Saturday, January 25, 2014

Juruterbang diserang sakit jantung


IOWA - AMERIKA SYARIKAT. Penumpang pesawat United Airlines Boeing 737 berhadapan detik cemas apabila juruterbang pesawat berkenaan diserang sakit jantung.

Dipetik laporan Daily Mail, bagaimanapun, beliau bernasib baik selepas diselamatkan oleh seorang jururawat Linda Alweiss dari Camarillo, California yang ketika itu dalam perjalanan dari Des Moines ke Denver bersama suami dan anak perempuannya.

"Saya tampil membantu selepas kru pesawat membuat pengumuman jika ada kalangan penumpang yang mempunyai latihan perubatan," katanya.

Alweiss kemudiannya dibantu seorang lagi wanita, Amy Sorenson untuk memberikan rawatan kecemasan.

Pesawat itu bagaimanapun mendarat dengan selamat di Ohama selepas pembantu juruterbang mengambil alih penerbangan dan meneruskan perjalanan menuju ke Denver keesokan harinya. 

Teratai paling kecil di dunia hilang


Teratai paling kecil di dunia hilang  
Teratai paling kecil di dunia ini boleh mencecah nilai lumayan.

LONDON - Salah satu spesies teratai air terkecil di dunia yang semakin pupus dilaporkan dicuri dari Royal Botani Garden di Kew, United Kingdom.

Menurut jurucakap polis Nymphaea Thermarun, bunga itu didakwa dicuri dari sebuah rumah kaca Princess of Wales Conservatory, barat daya ibu negara.

"Pegawai kami dimaklumkan, tumbuhan itu mungkin digali atau dikail dari atas kolam dari jarak jauh," katanya kepada AFP.

Menurutnya, nilai bungan terbabit dianggarkan mencecah ribuan pound memandangkan spesies bunga itu sukar diperoleh dan ianya tersenarai sebagai bunga perlindungan. 

Tak mandi 60 tahun



FARS - IRAN. Seorang lelaki warga Iran dipercayai tidak pernah mandi sejak 60 tahun lalu kerana percaya ‘kebersihan itu sebagai punca penyakit’.
Haji, 80, dari Dejgah, berang jika beliau terkena air.
Keadaan itu menyebabkan kulitnya menyamai warna tanah dan berkerak.
Penduduk berkata, Haji lebih suka memakan daging landak busuk dan meminum 5 liter air sehari dari air takungan bekas karat.
“Dia mengisi rokok dengan najis haiwan,” katanya.
Menurutnya lagi, Haji tinggal di ‘rumah’ dalam lubang tanah seperti kubur.
"Haji mengalami tekanan emosi hingga membuatkan dia memilih cara kehidupan seperti itu,” katanya yang dipetik  TNews

Drama tebusan cinta


Drama tebusan cinta

SANYA - Gara-gara perkahwinan ditentang keluarga, seorang buruh binaan di China sanggup mengheret teman wanitanya ke atas bumbung dan mengacukan pisau pemotong daging ke leher mangsa.

Media melaporkan, suspek dikenali sebagai Lin, 32, turut mengugut membunuh mangsa kerana mendakwa mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

"Drama tebusan berlangsung selama lima jam. Selain itu, suspek juga bertindak menanggalkan pakaian dan mengarahkan mangsa melakukan perkara sama dengan tujuan ingin memalukan mangsa di hadapan jiran yang sedang melihat mereka," menurut laporan media.

Menurut Daily Mail, selepas lima jam, suspek meminta sebuah kereta untuk melarikan diri bersama teman wanitanya, namun cubaannya gagal apabila dia ditahan anggota polis dan orang awam.

Sahabat sejati


Sahabat sejati 
 Kedua-dua haiwan itu kini dikatakan tidak boleh berjauhan

PERIBAHASA ‘bagai anjing dengan kucing’ biasanya dirujuk kepada individu yang sering bertelagah.
Namun, peribahasa itu tidak lagi relevan apabila kedua-dua haiwan itu dikatakan menjadikan ‘sahabat setia'.

Pemilik anjing Diane Gagliano yang bekerja di Perkhidmatan haiwan Seminole County berkata, anjingnya mengutip kucing itu dari tepi jalan selepas dibuang oleh pemiliknya.

“Kucing lumpuh itu berusia kira-kira dua tahun. Anjing saya membawanya pulang ke rumah dan kini kedua-duanya bersahabat,” katanya dipetik DailMail

Menurutnya, jika ada sesiapa yang cuba menyentuh kucing itu, anjingnya akan melindungi kucing terbabit.

Melihat keakraban kedua-dua haiwan itu, beliau kini berusaha membuat kempen menyelamatkan kucing dan anjing terbiar di sekitar rumahnya di Florida, Amerika Syarikat.

Landak jatuh di kepala


Landak jatuh di kepala  
Doktor bedah mengeluarkan duri dari kepala Nabucco.

SEORANG wanita Brazil terpaksa dikejarkan ke hospital selepas kepalanya dicucuk lebih 270 duri landak.

Sandra Nabucco, 52, dari Rio de Janeiro berkata, landak itu jatuh di  atas kepalanya dari  tiang elektrik ketika beliau sedang berjalan sekitar bandar itu.

“Apabila saya menyentuh kepala akibat terlalu sakit, saya dapati banyak duri landak di tangan,” katanya dipetik DailyMail

Sejurus kejadian itu, dia meminta bantuan dari jiran untuk menghantarnya ke hospital.

“Saya diberikan antibiotik dan doktor bedah mengeluarkan lebih 200 duri dari kepala. Ia amat menyakitkan,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran landak itu menjadi tanda tanya kerana kawasan dilaluinya bukanlah berhampiran hutan.

Nelayan tangkap sotong gergasi


Nelayan tangkap sotong gergasi 
 Sotong gergasi ditangkap nelayan Jepun.

SEKUMPULAN nelayan Jepun dapat menangkap sotong gergasi sepanjang 3.4 meter di perairan barat negara itu, kelmarin.

Difahamkan, hidupan laut seberat 100 kilogram itu masih hidup ketika ditangkap di perairan wilayah Tottori tetapi mati sebelum bot nelayan tiba di daratan.

Menurut laporan AP, sotong gergasi berkenaan dipercayai cedera kerana dua daripada sesungut panjangnya didapati hilang.

Ketibaan sotong itu menjadi tumpuan penduduk dan media tempatan.

Kebanyakan mereka membayangkan, jumlah sajian yang boleh dihidangkan jika sotong itu dipotong menjadi sashimi.

Bagaimanapun, kandungan ammonia yang tinggi dalam sotong itu dikatakan akan menjejaskan rasa enaknya.

Sotong itu dianggarkan boleh mencecah lapan meter panjang jika sesungutnya masih ada dan dipercayai berada di kawasan perairan sedalam antara 300 hingga 1,500 meter di dasar laut.