SIAPA sangka, hukuman dirotan dengan tali pinggang oleh guru sekolah rendahnya telah membentuk Sir Alex Ferguson menjadi individu dihormati dalam sejarah bola sepak Inggeris.

Menurut Ferguson,72, tali pinggang yang pernah digunakan oleh gurunya, Elizabeth Thomson kini ditempatkan di kediamannya sebagai koleksi berharga selepas ia diwasiatkan kepadanya.

“Saya akan dihukum jika melanggar peraturan. Biasanya, saya dirotan kerana bergaduh di taman permainan,” katanya sambil mengimbau memori lama ketika di Broomloan Road Primary di Glasgow.

Menurutnya, beliau amat kagum dengan ketegasan gurunya kerana ia memberi banyak inspirasi kepada dirinya.

“Beliau juga mempunyai keazaman yang tinggi untuk memastikan setiap muridnya berdisiplin. Thomson akan berjumpa sendiri dengan mana-mana ibu bapa murid yang tidak hadir ke sekolah tanpa sebab,” jelasnya.

Bertitik tolak daripada amalan rotan itu, Ferguson dikatakan menggunakan hairdryer treatment sebagai cara untuk mendisiplinkan pemain yang berprestasi rendah.

Ferguson mempunyai rekod pencapaian yang cemerlang sebagai pengurus Red Devils kerana kelab tersebut berjaya meraih gelaran juara sebanyak 13 kali dalam Liga Perdana Inggeris, lima kali menjulang Piala FA selain merangkul dua trofi Liga Juara-juara, laporan dipetik dari The Mirror News.