Tuesday, August 20, 2013

PTPTN laksana CCRIS kepada peminjam ingkar


ptptn


KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dengan kerjasama Bank Negara bagi menyenaraikan peminjam ingkar, bermula bulan ini.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata, CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan.

Menerusi pendekatan ini peminjam PTPTN yang ingkar menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya, kata Idris.

Beliau ditemui pemberita pada majlis mesra bersama pelanggan dan sambutan Aidilfitri PTPTN, di sini hari ini.

"Institusi kewangan atau bank akan menilai dan menganalisis setiap pinjaman, baki pinjaman, rekod bayaran balik serta bilangan bulan tertunggak yang terlibat. Ini akan mempengaruhi kelulusan permohonan atau jumlah pinjaman," katanya.

Idris berkata pelaksanaan CCRIS tidak bertujuan membebankan peminjam PTPTN sebaliknya mahu menggalakkan budaya pembayaran balik sebagai kemudahan pembiayaan pendidikan kepada generasi seterusnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata PTPTN merangka beberapa penyelesaian bagi membantu peminjam yang disenarai dalam CCRIS termasuk membayar keseluruhan tunggakan serta membuat komitmen bayaran secara ansuran melalui potongan gaji atau Arahan Tetap bank.

"Selain itu peminjam juga mempunyai pilihan dengan membuat penjadualan atau penstrukturan semula pinjaman mereka yang tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh PTPTN," katanya.

Sehingga 30 Jun lepas PTPTN telah meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2.2 juta pelajar dengan amaun keseluruhan berjumlah RM49.9 bilion.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata Kementerian Pendidikan sedang berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi Mesir agar penangguhan peperiksaan membabitkan pelajar Malaysia dilanjutkan untuk satu tempoh yang lama.

Ini kerana katanya krisis di Mesir dilihat akan mengambil masa untuk pulih. - Bernama

Sunday, August 18, 2013

Isteri jutawan Malaysia tuntut cerai RM2.5b


LONDON - UNITED KINGDOM .  Isteri pengasas pakaian Laura Ashley menuntut pampasan cerai 500 juta pound (RM2.5 bilion) sekali gus menjadikan kes penceraian termahal di Britain.

Pauline Chai, 66, menuntut cerai daripada Khoo Key Peng, 74, yang mempunyai pegangan 40 peratus saham dalam Laura Ashely pada 1998.

Media melaporkan, jumlah tuntutan dipohon daripada individu ke -36 terkaya di Malaysia itu dilakukan melalui Mahkamah Tinggi London dan mahu tuntutan kes itu didengari di Malaysia.

Pasangan mempunyai lima anak itu didakwa tinggal berasingan sejak setahun lalu di rumah agam bernilai 30 juta pound (RM150 juta) dalam kawasan ladang di Rossway Park, Berkhamsted, Hertfordshire.

Chai berkata, beliau kini tinggal di rumah agam 15 bilik manakala suaminya tinggal di rumah lima bilik.

“Khoo hanya memberi wang belanja 50 pound (RM250) seminggu dan saya juga dilarang meninggalkan rumah sejak berkahwin dengannya,” katanya menurut MailOnline.

Ibu bapa ditipu, bayi mereka dijual


CHINA - Polis China menyelamatkan seorang bayi lelaki yang dijual oleh doktor yang menyambut kelahirannya, lapor media tempatan.

Bayi yang dilahirkan di daerah Shaanzi itu ditemui semalam di kawasan Henan.

Ujian DNA mengesahkan identiti bayi tersebut.

Media tempatan menyebut doktor terbabit memberitahu ibu bapa bayi tersebut bahawa bayi mereka menghidap penyakit yang serius dan memujuk agar bayi tersebut berada di bawah penjagaannya.

Ibu bapa bayi itu membuat laporan polis apabila mendapati mereka telah ditipu.

Tiga suspek, doktor, seorang lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dan penjualan bayi juga telah ditangkap.

Polis tempatan berkata, mereka sedang menyiasat lima kes sama yang turut melibatkan hospital yang sama.

Zakar dimakan anjing?

SANTIAGAO - CHILE . Seorang warga emas hilang kejantanan apabila keseluruhan zakarnya ‘ghaib’ dipercayai digigit anjing di Santiago, Republik Dominican.

Nasib malang itu menimpa Geraldo Ramos, 64, ketika beliau dalam keadaan mabuk teruk sebelum pengsan di tepi jalan.

“Menurut jiran, pada malam kejadian, saya diserang sekumpulan anjing dan ditemui dalam keadaan bogel,” katanya.

Beliau berkata, keesokan harinya, dia mendapati berlaku pendarahan teruk di kemaluannya dan mendapati zakarnya 'hilang'.

“Saya dikejarkan ke hospital untuk pembedahan kecemasan. Sehingga kini, anjing yang didakwa menggigit zakar saya masih belum ditemui,” katanya dipetik dari laporan MailOnline.

Akibat dari peristiwa hitam itu, beliau kini nekad berhenti mengambil minuman alkohol.

Julai lalu, seorang lelaki disahkan lumpuh apabila seekor anjing dikatakan menggigit salah satu daripada bahagian zakarnya di Arkansas dan diikuti di Brazil seorang lelaki dilaporkan putus jari selepas digigit anjing peliharaannya.

Goreng telur di atas jalan raya

Goreng telur di atas jalan raya   
Seorang kanak-kanak menggoreng telur dan udang di tepi jalan ketika tengah hari dalam timur wilayah Shandong, China.


ANDA tidak perlukan dapur serta api untuk menggoreng udang atau telur.  Di China, penduduk boleh memasak telur dan makanan laut hanya di tepi jalan.

Menurut laporan AP, tahun ini, cuaca panas yang meningkat secara mendadak iaitu mencecah suhu 40 darjah Celsius di 40 buah bandar dan daerah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang di China.

Malah, suhu panas yang berlaku selepas 140 tahun itu menyebabkan beberapa papan iklan lebuh raya terbakar dengan sendirinya.

Pihak berkuasa pula, buat julung-julung kalinya mengisytiharkan kepanasan melampau di China berada pada 'tahap 2' yang digunakan untuk mengkategorikan peringkat bahaya taufan dan banjir.

Gelombang haba mendadak itu menyerang Shanghai dan beberapa bandar di wilayah timur dan selatan sejak awal Julai lalu yang dijangka membakar China sehingga pertengahan Ogos ini.

Setakat ini, kawasan ditimur Fenghua dicatatkan paling panas dengan suhu 42.7 darjah Celsius, Julai lalu.

40 ekor ular sawa ditemui di bilik hotel

40 ular sawa ditemui di bilik hotel



MONTREAL - KANADA. Polis menemui 40 ekor ular sawa di sebuah bilik hotel sekali gus merungkai punca kematian dua kanak-kanak seminggu lalu di Quebec, Kanada.

Polis dalam satu kenyataan melaporkan, reptilia itu ditemui dalam tong penyimpanan plastik di sebuah bilik hotel di Brantford, Ontario.

“Bilik itu sebelum ini didiami oleh dua individu yang didakwa pemilik ular yang membunuh dua kanak-kanak minggu lalu di sebuah kawasan kejiranan,” katanya kepada AFP.

Menurut kenyataan itu, kertas pertuduhan terhadap pasangan itu akan dibuka atas dakwaan melanggar undang-undang pemilikan haiwan terlarang.

“Ular sepanjang antara 30 sentimeter hingga 1.4 meter itu diserahkan kepada Persatuan Perlindungan Haiwan Kanada untuk pemantauan,” katanya.

Minggu lalu, Nuh Barther, 5, dan Connor, 6,  maut di bandar timur Campbellton, New Brunswick selepas dipercayai dibelit ular sawa Afrika yang terlepas dari kurungan dipercayai milik pasangan tersebut

Telefon pintar punca golongan muda rabun?



LONDON 16 Ogos - Seorang pakar laser mata mendakwa, kadar rabun dekat dalam kalangan orang muda semakin meningkat ekoran penggunaan telefon pintar.
Pengasas Focus Clinics, David Allamby berkata, terdapat peningkatan sebanyak 35 peratus dalam jumlah orang mengidap rabun dekat atau myopia sejak pelancaran telefon pintar pada 1997.
Beliau memberi amaran masalah tersebut akan meningkat sebanyak 50 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Dr. Allamby berkata, separuh daripada rakyat Britain memiliki telefon pintar dan menggunakannya selama dua jam sehari.
"Penggunaan komputer dan menonton televisyen, meningkatkan risiko merosakkan penglihatan mereka secara kekal,'' katanya.
Satu kajian baharu mendapati, purata pengguna memegang dan melihat telefon pada jarak 30 sentimeter dari muka mereka dengan sesetengah daripadanya menggunakan alat telekomunikasi itu pada jarak lebih dekat iaitu 18 sentimeter.
Dr. Allamby berkata, menonton skrin dalam jarak dekat yang melampau menyebabkan gen yang mengawal rabun dekat diaktifkan lebih awal berbanding usia sepatutnya.
Rabun dekat biasanya tidak berlaku dalam kalangan individu berumur awal 20 tahun, tetapi kini ia boleh terjadi kepada mereka yang berusia 20-an, 30-an dan 40-an.
Dr. Allamby berkata, jika keadaan itu berterusan, beliau meramalkan 40 hingga 50 peratus mereka yang berusia 30 akan menghidap rabun dekat menjelang 2033 kerana telefon pintar dan gaya hidup di depan skrin. - AGENSI