Wednesday, August 28, 2013

Beli kereta guna wang kecil



SEORANG lelaki menggunakan wang kecil untuk membeli sebuah kereta di China.- Agensi


ZHENGZHOU - Seorang jurujual di China terkejut apabila seorang ahli perniagaan membayar tunai kereta yang dibelinya dengan menggunakan sejumlah wang kecil, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Lelaki itu yang dikenali sebagai Zhang membuat bayaran berjumlah £16,000 (RM82,575) menggunakan 10 buah kotak berisi wang kertas satu yuan (RM0.54) dan duit syiling.
Dia yang dikenali sebagai Zhang menghantar lebih 10 buah kotak kepingan wang kertas dan syiling.
Urusniaga berkenaan berlaku di sebuah pusat automotif di bandar ini, dalam wilayah Henan.
Kesemua wang itu kemudian dibawa ke sebuah bank yang mana dua orang kerani diperlukan untuk mengiranya.
Masa selama beberapa jam diperlukan untuk mengira sejumlah 13,000 yuan (RM7,071) wang kecil itu. - Agensi

Tuesday, August 27, 2013

Cerut orang kanan Hitler dilelong

CERUT Hermann Goering dilelong pada harga RM6,695 di England



LINCOLN - Beberapa batang cerut yang telah dibawa keluar dari rumah pemimpin kanan Parti Nazi, Hermann Goering pada akhir Perang Dunia Kedua dilelong pada harga £1,300 (RM6,695) di Britain, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Cerut yang ditempah khas untuk Goering itu telah di bawa keluar dari sebuah bilik bawah tanah rumahnya di Brandenburg di Jerman.
Seorang penjual persendirian kemudian mewarisi cerut tersebut dari saudara-maranya.
John Leatt yang merupakan pelelong daripada firma lelongan Golding Young and Mawer berkata, ia adalah barangan yang luar biasa dan masih belum disentuh.
"Cerut itu dibeli oleh pembida luar negara melalui internet dan harganya melebihi anggaran sebelum ini iaitu antara £800 hingga £1,200 (RM4,128-RM6,192)," katanya.
Menurut Leatt, pada kotak cerut tertera perkataan Sondernfertigung Reichsmarschall Hermann Goering, yang bermaksud 'Dibuat Khas Untuk Marsyal Hermann Goering'.
Tandatangan pemimpin kanan Hitler itu dan nama syarikat pembekal cerut tersebut, Gildemann Ltd turut dicetak di kotak berkenaan.
Goering membunuh diri pada malam sebelum dia dijadualkan menjalani hukuman gantung pada 15 Oktober 1946 kerana melakukan jenayah kemanusiaan semasa Perang Dunia Kedua. - Agensi

Sembunyi di ruang tayar pesawat


Remaja itu memasuki ruang tayar selepas berlari ke tengah landasan di sebuah lapangan terbang Nigeria.
Penumpang dan kru kapal terbang memaklumkan juruterbang bahawa seorang budak lelaki berlari ke arah pesawat itu yang bersedia untuk berlepas Sabtu lalu dari Benin City di selatan, kata jurucakap Arik Airline, Ola Adebanji.


Juruterbang kemudian memaklumkan agensi dan pihak berkuasa penerbangan negara itu, katanya.

Insiden itu memperkuat kebimbangan berhubung keselamatan di lapangan terbang Nigeria yang menghadapi kebangkitan puak militan agama yang sebahagian besarnya dibendung di bahagian timur laut negara itu selepas perintah darurat dikuatkuasakan.

Penerbangan singkat

Kami bimbang dengan kecuaian berterusan dari segi kawalan keselamatan di lapangan terbang, kata pengarah urusan Arik Airline, Chris Ndulue.
Negara Afrika Barat itu selain menghadapi cabaran keselamatan juga mempunyai sejarah bencana besar sektor penerbangan.

Meskipun budak lelaki itu mungkin bersembunyi di ruang berkenaan, juruterbang masih memilih untuk meneruskan penerbangan, kata jurucakap Agensi Penerbangan Persekutuan Nigeria (FAAN), Yakubu Dati.

Sejurus pesawat berlepas, pasukan keselamatan FAAN sekali lagi melakukan pemeriksaan tetapi tidak menemui sebarang perkara luar biasa di landasan, kata Dati.

Apabila pesawat tiba di Lagos, ibu kota komersial Nigeria, budak lelaki berusia 13 atau 14 tahun itu melompat ke tanah daripada tayar dan ditahan kakitangan Arik, kata Adebanji.

Katanya, remaja itu mungkin terselamat kerana penerbangan singkat dan pesawat mungkin tidak sampai 25,000 kaki (7,620 meter). - AP

Monday, August 26, 2013

Norshila Amin disambar api



PENYANYI yang popular dengan lagu Bambu Ramba, Norshila Amin, 49 ditimpa kemalangan apabila bahagian kiri tubuhnya disambar api ketika sedang sibuk memasak di dapur, Sabtu lalu.

Menurut Shila Amin, kejadian itu berpunca dari tong gas yang bocor di rumah anak perempuannya, Nurrul Admiena Norrizan.

Anggota kiri badannya termasuk wajah, tangan dan kaki melecur.

"Ketika itu saya sibuk nak masak rendang bersempena dengan majlis rumah terbuka di rumah Admiena dan tidak sedar pula yang tong gas terbocor.

"Tiba-tiba sahaja ketika mahu mencapai barang masakan yang berdekatan dengan tong gas itu, api terus menyambar sehingga membuatkan muka dan badan saya melecur," katanya dipetik dari mStar Online.

Shila juga akui rasa sakit di bahagian bibir dan wajah masih terasa meskipun sudah seminggu kejadian itu berlaku.

"Kalau nak ikutkan memang rasa sakit sangat terutama pada bahagian bibir dan wajah yang semakin tegang gara-gara melecur. Malah kening saya pun dah tidak ada.

"Apapun saya menunggu wajah ini sembuh dahulu sebelum mendapatkan khidmat nasihat daripada rakan saya yang merupakan seorang pakar kecantikan," ujarnya

Sunday, August 25, 2013

Remaja bermadu kasih dalam kereta


Pasangan remaja bermadu kasih dalam kereta  
Polis ketika membuat pemeriksaan terhadap pasangan terbabit.
 
 
KULIM - 'Kami tak buat apa-apa encik. Saya dan teman wanita saya sedang berbincang tentang pelajaran.'

Itulah alasan sepasang kekasih yang ditemui berbaring di dalam kereta mereka di Taman Tasek Kulim ketika polis membuat rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pasangan itu masih menuntut di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini.

Menurutnya, ketika polis membuat rondaan, kelihatan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan di tempat letak kereta taman berkenaan kira-kira jam 3.30 pagi.

"Apabila menghampiri kenderaan terbabit, polis mendapati kedua-dua pasangan itu sedang berbaring di dalam kereta.

“Terkejut dengan kehadiran polis, suspek perempuan terus bangun manakala teman lelakinya keluar dari kereta dalam keadaan kedua tangan memegang seluar yang dipakainya," katanya.

Ketika ditanya pada suspek lelaki, apa yang sedang mereka lakukan dalam kereta dan berbaring dalam keadaan gelap, pelajar tahun akhir itu memberi alasan bahawa mereka sedang berbincang tentang peperiksaan yang akan mereka duduki tidak lama lagi.

"Kami belajar di IPTA sama. Saya sekarang ini belajar dalam semester akhir manakala teman wanita saya belajar di semester tiga.

"Keluarga kami sudah tahu kami berkawan sejak dulu lagi,” katanya.

Ghuzlan berkata, setelah membuat pemeriksaan, polis mendapati pasangan itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Polis akhirnya mengarahkan mereka beredar agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.

"Sedih saya lihat perlakuan anak-anak muda sekarang ini, ibu bapa diharap memantau anak dalam apa keadaan sekalipun,” katanya.

Kesal tuduhan Black: 'Saya teraniaya'


Kesal tuduhan Black: 'Saya teraniaya'  
Perancang perkahwinan kesal tuduhan Black

Dalam keterujaan melangkah ke alam perkahwinan bulan depan, juara Mentor musim ketiga ini dan tunangnya berdepan dengan cabaran yang tidak disangka.

Menurut Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah, 26, dia berasa ditipu oleh perancang perkahwinan yang dilantiknya setelah tiada perkembangan walaupun sudah membayar RM30,000 menerusi dua transaksi iaitu RM18,000 pada bulan April dan RM12,000 pada bulan Jun.

Justeru demi memastikan majlis perkahwinannya berjalan lancar, Black mengambil keputusan untuk memberhentikan khidmat perancang perkahwinan tersebut dan menyerahkan tugas persiapan perkahwinannya kepada pihak pengurusan.

Tidak berakhir setakat itu, usaha Black untuk mendapatkan kembali wang yang telah dibayar menemui jalan buntu apabila perancang perkahwinan tersebut dikatakan hanya berdiam diri.

Bagi memastikan nasibnya mendapat pembelaan sewajarnya, Black telah melaporkan perkara ini kepada pihak polis dan juga bakal membawa isu ini ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

Jika sebelum ini kita sering mendengar kenyataan Black, perancang perkahwinan yang hanya mahu dikenali sebagai Puan WP (Wedding Planner) tampil memberi penjelasan secara eksklusif kepada Zass.


Ikuti temu bual berikut:

Setelah lama isu ini menjadi sebutan, apakah yang membuatkan anda tampil untuk memberi kenyataan?
Puan WP: Tujuan saya tampil memberi kenyataan ini bukan mahu memburukkan sesiapa atau cuba untuk mencari gaduh.

Saya hanya mahu membersihkan nama saya dan ingin menegaskan saya tidak melesapkan duit Black seperti didakwanya. Lagipun, ini bukan pertama kali saya menguruskan majlis perkahwinan artis dan selama ini tidak pernah ada masalah yang berbangkit.

Boleh anda jelaskan dengan lebih lanjut mengenai isu ini?
Puan WP: Saya berjumpa Black dalam satu majlis awal tahun ini dan Black telah bersetuju untuk menggunakan perkhidmatan saya. Menerusi beberapa perjumpaan dan perbincangan, Black setuju untuk mengadakan majlis perkahwinannya di satu lokasi di Kuala Lumpur (nama lokasi dirahsiakan).

Selepas melakukan beberapa sesi rundingan, pihak lokasi perkahwinan tersebut bersetuju memberi potongan separuh harga daripada RM72,000 kepada RM36,000 dan saya telah membayar RM15,000 sebagai pendahuluan.

Kemudian saya juga sudah membayar RM7,000 kepada pihak katering. Selebihnya RM5,000 adalah bayaran untuk saya dan baki RM3,000 untuk saya uruskan mengenai perkara lain. Segala urusan tersebut bersama bukti resit dan e-mel daripada pihak berkenaan mengenai perbincangan kami.

Bagaimana pula dengan kenyataan Black bahawa anda sudah membayar sebahagian daripada wang tersebut?
Puan WP: Selepas perkhidmatan saya ditamatkan saya tidak ada berjumpa dengan Black, apatah lagi memulangkan duit kepadanya.

Namun setahu saya pihak katering telah memulangkan duit tersebut kepada Black dan saya tidak bercadang untuk memulangkan duit Black kerana ingin saya tegaskan di sini, saya sudah teraniaya dan saya tidak bersalah!

Jadi, bagaimana boleh timbul isu 'melesapkan' duit Black?
Puan WP: Sekali lagi saya tegaskan saya tidak pernah melesapkan duitnya dan saya sebenarnya adalah orang yang teraniaya. Tiga bulan sebelum majlis Black, saya diberhentikan tanpa sebab dan Black bersama pihak pengurusan memaksa saya memulangkan semula wang tersebut.

Bagaimana saya mahu memulangkan wang tersebut sedangkan ia sudah dibayar kepada mereka yang terlibat. Saya juga kesal dengan pihak pengurusan Black tidak cuba menasihatkan Black dan saya rasa Black dipengaruhi oleh yang tidak profesional semasa membuat keputusan itu.

Mengapa pula anda rasa teraniaya?
Puan WP: Ya saya memang teraniaya kerana sejak awal lagi Black tidak mahu menandatangani kontrak yang sudah diberikan kepadanya. Oleh kerana itu, ia memudahkan Black untuk menamatkan perkhidmatan saya sesuka hati dan menuntut kembali wang daripada saya walaupun wang tersebut telah digunakan dalam urusan persiapannya.

Pernahkah anda berselisih faham dengan Black sebelum ini?
Puan WP: Saya tidak ada berselisih faham dengannya sebelum ini. Bayangkan ketika bapa saya tenat, saya dihubungi bertalu-talu daripada pihak Black, sehinggakan bapa saya meninggal dan ketika urusan pengebumian mereka masih menghubungi saya.

Tiga hari kemudian saya datang untuk berbincang bersama Black dan pihak pengurusan. Ketika itu mereka layan saya seperti sampah dan saya sudah dapat merasakan perkhidmatan saya akan ditamatkan.

Black bercadang membawa perkara ini ke mahkamah. Bagaimana pula dengan anda?
Puan WP: Saya sudah mendapat nasihat daripada peguam saya, jika dia mahu membawa perkara ini ke mahkamah saya sedia berhadapan dengannya kerana saya ada segala bukti.

Selepas perkara ini berlaku, adakah perniagaan dan reputasi anda terjejas?
Puan WP: Alhamdulillah rezeki saya tidak pernah putus dan perniagaan serta reputasi saya tidak pernah terjejas dengan isu ini. Saya tidak bersalah dan bila pelanggan tanya saya sudah jelaskan. Malah mereka juga faham dan mempercayai saya.

Apa nasihat anda untuk Black?
Puan WP: Nasihat saya, sudah-sudahlah membuat cerita buruk mengenai orang lain. Lagi banyak kita bercerita ia seolah-olah membuka pekung di dada. Saya harap Black fikirkan perkara yang positif dan tumpu pada perkahwinannya. Dia pun mahu mendirikan masjid

Kenangan perkahwinan pensyarah, isteri dalam KTM


berkahwin  
Pasangan pengantin Mohd Izwan dan Maizatulakmam telah mencatat sejarah melansungkan majlis perkahwinan mereka di dalam tren KTMB menerusi pakej khas 'Bring Back Romance to the Train'.- Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Bagi pensyarah dan bekas pelajarnya, majlis perkahwinan mereka di atas kereta api KTM Intercity serta resepsi di platfrom Stesen Kuala Lumpur, pastinya suatu kenangan yang tidak boleh dilupakan.

Mohd Izwan Mohd Zaki, 29, pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Terengganu dan isterinya, Mazitul Akmam Muhamad Takir, 23, menyifatkan perkahwinan mereka yang bermula di dalam KTM Intercity dari KL Sentral ke Stesen Kuala Lumpur, adalah satu pengalaman yang unik dan berharga.

Walaupun diadakan di dalam keretapi yang bergerak perlahan, program perkahwinan itu tetap mengekalkan adat dan upacara perkahwinan orang Melayu termasuk menukar hantaran serta bersanding.

Pasangan pengantin dan anggota keluarga diarak dengan paluan kompang untuk memasuki keretapi khas dua gerabak yang telah diubah suai termasuk sebuah pelamin dan bilik pengantin.

Mazitul Akmam berkata mereka berdua sangat teruja dengan peluang keemasan untuk meraikan majlis perkahwinan di dalam tren yang dicadangkan perunding perkahwinan.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Kanan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Noordin Kimi berkata majlis resepsi yang diadakan oleh KTMB itu merupakan antara usaha dalam mempromosi kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan KTMB.

"Program perkahwinan yang mengekalkan ciri-ciri tradisional ini dapat menarik minat pelancong tempatan dan luar negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

"KTMB mengalu-alukan pasangan yang ingin mengabadikan sejarah indah perkahwinan mereka dengan mengambil pakej 'Bring Back Romance To The Train' untuk merasai keunikannya yang tersendiri," katanya.

Pakej yang dilancarkan sejak awal tahun ini akan dijalankan secara berterusan dengan mengenakan bayaran kos minimum sebanyak RM15,000 termasuk pengurusan makanan, perhiasan pelamin dan sewa gerabak tren. - Bernama