Thursday, October 3, 2013

Presiden Iran dibaling kasut


Presiden Iran dibaling kasut  
Kasut yang dibaling ke arah Hassan dilaporkan tersasar dan gagal mengenai beliau.

TEHERAN - IRAN. Kereta yang membawa Presiden Iran Hassan Rohani telah dibaling kasut oleh individu tidak dikenali ketika beliau meninggalkan Lapangan Terbang Mehrabad selepas kembali dari menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, semalam.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan kasut tersebut gagal mengenai beliau yang ketika itu sedang melambaikan tangan ke arah penyokongnya.

Kejadian itu dipercayai berlaku berikutan sekumpulan penunjuk perasaan berang kerana Hassan berbual selama 15 minit bersama Presiden AS Barack Obama untuk pertama kali, malam kelmarin selepas hubungan antara kedua-dua negara terbabit dilaporkan dingin sejak lebih 30 tahun lalu.

Khamis lalu, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif turut mengadakan pertemuan bersama wakil beberapa negara termasuk Setiausaha Negara AS, John Kerry untuk berbincang mengenai program nuklear yang dibangunkan negara tersebut.

Difahamkan laporan dipetik dari AFP, bekas Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad juga pernah menerima nasib yang sama ketika beliau mengadakan lawatan ke Mesir, awal tahun lalu.

Memandu boleh rosakkan ovari?


Memandu boleh rosakkan ovari?  
Memandu didakwa boleh beri kesan sampingan kepada golongan wanita.

RIYADH - ARAB SAUDI. Seorang ulama terkemuka di Arab Saudi mendakwa bahawa memandu boleh memberi kesan sampingan kepada golongan wanita termasuk merosakkan ovari selain menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah klinikal.

Jumaat lalu, dalam satu wawancara yang dipaparkan di dalam laman sesawang sabq.org, Sheikh Saleh al-Lohaidan turut menyokong hujahnya itu bersama dengan kajian perubatan yang menunjukkan perbuatan memandu sebenarnya memberi kesan secara terus kepada ovari selain menolak pelvis ke atas.

"Perkara ini dapat dilihat dengan jelas kerana wanita yang memandu secara kerap biasanya akan mempunyai anak yang mengalami pelbagai masalah klinikal," jelasnya menurut laporan Reuters.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu susulan daripada tindakan beberapa aktivis yang mengadakan kempen baru untuk membantah larangan tersebut pada 26 Oktober depan.

Caesar teman setia pesara


Caesar teman setia pesara  
Weller menghabiskan masa bersama Ceaser di rumahnya.

KENT - ENGLAND. Seorang pesara, Chris Weller, 66, sanggup tidur di loteng dan membelanjakan lebih 23,000 pound  (RM120,000) untuk mengubah suai rumah banglo di Rochester, Kent, Britain bagi menempatkan seekor buaya peliharaannya.

Weller yang pernah berkhidmat lebih 40 tahun di penjara Rochester menukar tingkat bawah rumahnya dan membina sebuah kolam untuk dijadikan habitat reptilia itu untuk berkeliaran.

Menurut Weller, buaya digelar Caesar dibeli enam tahun lalu ketika panjangnya masih kurang 0.3 meter untuk dijadikan sebagai teman.

"Kini ia berusia tujuh tahun dengan panjang lebih 1.6 meter. Spesies ini boleh hidup sehingga 40 tahun dan panjangnya boleh mencecah lebih 2 meter.

"Caesar adalah peneman paling rapat, dan kami akan menghabiskan hampir setiap masa bersama pada setiap hari dengan menonton televisyen dan mendengar radio," katanya, laporan dipetik dari DailyMail.

Lelaki paling pendek di dunia


Lelaki paling pendek di dunia 
 Master Nau mempunyai ketinggian 41sm.

KATHMANDU - NEPAL. Seorang warga emas sanggup pergi ke Kathmandu bagi menunaikan hasratnya untuk diiktiraf dalam Rekod Dunia Guinness sebagai lelaki paling pendek di dunia.

Master Nau, 73, dari Bhairahawa mempunyai ketinggian 41 sentimeter (sm).

Anak saudaranya, Seema Sheikh berkata, kehadiran Nau disambut meriah media dari pelbagai agensi.

"Master Nau gemar melancong dan suka berkongsi tentang kehidupan hariannya," katanya.

Difahamkan, rekod manusia paling pendek di dunia ketika ini dipegang seorang lelaki warga Nepal, Chandra Bahadur Dangi, 74, dengan ketinggian 54.6sm, laporan dipetik dari AP.

Budak maut disambar buaya


MEXICO - Seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun meninggal dunia selepas dibaham buaya yang muncul di kampungnya selepas ribut tropika Ingrid dan Manuel membadai selatan negara itu.

Jurucakap Pegawai Perlindungan Alam Sekitar dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 28 ekor buaya ditangkap di bandar itu sejak dua minggu lalu, laporan dipetik dari AFP.

"Ketika kejadian, kanak- kanak malang itu sedang bermain di sungai di selatan negeri Oaxaca bersama abangnya berusia 13 tahun sebelum buaya sepanjang empat meter menyambar kepala dan mengheret mangsa.

"Buaya itu ditangkap dan kini diletakkan di taman negara di bawah perlindungan pengawal pantai Oaxaca," katanya.

Tikus gergasi ditangkap


Tikus gergasi ditangkap  
Tikus menjadi hidangan penduduk di Hunan.

HUNAN - CHINA.Seekor tikus gergasi seberat lebih lima kilogram ditangkap petani Cina di Shaoyang, Hunan, China.

Tikus seberat 10 kali ganda daripada tikus biasa itu pertama kali dikesan selepas memakan ikan seberat tiga kilogram dari sebuah kolam di kampung Shaoyang yang selama ini mengganggu ketenteraman penduduk kampung.

Menurut media tempatan, selepas dibunuh petani menghadapi kesukaran untuk menyiangnya kerana kulit dan tulang yang tebal.

"Dua bilah pisau patah semasa mereka cuba memasaknya," menurut laporan itu kepada Daily Mail.

Tikus merupakan makanan tradisional di Guangdong, selatan China dan dipercayai tiga kali lebih berkhasiat berbanding ayam.

Mr Bean sudah peluk agama Islam?

Rowan Atkinson 



 Rowan Atkinson

BERITA ini mungkin akan mengejutkan dunia hiburan seluruh dunia.

Sebentar tadi, melalui sebuah portal berita yang dipetik dari Islampos.com dan laman web Sadalbadi.com melaporkan bahawa selebriti yang popular dengan watak lucu Mr Bean iaitu Rowan Atkinson, dipercayai telah memeluk agama Islam baru-baru ini.

Menurut laman web berkenaan, Rowan dipercayai terbuka hati untuk memeluk agama Islam selepas menonton filem Innocent of Muslim.

Melalui sebuah portal berita dari Indonesia pula, mereka memberitahu, “Mr Bean tak berbicara banyak ketika ditanya media, hanya mengangkat jari saja sebagai isyarat dia bersyahadat."

Menurut beberapa sumber portal media, Sheikh Rashid Ghannousyi, adalah salah seorang pembimbing Mr Bean.

"Banyak yang memberi selamat kepadanya di sepanjang jalan” – dipetik dari Islampos.com.

Sehingga kini, masih belum dapat dipastikan lagi kesahihan berita ini.

Khabarnya, media-media barat masih belum menyiarkan lagi apa-apa berita mengenai Rowan Atkinson.