Sunday, September 8, 2013

Sanggup 'beri' anak akibat desakan hidup


Sanggup 'beri' anak akibat desakan hidup 
 Bayi kembar tiga itu kini diletakkan di bawah jagaan pihak berkuasa.

BEIJING - CHINA . Akibat desakan hidup, seorang lelaki dilaporkan sanggup memberikan bayi kembar tiganya berumur 11 bulan kepada pejalan kaki di Dengfeng di wilayah Henan.

Bagaimanapun, bapa kepada lima anak itu ditahan selepas beberapa individu yang prihatin selepas mengesyaki dia mungkin ahli sindiket pemerdagangan kanak-kanak bertindak membuat laporan kepada polis.

Hasil siasatan awal pihak berkuasa mendapati Xu Lin terpaksa berbuat demikian kerana tidak mampu untuk menanggung mereka.

Menurut jurucakap polis, mereka mungkin akan mempertimbangkan kes itu kerana ia tiada unsur jenayah.

Difahamkan, masalah seperti itu berlaku kerana penduduk di luar bandar utama sering melanggar undang-undang satu anak untuk sebuah keluarga yang diamalkan di negara itu, dipetik dari laporan DailyMail.

Remaja berumur 110 tahun?


Remaja berumur 110 tahun?  

 Ali yang dibesarkan dalam kawasan termiskin di India diramal hanya mampu hidup tidak sampai 20 tahun lagi

FIKIRAN dan jiwanya masih seperti seorang remaja lelaki berumur 14 tahun, namun jika dilihat dari sudut fizikal, Ali Hussain sebenarnya sudah melewati usia 110 tahun.

Dipetik laporan MailOnline, Ali yang dibesarkan di wilayah miskin Bihar, India, disahkan menghidapi sejenis sindrom genetik Progeria dan memperlihatkan fizikalnya lapan kali ganda lebih tua berbanding umur sebenar.

Dua abang dan tiga adik beradik perempuan Ali, telah meninggal dunia apabila penyakit genetik yang menjejaskan 80 orang seluruh dunia membunuh mereka.

Progeria adalah sejenis sindrom yang menyebabkan seseorang itu mengalami proses penuaan secara pantas sekali gus memudahkannya dijangkiti artritis, masalah mata, penyakit jantung dan botak.

Jangka hayat pesakit juga amat pendek iaitu antara 14 tahun hingga 20-an.

Bagaimanapun, Ali yang hanya memiliki berat 10 kilogram, tidak berputus asa selepas mengetahui tempoh hayatnya itu, dan berharap ubat yang diambilnya setiap hari dapat memanjangkan usia dan kesihatannya bertambah baik.

"Saya amat berharap dapat hidup dengan lebih lama dan saya sebenarnya tidak takut mati tetapi bimbang sekiranya ia berlaku, ibu bapa saya pasti terseksa kerana lima saudara saya telah pergi kerana penyakit yang sama," katanya.

Progeria akibat perkahwinan sepupu?

Ibu bapa Ali, Nabi Hussain Khan, 50, dan Razia, 46, memiliki pertalian darah iaitu sepupu rapat serta dikahwinkan oleh keluarga masing-masing kira-kira 32 tahun lalu.

Sepanjang perkahwinan, pasangan itu telah berhadapan kesedihan apabila empat anak mereka, Rehana, Iqramul, Gudiya dan Rubina meninggal dunia akibat penyakit genetik itu ketika melewati usia 12 tahun dan 24 tahun.

Anak kelima mereka, juga mengalami nasib yang sama apabila disahkan meninggal dunia hanya dalam tempoh 24 jam selepas dilahirkan dan dipercayai akibat Progeria.

"Rehana yang dilahirkan pada 1983, kelihatan sangat sihat dan normal.

"Kami pun tidak mengesyaki dia mengalami apa-apa penyakit. Tetapi ia mula dikesan ketika Rehana berusia dua tahun.

"Dia tidak dapat makan dan berjalan seperti kanak-kanak normal," kata Nabi.

Dua tahun kemudian, pasangan itu sekali lagi melahirkan anak lelaki iaitu Iqramul dan mengalami penyakit yang sama.

"Doktor gagal mengesan penyakit itu ketika mereka masih bayi dan tiada sebarang ubat yang dapat membantu mereka kerana kami tidak mampu.

"Ketika itu, jika doktor memberitahu anak-anak kami menghidapi Progeria yang disebabkan oleh masalah genetik, tentu sekali kami tidak akan melahirkan anak lagi," kata Nabi.

Dalam 1995, pasangan malang itu mendapat jawapan dan doktor di Kolkata mengesahkan keempat-empat anak mereka menghidapi Progeria selain tiada penawar.

Masalah genetik dalam keluarga Ali

- Nabi dan Razia dikurniakan lapan anak dan enam daripadanya menghidapi Progeria.
- Anak pertama, Rehana, dilahirkan pada 1983 meninggal dunia ketika berumur 24 tahun dalam 2007.
- Anak kedua, Iqramul dilahirkan pada 1987, menemui ajal kerana penyakit sama pada usia 22 tahun dalam 2009.
- Gudiya yang dilahirkan pada 1989, turut meninggal dunia atas sebab sama pada usia 15 tahun dalam 2004.
- Anak keempat, Rubina meninggal dunia pada usia 12 tahun dalam 1992.
- Dua anak perempuan pasangan ini, Sanjeeda, 20 dan Chanda, 10, disahkan sihat.

Menara di London punca kereta Jaguar cair?


Menara di London punca kereta Jaguar cair?  

Cermin sisi kereta Jaguar ini didakwa mencair selepas ditinggalkan di luar Menara Walkie Talkie (gambar kecil) pada minggu lalu.

LONDON - ENGLAND . Sebuah bangunan pencakar langit di London didakwa telah menyebabkan sebuah kereta Jaguar yang diparkir di luar premis terbabit mencair.

Pemiliknya, Martin Lindsay memberitahu cermin sisi dan beberapa panel kereta mewahnya itu mencair selepas sejam ia ditinggalkan berhampiran menara Walkie Talkie yang masih lagi dalam pembinaan.

Dalam satu kenyataan, pemaju bangunan setinggi 37 tingkat itu memaklumkan mereka kini sedang berusaha untuk menangani masalah tersebut kerana ia dipercayai berpunca daripada kedudukan matahari yang berubah pada waktu tertentu.

"Perkara ini mungkin akan berterusan selama dua hingga tiga minggu lagi," jelas jurucakap Land Securities and Canary Wharf menerusi Reuters.

Susulan daripada insiden terbabit, tiga kawasan parkir kenderaan telah ditutup majlis perbandaran.

Difahamkan, pemaju terbabit juga telah memohon maaf kepada Lindsay dan bersetuju untuk membayar ganti rugi berjumlah 946 pound (RM5,000) kepada beliau.

Durian Malaysia gemparkan Sydney


Durian


MELBOURNE - AUSTRALIA. Petugas keselamatan dan kecemasan bangunan di Sydney menjadi gempar berikutan ketibaan durian di Harbour City kerana menyangka
tempat itu mengalami kebocoran saluran gas apabila terhidu bau yang pelik.
  
Mujurlah petugas pertanian Malaysia berjaya meyakinkan mereka bahawa bau yang mereka terhidu itu sebenarnya adalah bau durian, bukan gas.
  
Pengarah pertanian di Konsulat Malaysia Muhammad Rudy Khairudin Mohd Nor berkata 'bau gas' yang mereka terhidu itu berlaku apabila petugas pertanian Malaysia membuka 10 pek durian 'Musang King' dan 'D24' pada 2 petang untuk urusan ujian makmal di pejabat CBD mereka di Sydney.
  
"Bau durian yang kuat itu memasuki sistem pengalih udara dan merebak ke pejabat lain yang terletak di sebelah pejabat kami di tingkat 15 Bangunan Market St.
  
"Petugas di pejabat bersebelahan, semuanya orang kulit putih, menjadi gempar kerana menyangka berlaku kebocoran saluran gas...mereka menghubungi unit kecemasan. Dalam hanya beberapa minit, semua penghuni di tingkat itu dipindahkan," katanya.

Muhammad Rudy berkata petugas keselamatan dan kecemasan bergegas ke tingkat 15 untuk menyiasat dan setelah agak berputus asa, mereka menghubungi pihak konsulat untuk mendapatkan jawapannya.
  
"Kami menjelaskan bahawa bau itu sebenarnya bau durian. Para pegawai berkenaan terperanjat dan hairan kerana baunya seperti gas. Bagaimanapun, mereka yakin dengan penjelasan yang diberi setelah kami tunjukkan kepada mereka buah berkenaan dan baunya," kata beliau.
  
Muhammad Rudy berkata tiga pegawai teknikal Australia kemudian terhidu bau yang sama tiga jam kemudian: "Mereka membuat pemeriksaan di seluruh pejabat untuk memastikan ia bukan berpunca daripada kebocoran saluran gas."
  
Untuk mengelak lebih banyak salah faham, pihak konsulat memindahkan durian berkenaan dan urusan ujian makmal ke Malaysia Hall Australia.
  
"Tiada siapa yang bersungut. Malah, baunya disukai para pelajar Malaysia...yang mungkin begitu rindu dengan bau itu sejak sekian lama. Pernahkah sesiapa menyangka mengeksport durian ke Australia merupakan urusan yang begitu mencabar?," katanya.
  
Sementara itu, lepasan sekolah La Salle Malaysia di Melbourne merancang untuk menganjurkan Pesta Durian Lasallian November ini, mungkin di kawasan pembangunan eksklusif SP Setia di St Kilda Road.
  
Walaupun durian amat popular di Sydney, namun buah istimewa ini belum mendapat perhatian di Melbourne, yang mempunyai 70,000 rakyat Malaysia selain 9,000 pelajar. - Bernama

Pirana gemar kemaluan lelaki


Pirana Pacu    

Pirana Pacu mempunyai struktur gigi menyamai manusia.

MUZIUM Sejarah Denmark memberi amaran kepada orang ramai supaya mengenakan pakaian mandi ketika berada di Perairan Nordic bagi mengelakkan menjadi mangsa serangan ikan pirana yang tiba-tiba muncul di kawasan perairan tersebut sejak minggu lalu.

Ikan Pirana spesies Pacu itu dikatakan hanya menyerang mangsa di bahagian kemaluan terutama golongan lelaki.

Menurut pengkaji muzium, spesies ikan itu banyak ditemui di kawasan Oresund Sound, di luar pantai selatan Sweden.

“Ramai mangsa ditemui mengalami kecederaan serius di bahagian kemaluan selepas digigit ikan berkenaan berbanding anggota badan lain,” katanya.

Menurut Daily online, beliau berkata, ikan itu mempunyai saiz gigi mendatar sama seperti gigi manusia yang mempunyai elemen menggigit dan mengunyah.

“Kebanyakan ikan itu bersaiz 21 sentimeter (sm) panjang.

Minggu lalu, dua nelayan maut selepas digigit ikan berkenaan. Selepas bedah siasat, kami mendapati kemaluan mangsa cedera digigit ikan tersebut,” katanya.

Menurut kajian, ikan tersebut boleh mencecah saiz 90sm panjang dan berat sehingga 25 kilogram.

Thursday, August 29, 2013

Baru kenal sudah ajak ke bilik



khalwat  
Pegawai penguat kuasa memeriksa pasangan berkenaan yang ditahan berada dalam keadaan mencurigakan.

BATU PAHAT – Niat pasangan kekasih untuk memadu asmara tidak kesampaian selepas ditahan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dalam serbuan di sebuah rumah tumpangan dekat sini, semalam.

Dalam serbuan jam 2 pagi itu, pasangan berusia 25 dan 22 tahun terbabit ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai ikatan perkahwinan.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Jaij Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pasangan terbabit mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membuka pintu dipercayai memikirkan cara bagi mengelak ditahan.

“Selepas pintu dibuka, hasil soal siasat mendapati mereka bukan mahram dan mengaku telah melakukan perbuatan yang salah.

“Pasangan terbabit berasal dari daerah ini dan mengaku baru sahaja berkenalan tidak sampai sebulan serta dalam proses mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Menurutnya, pasangan terbabit di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk proses selanjutnya sebelum mereka dituntut oleh waris masing-masing.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 27 (1) (a) (b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Johor 1997.

“Operasi yang dilakukan ini bertujuan membendung kegiatan sumbang yang kian menular dalam kalangan anak-anak muda yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

“Operasi seperti ini akan dilakukan lebih kerap lagi, dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel bajet dan kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti ini,” katanya.

Jutawan blogger bapa ayam ditahan


BEIJING - CHINA. Pihak berkuasa China menahan seorang jutawan blogger berketurunan China-Amerika yang didakwa melibatkan diri dengan aktiviti pelacuran di Beijing, kelmarin.

Charles Xue, yang mempunyai 12 juta pengikut di laman blognya, Venture capitalis Xue, ditahan susulan peningkatan kawalan pengguna laman web sejak minggu lalu.

"Beliau didakwa melibatkan diri dengan aktiviti perniagaan pelacur," kata polis. - AFP