SEBUAH hadis daripada Abdullah bin Umar RA katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakanlah
istighfar iaitu memohon ampun kepada ALLAH SWT. Ini kerana aku melihat
kaum wanitalah yang lebih ramai menghuni neraka.”
Lalu seorang wanita di antara mereka bangkit bertanya kepada Nabi:
“Wahai Rasulullah SAW, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi
penghuni Neraka?”
Baginda SAW bersabda: “Ini kerana kamu banyak mengingkari perintah
suami. Maka aku tidak pernah melihat mereka yang kekurangan akal dan
agama melainkan daripada golongan kamu.
“Wanita itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah SAW! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?
“Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Maksud kekurangan akal
ialah penyaksian dua wanita adalah sama dengan penyaksian seorang
lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Adapun yang dimaksudkan
dengan kekurangan agama ialah wanita yang tidak mendirikan solat pada
malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadan
disebabkan kedatangan haid.”
Daripada pandangan mata kasar melihat golongan wanita itu
lemah-lembutnya, namun apabila menyingkapkan maksud hadis berkenaan
jelas betapa meremang bulu roma dan takutnya kepada seksaan ALLAH.
Wanita senang masuk syurga, mudah juga melangkah ke neraka!. Subhanallah.
Seseorang hawa itu jika patuh kepada setiap kata-kata suaminya, tidak
meninggalkan suruhan ALLAH, tidak melakukan kemaksiatan dan pandai
menjaga maruah keluarga memudahkannya menjejak syurga idaman semua.
Kerana itulah, dikatakan hikmahnya menjadi seorang perempuan.
WANITA adalah salah satu makhluk ciptaan ALLAH SWT yang indah dan
berharga. Wanita jugalah sebenarnya yang akan menjadi pasangan kepada
golongan lelaki yang bernama suami. Sebagaimana ALLAH menciptakan Hawa
sebagai pasangan untuk Nabi Adam AS.
Malah beruntunglah bagi seorang lelaki atau suami, jika dia mempunyai
isteri yang solehah sepertimana didambakan, pastinya akan menghiasi
syurga dalam rumah tangga. Namun begitu terdapat hadis Nabi yang
menyatakan bahawa ramai dalam kalangan wanita yang menghuni neraka ALLAH
disebabkan perkara-perkara yang dilakukannya.
Isteri tidak hormat suami?
Dalam peristiwa solat gerhana matahari, Nabi Muhammad SAW dan
sahabatnya melaksanakan solat tersebut dalam tempoh waktu yang panjang.
Rasulullah SAW diperlihatkan oleh ALLAH keadaan syurga dan neraka.
Ketika Baginda SAW melihat neraka, maka Baginda SAW bersabda kepada
sahabatnya: “Aku diperlihatkan keadaan neraka yang mana aku tidak pernah
melihat pemandangan seperti ini, aku melihat kebanyakan penghuninya
adalah terdiri daripada kaum wanita. Lalu para sahabat bertanya:
“Mengapa berlakunya perkara sedemikian wahai Rasulullah SAW?”
Baginda SAW bersabda: “Ia disebabkan oleh kekufuran yang telah dilakukan oleh mereka.”
Kemudian sahabat bertanya lagi: “Adakah mereka kufur kepada ALLAH?”
Baginda SAW menjawab: “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur
terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah
seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat
sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) pasti dia akan berkata: ‘Aku
tidak pernah melihat sedikit pun kebaikan yang ada pada dirimu.’ ”
(Riwayat Bukhari)
Eksekutif Hal Ehwal Islam, Jabatan Hal Ehwal Islam dan Penerbitan
al-Quran, Kumpulan Media Karangkraf, Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil
berkata, merujuk kepada hadis tersebut, Nabi SAW menyatakan kepada kita
bahawa ramai penghuni neraka terdiri dalam kalangan wanita.
“Sebab utamanya ialah, kebanyakan wanita atau isteri yang mengingkari
perintah suami. Ini termasuklah derhaka kepada suami, tidak mengikut dan
menurut perintah suami, serta meninggikan suara ketika berbicara dengan
suami. Perkara-perkara sedemikian sebenarnya yang menyumbang dan
menempah tiket untuk ke neraka. Mungkin perkara ini telah menjadi
kebiasaan di dalam masyarakat kita tanpa kita sedari.
“Sebagai contoh, apabila seorang wanita mempunyai kedudukan yang tinggi
dalam sesuatu organisasi, pendapatan jauh lebih lumayan daripada suami
sedangkan suami hanya pekerja am biasa serta mempunyai gaji yang
cukup-cukup makan sahaja, maka segalanya akan lebih terbeban pada wanita
atau isteri. Bil-bil, sewa rumah, kereta, perbelanjaan harian serta
anak-anak semuanya banyak ditanggung isteri berbanding suami,” katanya
kepada Rehal.
Menurutnya, di sinilah penghormatan kepada suami akan berkurangan, jika
timbul perselisihan faham, isteri akan mengungkit apa yang telah
dilakukannya dengan meninggikan suara terhadap suami. Paling teruk pula
apabila menceritakan perihal dan keaiban suami kepada mereka yang tidak
sepatutnya mengetahui perihal rumah tangga kita.
Mudahnya wanita ke syurga
Sebenarnya, bagi wanita yang menjadi isteri hanya empat syarat untuk
mereka ke syurga. Sebagaimana hadis daripada Anas bin Malik, Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan solat
lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatan serta taat
kepada suami, maka dia akan diberi pilihan oleh ALLAH untuk masuk ke
dalam syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Riwayat Ahmad)
“Wanita atau isteri hanya boleh mengingkari perintah suami apabila
suruhan tersebut membawa kepada keburukan, kejahatan, bahaya atau
maksiat kepada ALLAH. Suruhan ini sama sekali tidak wajib dipatuhi oleh
isteri dan tidak berdosa jika tidak melakukannya. Sebagai contoh suami
yang pemalas, menyuruh isterinya mencuri atau merompak dan lebih malang
menjual diri bagi mendapatkan kewangan untuk hidup.
“Apabila seorang suami melarang isterinya menunaikan solat dan membuka
aurat sedangkan suruhan solat serta menutup aurat ini adalah perintah
wajib daripada ALLAH. Suami sebegini dilihat dayus dan tidak ada tempat
untuknya di syurga ALLAH jika tidak segera bertaubat,” kata Ustaz Amiro
lagi.
Menurutnya, sekiranya perintah suami itu membawa ketaatan kepada ALLAH
pastinya wajib untuk isteri melaksanakannya walaupun dalam keadaan
terpaksa.
Apabila kita menyingkapkan ayat al-Quran terdapat ayat yang
menceritakan mengenai kisah wanita yang kufur kepada suami mereka
sedangkan suaminya beriman kepada ALLAH.
Juga terdapat wanita yang beriman kepada ALLAH di saat suaminya pula
yang kufur kepada ALLAH dan Dia berfirman: “ALLAH mengemukakan satu
perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang
kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak
beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan
isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba
yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati);
dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka
kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan
sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) ALLAH, dan (sebaliknya)
dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu
berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)”.
Jelaslah di sini bahawa iman langsung tidak dapat diwarisi. Walaupun
suami seorang yang beriman, bahkan nabi sekalipun, belum tentu isterinya
beriman kepada ALLAH. Sementelah lagi, jika suami itu tidak beriman
kepada ALLAH.
Sirah Nabi ada menyatakan, sejahat dan sezalim firaun sekalipun, belum
tentu isterinya mengikut jejak langkah suaminya. Itulah aturan ALLAH
Maha Bijaksana. Marilah kita berusaha untuk menjadi seorang suami,
isteri atau anak yang soleh agar syurga ALLAH menjadi milik kita
insya-ALLAH.