman dibuat beberapa minggu selepas syarikat pengeluar terbesar, Fonterra mengakui beberapa produk tenusunya telah dicemari bahan botulisme yang menyebabkan pembiakan bakteria.

Keadaan itu memaksa New Zealand menarik balik produk formula bayi, minuman sukan dan beberapa produk lain di China dan negara Asia Pasifik.  - Reuters

PTPTN laksana CCRIS kepada peminjam ingkar


ptptn


KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dengan kerjasama Bank Negara bagi menyenaraikan peminjam ingkar, bermula bulan ini.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata, CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan.

Menerusi pendekatan ini peminjam PTPTN yang ingkar menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya, kata Idris.

Beliau ditemui pemberita pada majlis mesra bersama pelanggan dan sambutan Aidilfitri PTPTN, di sini hari ini.

"Institusi kewangan atau bank akan menilai dan menganalisis setiap pinjaman, baki pinjaman, rekod bayaran balik serta bilangan bulan tertunggak yang terlibat. Ini akan mempengaruhi kelulusan permohonan atau jumlah pinjaman," katanya.

Idris berkata pelaksanaan CCRIS tidak bertujuan membebankan peminjam PTPTN sebaliknya mahu menggalakkan budaya pembayaran balik sebagai kemudahan pembiayaan pendidikan kepada generasi seterusnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata PTPTN merangka beberapa penyelesaian bagi membantu peminjam yang disenarai dalam CCRIS termasuk membayar keseluruhan tunggakan serta membuat komitmen bayaran secara ansuran melalui potongan gaji atau Arahan Tetap bank.

"Selain itu peminjam juga mempunyai pilihan dengan membuat penjadualan atau penstrukturan semula pinjaman mereka yang tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh PTPTN," katanya.

Sehingga 30 Jun lepas PTPTN telah meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2.2 juta pelajar dengan amaun keseluruhan berjumlah RM49.9 bilion.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata Kementerian Pendidikan sedang berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi Mesir agar penangguhan peperiksaan membabitkan pelajar Malaysia dilanjutkan untuk satu tempoh yang lama.

Ini kerana katanya krisis di Mesir dilihat akan mengambil masa untuk pulih. - Bernama