Perancang perkahwinan kesal tuduhan Black
Dalam keterujaan melangkah ke alam perkahwinan bulan depan, juara
Mentor musim ketiga ini dan tunangnya berdepan dengan cabaran yang tidak
disangka.
Menurut Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah, 26, dia berasa
ditipu oleh perancang perkahwinan yang dilantiknya setelah tiada
perkembangan walaupun sudah membayar RM30,000 menerusi dua transaksi
iaitu RM18,000 pada bulan April dan RM12,000 pada bulan Jun.
Justeru demi memastikan majlis perkahwinannya berjalan lancar, Black
mengambil keputusan untuk memberhentikan khidmat perancang perkahwinan
tersebut dan menyerahkan tugas persiapan perkahwinannya kepada pihak
pengurusan.
Tidak berakhir setakat itu, usaha Black untuk mendapatkan kembali wang
yang telah dibayar menemui jalan buntu apabila perancang perkahwinan
tersebut dikatakan hanya berdiam diri.
Bagi memastikan nasibnya mendapat pembelaan sewajarnya, Black telah
melaporkan perkara ini kepada pihak polis dan juga bakal membawa isu ini
ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.
Jika sebelum ini kita sering mendengar kenyataan Black, perancang
perkahwinan yang hanya mahu dikenali sebagai Puan WP (Wedding Planner)
tampil memberi penjelasan secara eksklusif kepada Zass.
Ikuti temu bual berikut:
Setelah lama isu ini menjadi sebutan, apakah yang membuatkan anda tampil untuk memberi kenyataan?
Puan WP: Tujuan saya tampil memberi kenyataan ini bukan mahu memburukkan sesiapa atau cuba untuk mencari gaduh.
Saya hanya mahu membersihkan nama saya dan ingin menegaskan saya tidak
melesapkan duit Black seperti didakwanya. Lagipun, ini bukan pertama
kali saya menguruskan majlis perkahwinan artis dan selama ini tidak
pernah ada masalah yang berbangkit.
Boleh anda jelaskan dengan lebih lanjut mengenai isu ini?
Puan WP: Saya berjumpa Black dalam satu majlis awal tahun ini dan Black
telah bersetuju untuk menggunakan perkhidmatan saya. Menerusi beberapa
perjumpaan dan perbincangan, Black setuju untuk mengadakan majlis
perkahwinannya di satu lokasi di Kuala Lumpur (nama lokasi dirahsiakan).
Selepas melakukan beberapa sesi rundingan, pihak lokasi perkahwinan
tersebut bersetuju memberi potongan separuh harga daripada RM72,000
kepada RM36,000 dan saya telah membayar RM15,000 sebagai pendahuluan.
Kemudian saya juga sudah membayar RM7,000 kepada pihak katering.
Selebihnya RM5,000 adalah bayaran untuk saya dan baki RM3,000 untuk saya
uruskan mengenai perkara lain. Segala urusan tersebut bersama bukti
resit dan e-mel daripada pihak berkenaan mengenai perbincangan kami.
Bagaimana pula dengan kenyataan Black bahawa anda sudah membayar sebahagian daripada wang tersebut?
Puan WP: Selepas perkhidmatan saya ditamatkan saya tidak ada berjumpa dengan Black, apatah lagi memulangkan duit kepadanya.
Namun setahu saya pihak katering telah memulangkan duit tersebut kepada
Black dan saya tidak bercadang untuk memulangkan duit Black kerana
ingin saya tegaskan di sini, saya sudah teraniaya dan saya tidak
bersalah!
Jadi, bagaimana boleh timbul isu 'melesapkan' duit Black?
Puan WP: Sekali lagi saya tegaskan saya tidak pernah melesapkan duitnya
dan saya sebenarnya adalah orang yang teraniaya. Tiga bulan sebelum
majlis Black, saya diberhentikan tanpa sebab dan Black bersama pihak
pengurusan memaksa saya memulangkan semula wang tersebut.
Bagaimana saya mahu memulangkan wang tersebut sedangkan ia sudah
dibayar kepada mereka yang terlibat. Saya juga kesal dengan pihak
pengurusan Black tidak cuba menasihatkan Black dan saya rasa Black
dipengaruhi oleh yang tidak profesional semasa membuat keputusan itu.
Mengapa pula anda rasa teraniaya?
Puan WP: Ya saya memang teraniaya kerana sejak awal lagi Black tidak
mahu menandatangani kontrak yang sudah diberikan kepadanya. Oleh kerana
itu, ia memudahkan Black untuk menamatkan perkhidmatan saya sesuka hati
dan menuntut kembali wang daripada saya walaupun wang tersebut telah
digunakan dalam urusan persiapannya.
Pernahkah anda berselisih faham dengan Black sebelum ini?
Puan WP: Saya tidak ada berselisih faham dengannya sebelum ini.
Bayangkan ketika bapa saya tenat, saya dihubungi bertalu-talu daripada
pihak Black, sehinggakan bapa saya meninggal dan ketika urusan
pengebumian mereka masih menghubungi saya.
Tiga hari kemudian saya datang untuk berbincang bersama Black dan pihak
pengurusan. Ketika itu mereka layan saya seperti sampah dan saya sudah
dapat merasakan perkhidmatan saya akan ditamatkan.
Black bercadang membawa perkara ini ke mahkamah. Bagaimana pula dengan anda?
Puan WP: Saya sudah mendapat nasihat daripada peguam saya, jika dia
mahu membawa perkara ini ke mahkamah saya sedia berhadapan dengannya
kerana saya ada segala bukti.
Selepas perkara ini berlaku, adakah perniagaan dan reputasi anda terjejas?
Puan WP: Alhamdulillah rezeki saya tidak pernah putus dan perniagaan
serta reputasi saya tidak pernah terjejas dengan isu ini. Saya tidak
bersalah dan bila pelanggan tanya saya sudah jelaskan. Malah mereka juga
faham dan mempercayai saya.
Apa nasihat anda untuk Black?
Puan WP: Nasihat saya, sudah-sudahlah membuat cerita buruk mengenai
orang lain. Lagi banyak kita bercerita ia seolah-olah membuka pekung di
dada. Saya harap Black fikirkan perkara yang positif dan tumpu pada
perkahwinannya. Dia pun mahu mendirikan masjid