Saturday, August 17, 2013

Karya berbisa The Hobbit dan The Lord of Rings

JRR Tolkien  



JRR Tolkien

SEHINGGA saat ini, karya JRR Tolkien masih mempunyai jutaan pengikut dan peminat fanatik. Bermula dari The Hobbit, The Lord of the Rings dan The Silmarillion kesemua karya itu pernah menjulang namanya hingga diadaptasi menjadi filem. Malah, puluhan karya yang diterbitkan anaknya, Christopher Reuel Tolkien selepas kematian beliau juga menempah populariti dan bertahan hingga Tolkien layak digelar penulis legenda atau ‘bapa genre fantasi moden’.

Beliau tidak menyangka karya The Hobbit yang ditulis pada 1936 mencetuskan fenomena luar biasa selepas didesak seorang rakan dari syarikat penerbitan di London George Allen & Unwin untuk diterbitkan. Bermula dari situ, karya Tolkien cukup menyengat hingga beliau bersemangat menghasilkan sekuel melalui karya epik The Lord of the Rings.

Jika karya The Hobbit diterjemahkan dengan penuh suspens dan serius namun ianya berbeza dengan The Lord of The Rings yang lebih santai dan sesuai untuk bacaan kanak-kanak.

Karya fiksyen fantasi The Lord of the Rings menjadi sangat popular pada 1960-an dan kekal hingga abad ke-20.

Klimaks populariti itu di kecapi pada 2003 apabila syarikat media di Britain, Australia, Afrika Selatan, Jerman membuat kajian terhadap novel yang dianggap berbisa. Akhirnya, pada 2000 karya itu diulang cetak lebih dari sejuta dan di terjemah kepada pelbagai bahasa hingga diterbitkan menjadi filem box office di bawah arahan Peter Jackson.

Kehidupan

Tolkien berasal dari Saxony, Jerman, tetapi menetap di England sejak abad ke-18 dan menjadikan beliau fasih berbahasa Inggeris. Ayahnya, Arthur Reuel Tolkien merupakan pengurus di bank di England dan ibunya Mabel Suffield (1870–1904) adalah suri rumah berasal dari England.

Pada usia tiga tahun, Tolkien berhijrah ke England bersama ibu dan kakaknya dan ketika itu juga bapa beliau meninggal dunia di Afrika Selatan akibat pendarahan otak.

Ditinggalkan tanpa harta, beliau memutuskan untuk tinggal bersama neneknya di Birmingham, England. Tidak lama kemudian pada 1896, mereka pindah ke sebuah kampung di Worcestershire, Sarehole Mill dan bermula dari situ minatnya terhadap dunia fantasi bermula. Dibesarkan dalam kehidupan ladang beliau didedahkan dengan cerita dongeng kepahlawanan yang sememangnya menjadi hiburan buat kanak-kanak seusianya ketika itu.
Pendidikan

Tolkien adalah kalangan kanak-kanak cerdas apabila pada usia empat tahun dia fasih membaca dan menulis dengan lancar. Mendapat pendidikan awal di King Edward’s School, Birmingham beliau terdedah dengan kehidupan pelajar elit sehingga menyambung pelajaran ke St Phillip’s School dan Exeter College, Oxford.

Pada 1904 ketika usia 12 tahun, beliau bergelar yatim piatu apabila ibunya meninggal dunia akibat diabetes. Ketika itu, beliau dipelihara oleh paderi Roman Francis Xavier Morgan di gereja Perrott’s Folly, Edgbaston, Birmingham.

Maka itu, tidak janggal sekiranya setiap karyanya pasti dipengaruhi suasana gelap dan bayang-bayang menara gereja yang lengkap dengan sentuhan arkitek Victoria termasuk pengaruh seni abad Roman ketika pertengahan era Edward Burne-Jones.

Ketika di King Edward’s School, Tolkien bersama rakanya Rob Gilson, Geoffrey Smith dan Christopher Wiseman membentuk kelab puisi di mana mereka kerap bertemu untuk berdiskusi tentang dunia puisi.

Pada musim panas 1911, mereka mengembara ke Swiss, Interlaken, Lauterbrunnen, Mürren, Jungfrau, Silberhorn, Kleine Scheidegg, Grindelwald,  Grosse Scheidegg, Meiringen dan kesemua catatan perjalanan itu kemudiannya di terbitkan 57 tahun selepas itu.

Selepas tamat sekolah, beliau bergelar mahasiswa Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris di Universitas Oxford, dan menjadi pakar Bahasa Inggeris Kuno. Pada Perang Dunia I, Tolkien pernah dikerah menyertai pasukan tentera Batalion XI Lancashire Fusiliers namun namun tersingkir kerana sering demam. Sepanjang itu, Tolkien menghasilkan karya terawal antaranya The Book of Lost Tales dan The Fall of Gondolin yang mengisahkan kehidupannya di dalam dunia peperangan. Kisah percintaannya dengan isterinya Edith Mary Bratt juga dibukukan menerusi tajuk Lúthien iaitu gelaran manja buat isterinya.

Meninggal dunia

Tolkien meninggal dunia pada 2 September 1973, pada usia 81 tahun iaitu 21 bulan selepas pemergian isterinya. Tolkien disemadikan dalam satu lahad bersama isterinya di perkuburan Wolvercote, Oxford. Kecintaan pasangan itu terus disemat melalui nisan tertulis:

'Edith Mary Tolkien, Lúthien, 1889–1971 John Ronald Reuel Tolkien, Beren, 1892–1973'

Kemalangan roda Ferris, dua maut


Kemalangan roda Ferris, dua maut  

Pihak berkuasa melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian. Foto: CFP

ROSARIO - ARGENTINA, Dua maut manakala tujuh lagi cedera termasuk kanak-kanak, kelmarin selepas sebuah gondola Ferris, Around the World terhempas di taman tema di tengah Argentina.

Akhbar La Capital melaporkan, insiden itu berlaku selepas salah sebuah gondola mengalami masalah teknikal pada ketinggian 25 meter.

Menurut saksi, keadaan menjadi huru-hara selepas ia jatuh secara tiba-tiba menghempap pengunjung yang sedang beratur menunggu giliran untuk menaiki roda Ferris tersebut.

Pihak berkuasa memaklumkan gondola itu pernah mengalami kerosakan, namun telah dibaiki beberapa minggu lalu.

Tubuh bayi 3 bulan terbakar spontan



Tubuh terbakar spontan  

Doktor mengesahkan Rahul mengalami kesan melecur tahap 10.

CHENNAI - Seorang bayi lelaki berumur tiga bulan di India melecur teruk selepas ibu bapa mangsa mendakwa sebahagian tubuhnya terbakar secara spontan sebanyak empat kali sejak lahir.

Menurut ibunya kepada DailyMail, Rahul pertama kali mengalami keadaan itu ketika dia berumur sembilan hari.

Susulan daripada kejadian misteri tersebut, anaknya dimasukkan ke unit rawatan rapi di Chennai dan disahkan melecur tahap 10, minggu lalu.

Ketua pediatrik, R Narayana Babu berkata, bayi tersebut kini  stabil dan diletakkan di bawah pemerhatian.

"Keadaan ini mungkin berlaku akibat tindak balas gas ke atas kulitnya. Bagaimanapun,  puncanya sukar dikenal pasti kerana Rahul tidak mempunyai sebarang rekod perubatan," jelasnya lagi.

Sementara itu, doktor di Hospital Kolej Perubatan Kilpauk memaklumkan mereka akan menjalankan kajian untuk memastikan sama ada ia berpunca daripada penyakit keturunan.

PM Norway jadi drebar teksi dekati pengundi


PM Norway jadi drebar teksi dekati pengundi  

Stoltenberg turut memakai seragam lengkap pemandu teksi ketika membuat penyamaran pada Jun lalu.

OSLO - NORWAY. Perdana Menteri Norway, Jen Stoltenberg 'bertukar profesion' menjadi pemandu teksi, Jun lalu dalam usaha untuk mendekati pengundi menjelang Pilihan Raya Umum pada 9 September depan.

Menerusi rakaman video dimuat naik ke dalam beberapa laman sosial termasuk YouTube, Stoltenberg menyatakan tujuan beliau berbuat demikian adalah untuk mendengar sendiri pendapat atau keluhan orang ramai walaupun sudah lapan tahun tidak memandu.

Difahamkan menurut Press TV, sebuah kamera tersembunyi turut ditempatkan di dalam teksi Mercedes hitam dipandu beliau untuk merekodkan reaksi penumpang dan Stoltenberg juga berbesar hati memberi perkhidmatan teksi percuma kepada mereka.

Seorang warga emas yang mengenali beliau menggesa pemimpin itu mengkaji semula gaji golongan atasan yang didakwa meraih pendapatan terlalu tinggi.

Ketika ditanya oleh tabloid Verdens Gang sama ada beliau akan menjadi pemandu teksi jika tewas dalam pilihan raya, Stoltenberg berseloroh dengan menyatakan semua perkhidmatan akan lebih baik jika beliau adalah perdana menteri.

Hasil keputusan tinjauan terbaru mendapati gabungan parti diketuai Parti Buruh pimpinan beliau dikatakan mungkin akan hilang sokongan dalam pilihan raya akan datang.

Kanak-kanak 7 tahun dirogol dalam tandas keretapi


Kanak-kanak 7 tahun dirogol dalam tandas keretapi


SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dirogol dalam tandas sebuah tren di India minggu lalu, kata polis.

Kanak-kanak itu dipujuk menjauhi ibu dan kawannya di sebuah taman di Raipur oleh seorang lelaki.

Supritendan K.C Agrawal memberitahu CNN, pihaknya mengesyaki lelaki tersebut membawa kanak-kanak itu menaiki kereta api dan menyerang kanak-kanak itu secara seksual di dalam tandas antara Jumaat malam dan Sabtu pagi.

“Setakat ini, suspek dikenali sebagai kawan kepada ibu mangsa,” kata Agrawal.

 Penyerang juga dianggar berusia dalam lingkungan 40 tahun namun identitinya masih tidak didedahkan.

Mangsa yang ditemui pada pagi Sabtu di stesen kereta api sudah menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil.

Mayat wanita dibaham haiwan peliharaan sendiri


 
SOUTHAMPTON - Mayat seorang wanita dipercayai meninggal dunia beberapa minggu lalu ditemui dalam keadaan mengerikan akibat dibaham haiwan peliharaan di rumahnya.

Penemuan mayat Janet Veal, 56, dalam keadaan menyayat hati itu dibuat selepas jiran mangsa membuat aduan kepada polis kerana mengesyaki sesuatu perkara buruk mungkin menimpa wanita tersebut.

Koroner Southampton, Keith Wiseman berkata, pihak berkuasa turut menemui bangkai anjing dan kucing miliknya yang dikurung selama tiga bulan tanpa sebarang makanan.

"Rekod perubatan menunjukkan mangsa mengalami masalah paru-paru.

Lelaki tertua dunia di Bolivia?


 
 
 Laura
Laura didakwa menjadi lelaki paling tua di dunia kerana berusia 123 tahun selain masih sihat seperti lelaki dewasa.


Seorang lelaki Bolivia yang dilahirkan dalam tahun 1890 dan masih bertenaga, didakwa menjadi lelaki paling tua di dunia sekali gus mendahului rekod dunia sebelum ini.

Lapor jabatan pendaftaran Bolivia, Carmelo Flores Laura, baru menyambut ulang tahun ke 123 pada bulan lalu.

Laura nampak seperti lelaki 80-an dan paling menarik penglihatan warga tua yang tinggal di kawasan pergunungan, 80 kilometer di luar bandar La Paz itu masih jelas.

Lelaki dari puak Aymara itu, dikurniakan tiga cahaya mata, 16 cucu dan 39 cicit selain pernah menempuhi zaman perang Perang Dunia Pertama iaitu ketika berumur 24 tahun dan 64 tahun sewaktu Ratu Elizabeth menaiki takhta Britain.

Stesen TV tempatan, Rede Uno melaporkan, Laura yang turut kehilangan isteri pada 10 tahun lalu, percaya amalan senaman jalan kaki setiap hari dan tidak memakan semua jenis pasta dan gula telah memanjangkan tempoh hayatnya.

"Saya hanya makan cananhua (sejenis kuinoa liar yang kaya dengan protein dan asid amino), malah saya tidak malas dan sering berkongsi makanan bersama isteri ketika dia masih hidup," katanya yang turut mengaku amat menggemari masakan daging skunk. - MailOnline