Shenyang: Berdepan dengan harga dan sewa 
rumah yang tinggi, sebuah keluarga menemui jalan aneh untuk mengatasi 
masalah kekurangan kediaman di sebuah daripada bandar raya terbesar 
China dengan mengubah suai tandas lelaki untuk dijadikan tempat tinggal.
Ketika Zeng Lingjun berpindah ke Shenyang untuk mencari pekerjaan, 
lelaki berusia 33 tahun itu mengambil keputusan, daripada mencari rumah 
di bandar raya berkenaan yang dia yakin tidak mampu membeli atau 
membayar sewanya, adalah lebih baik dia menyewa  tandas hotel yang tidak
 digunakan.
Zeng yang bekerja sebagai tukang kasut berpindah 
ke tandas itu yang seluas 20 meter persegi pada 2006.  Apabila berkahwin
 dengan Wang Zhixia pada 2010, isterinya juga berpindah ke situ.  Begitu
 juga dengan anak mereka, Devi yang kini berusia dua tahun.
Meskipun ganjil, dengan tandas buang air kecil masih melekat di 
dinding, Zeng menyifatkan rumahnya itu sebagai ‘kecil tetapi lengkap’ 
dengan berkata, mereka sudah biasa dengan bau hancing dan busuk.
Dia begitu berpuas hati dengan keadaan rumahnya itu hingga menamakan anaknya ‘Devi’ yang bermakna memenuhi kepuasan seseorang.
Sebaik
 berpindah ke tandas itu, Zeng membuat pengubasuaian, memaku papan di 
atas satu daripada tandas untuk membuat katil yang menghadap sebuah 
televisyen kecil.  Televisyen berkenaan diletakkan di atas meja antara 
dua tempat buang air kecil. Dua ruang lagi dijadikan tempat almari baju.
“Saya berpuas 
hati dengan apa yang saya ada sekarang.  Hidup saya kini lebih baik jika
 hendak dibandingkan sebelum ini,” katanya dalam satu wawancara dengan  
Englishnews.cn.
Di luar ‘kamar tidur’ mereka, yang sebelum ini menempatkan sinki membasuh, dijadikan dapur dan bengkel Zeng.
“Ia tidak sesuai untuk memasak tetapi saya sudah biasa,” kata Wang, bekas tukang cuci.
Zeng
 membayar kira-kira 8,000 yuan (RM4,000) setahun untuk menyewa tandas 
itu daripada hotel berkenaan.  Dia diberikan ruang percuma di depan 
bangunan, tempat dia bekerja mengilat kasut pelanggan.
Secara 
purata, dia memperoleh pendapatan kira-kira 2,000 yuan sebulan dengan 
mengilat dan membetulkan kasut, lebih separuh daripada gaji maksimum 
yang ditetapkan pihak berkuasa Shenyang. - Agensi