Sunday, August 25, 2013

Jutawan Arab Saudi pecat Pengarah saluran TV



Putera Alwaleed Talal  
Putera Alwaleed Talal

RIYARD - ARAB SAUDI. Jutawan Arab Saudi Putera Alwaleed Talal memecat pengarah saluran televisyen Islam selepas mengaku menjadi ahli Ikhwan Muslimin di Kuwait.

Menurut Press TV, Putera Alwaleed memecat Pengarah Televisyen Al-Resalah, Tarek Al-Suwaidan, selepas pengakuan itu dijelaskan.

Stesen Al-Resalah kepunyaan Kumpulan Rotana Alwaleed itu merupakan syarikat konglomerat media terbesar Saudi berpangkalan di Riyadh.

Difahamkan Al-Suwaidan, seorang warganegara Kuwait, kini dikecam sejak penyingkiran Presiden Mesir Mohamed Mursi.

Komplot jahat Yahudi cemari al-Aqsa didedah


al-Aqsa 
 Penduduk Yahudi berterusan cuba untuk mencemari kesucian Masjid al-Aqsa.

BAITULMAQDIS - Yayasan Al-Aqsa bagi Pembiayaan dan Warisan membongkar agenda jahat golongan Yahudi yang mahu mencemari kesucian Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Menurut yayasan itu, pemimpin Yahudi cuba memujuk pihak berkuasa Israel menyertai sebuah persatuan rasmi bertujuan untuk membina saumaah (pusat keagamaan dan tempat ibadat orang Yahudi) di tenggara masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu.

Penyelaras media Yayasan Al-Aqsa, Mahmoud Abu Atta memaklumkan pendaftaran persatuan rasmi yang akan mengendalikan pembinaan saumaah tersebut didakwa telah diluluskan.

"Perkara ini dirancang sejak tujuh bulan lalu selepas ribuan penganut menggesa pembinaan tempat ibadat tersebut yang dilihat sebagai satu tindakan biadab oleh mereka untuk menguasai al-Aqsa," jelasnya dipetik dari laporan PNN.

Awal bulan lalu, Mufti Sheikh Mohammad Hussein memberi amaran keras berhubung akibat yang akan ditanggung oleh rejim Zionis sekiranya mereka meneruskan rancangan membahagikan Masjid al-Aqsa.

Menurut Sheikh Mohammad, jika agenda jahat Israel itu berjaya diteruskan beliau khuatir ia akan menerima nasib sama seperti Masjid Ibrahimi di Hebron, sekali gus mencetuskan perang serantau.

Susulan daripada itu, beliau menggesa negara Islam dan rantau Arab bersatu untuk menyelamatkan Masjid al-Aqsa tersebut.

Siapa dalangi perang saudara Syria?




Siapa dalangi perang saudara Syria?  
Serangan gas beracun meragut ribuan nyawa dan menjadi mangsa sejak lebih 22 bulan di Syria.

DAMSYIK - Serangan gas beracun di pinggir Damsyik bukan perkara baru sejak pergolakan perang saudara mencecah lebih 22 bulan.

Namun, serangan kelmarin, paling dahsyat selepas lebih 1,300 maut di Ain Tarma, Zamalka dan Jobar dalam tempoh satu malam.

Presiden rejim Basyar Al-Assad dan Tentera Pembebasan Syria (FSA) saling tuduh menuduh dan banyak negara dunia pula menjadi ‘batu api’ dalam tuduhan itu.

Liga Arab menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera menyiasat serangan itu yang disahkan berlaku di timur Gutah iaitu kawasan puak Sunni yang dikuasai FSA.

Jurucakap Majlis Keselamatan PBB, berkata, bagaimanapun, dakwaan serangan itu masih belum disahkan.

Di sebalik konflik itu, Amerika Syarikat (AS) dilihat mengambil langkah tunggu dan lihat.

Pegawai tertinggi tentera AS, Jeneral Martin Dempsey sejak awal lagi memberi ‘ugutan palsu’ kepada tentera rejim yang mereka tidak teraga-agak untuk memusnahkan tentera udara Syria namun sehingga kini, masih tiada sebarang  tindakan atau serangan dilakukan.

Namun, mengapa AS berminat untuk ‘membantu’ FSA? Adalah mereka mahu menjajah Syria sama seperti di Libya ketika usaha penggulingan pemimpin kuku besi Muammar Gaddafi di mana ketika penentangan rejim, AS menghantar tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang kononnya untuk ‘membantu’ rakyat Libya namun sehingga kini, Nato terus kekal di Libya.

Ironinya, Syria adalah pintu terakhir Israel dan jika Syria dan Mesir jatuh ke tangan pemimpin Islam, Israel dikatakan akan 'hancur' kerana Syria bersempadan dengan Israel dan apa yang ditakuti AS adalah kebangkitan Islam di Timur Tengah.

Rejim Bashar yang kebanyakan dari puak Syiah pula disifatkan Israel Friendly dan FSA adalah dari puak Sunni yang sedia maklum musuh utama Zionis sekutu AS.

Jika puak Sunni mengusai Syria dan bergabung dengan rakyat Mesir yang majoritinya Sunni, maka Israel boleh berkubur sekali gus merencatkan usaha AS untuk menguasai negara di Timur Tengah.

Indonesia bantah ujian keperawanan


JAKARTA - INDONESIA - Cadangan melakukan ujian keperawanan terhadap pelajar sekolah yang dicadangkan pegawai pendidikan daerah itu mendapat bantahan orang ramai di Sumatera, Indonesia.
Jurucakap kerajaan berkata, cadangan tersebut disifatkan keterlaluan dan tidak beretika.

“Jika anda mahu melindungi anak daripada pengaruh negatif, gunakan kaedah lain selain daripada ujian itu,” katanya.

Terdahulu, Pegawai Pendidikan Sumatera, Muhammad Rasyid, berhasrat melakukan ujian tersebut bermula tahun depan bagi mengelakkan seks bebas sekali gus menangani masalah pelacuran dan pemerdagangan manusia.

“Ujian ini akan dilakukan terhadap pelajar berumur antara 16 dan 19 tahun dengan kebenaran penjaga,” katanya dipetik Jakarta Post

Cadangan itu dilakukan selepas tiga wanita ditahan dalam operasi maksiat yang mengaku masih bersekolah.

Gigi busuk John Lennon dilelong RM100,000




OTTAWA - CANADA - Pembelian gigi busuk mendiang John Lennon pada harga 20,000 pound (RM103,061) dalam satu acara lelongan  di Stockport, Kanada dua tahun lalu memberi pulangan lumayan kepada seorang doktor gigi.

Michael Zuk, 51, dari Alberta berkata, ternyata pembelian gigi milik penyanyi kumpulan The Beatles itu berhasil apabila beliau berjaya melakukan pengklonan gigi yang boleh mencecah ribuan pound.

“Industri pengklonan gigi kini menjadi trend. Peminat sudah mula menggilai pemasangan klon gigi artis kesayangan dan gigi busuk John Lennon itu bakal membawa pulangan lumayan kepada kami,” katanya dipetik Dailymail

Menurutnya, selain gigi artis, gigi haiwan juga kini menjadi pilihan untuk diklon pada gigi manusia.

Cincin beracun mampu membunuh musuh


Cincin beracun mampu membunuh musuh 
 Pemilik membina lubang pada bahagian atas cincin dipercayai menjadi tempat penyimpan racun.

SEPASUKAN arkeologi Bulgaria menjumpai sebentuk cincin beracun  dipercayai digunakan sebagai senjata rahsia mengisi racun untuk membunuh musuh.

Barang perhiasan pada abad ke-14 itu, dilaporkan ditemui di tapak sebuah kubu zaman pertengahan di Cape Kaliakra berdekatan pantai Laut Hitam, bandar Kavarna.

Pakar percaya cincin dijumpai di Bulgaria itu, dimiliki seorang lelaki kaya yang jahat dan berniat membunuh musuhnya secara senyap.

Timbalan pengarah Institut Arkeologi dan Muzium Kebangsaan di Sofia, Boni Petrunova berkata, cincin dilengkapi lubang rahsia itu diperbuat daripada tembaga kukuh.

"Berdasarkan struktur, ia dipakai pada jari tangan kanan dan lubang pada bahagian atasnya berfungsi untuk menuangkan racun ke minuman atau makanan mangsa," katanya.

Artifak itu juga dilapor, membantu dalam penambahan pengetahuan mengenai kehidupan masyarakat khasnya golongan bangsawan di Cape Kaliakra pada abad ke-14.

Lebih 30 jenis barangan kemas kebanyakannya diperbuat daripada emas ditemui di tapak berkenaan sejak 2011.  - MailOnline

Lagi misteri raksasa laut

raksasa laut  


Keadaan bangkai raksasa laut yang ditemui di tepi pantai di Villaricos, Sepanyol

PENDUDUK di pinggir pantai selatan Sepanyol gempar, apabila menjumpai satu bangkai reput raksasa laut lengkap bertanduk sepanjang 4 meter, kelmarin.

Menurut pihak berkuasa, makhluk itu ditemui seorang wanita tempatan berdekatan gua Almanzora di Villaricos, dalam keadaan badan dan kepala terputus.

"Ia menimbulkan tanda tanya kepada semua pihak dan saintis mula menjalankan kajian terhadap penemuan ini," katanya yang mengesahkan bangkai raksasa laut bertanduk yang busuk itu telah ditanam bagi tujuan kebersihan.

Sementara itu, agensi Discovery News melaporkan, satu sampel didakwa raksasa laut pernah dikumpulkan sepasukan saintis dalam 2004 dan merumuskan ia sejenis paus dari spesies berbeza dikenali sebagai 'blobster'