Sunday, September 8, 2013

Durian Malaysia gemparkan Sydney


Durian


MELBOURNE - AUSTRALIA. Petugas keselamatan dan kecemasan bangunan di Sydney menjadi gempar berikutan ketibaan durian di Harbour City kerana menyangka
tempat itu mengalami kebocoran saluran gas apabila terhidu bau yang pelik.
  
Mujurlah petugas pertanian Malaysia berjaya meyakinkan mereka bahawa bau yang mereka terhidu itu sebenarnya adalah bau durian, bukan gas.
  
Pengarah pertanian di Konsulat Malaysia Muhammad Rudy Khairudin Mohd Nor berkata 'bau gas' yang mereka terhidu itu berlaku apabila petugas pertanian Malaysia membuka 10 pek durian 'Musang King' dan 'D24' pada 2 petang untuk urusan ujian makmal di pejabat CBD mereka di Sydney.
  
"Bau durian yang kuat itu memasuki sistem pengalih udara dan merebak ke pejabat lain yang terletak di sebelah pejabat kami di tingkat 15 Bangunan Market St.
  
"Petugas di pejabat bersebelahan, semuanya orang kulit putih, menjadi gempar kerana menyangka berlaku kebocoran saluran gas...mereka menghubungi unit kecemasan. Dalam hanya beberapa minit, semua penghuni di tingkat itu dipindahkan," katanya.

Muhammad Rudy berkata petugas keselamatan dan kecemasan bergegas ke tingkat 15 untuk menyiasat dan setelah agak berputus asa, mereka menghubungi pihak konsulat untuk mendapatkan jawapannya.
  
"Kami menjelaskan bahawa bau itu sebenarnya bau durian. Para pegawai berkenaan terperanjat dan hairan kerana baunya seperti gas. Bagaimanapun, mereka yakin dengan penjelasan yang diberi setelah kami tunjukkan kepada mereka buah berkenaan dan baunya," kata beliau.
  
Muhammad Rudy berkata tiga pegawai teknikal Australia kemudian terhidu bau yang sama tiga jam kemudian: "Mereka membuat pemeriksaan di seluruh pejabat untuk memastikan ia bukan berpunca daripada kebocoran saluran gas."
  
Untuk mengelak lebih banyak salah faham, pihak konsulat memindahkan durian berkenaan dan urusan ujian makmal ke Malaysia Hall Australia.
  
"Tiada siapa yang bersungut. Malah, baunya disukai para pelajar Malaysia...yang mungkin begitu rindu dengan bau itu sejak sekian lama. Pernahkah sesiapa menyangka mengeksport durian ke Australia merupakan urusan yang begitu mencabar?," katanya.
  
Sementara itu, lepasan sekolah La Salle Malaysia di Melbourne merancang untuk menganjurkan Pesta Durian Lasallian November ini, mungkin di kawasan pembangunan eksklusif SP Setia di St Kilda Road.
  
Walaupun durian amat popular di Sydney, namun buah istimewa ini belum mendapat perhatian di Melbourne, yang mempunyai 70,000 rakyat Malaysia selain 9,000 pelajar. - Bernama

Pirana gemar kemaluan lelaki


Pirana Pacu    

Pirana Pacu mempunyai struktur gigi menyamai manusia.

MUZIUM Sejarah Denmark memberi amaran kepada orang ramai supaya mengenakan pakaian mandi ketika berada di Perairan Nordic bagi mengelakkan menjadi mangsa serangan ikan pirana yang tiba-tiba muncul di kawasan perairan tersebut sejak minggu lalu.

Ikan Pirana spesies Pacu itu dikatakan hanya menyerang mangsa di bahagian kemaluan terutama golongan lelaki.

Menurut pengkaji muzium, spesies ikan itu banyak ditemui di kawasan Oresund Sound, di luar pantai selatan Sweden.

“Ramai mangsa ditemui mengalami kecederaan serius di bahagian kemaluan selepas digigit ikan berkenaan berbanding anggota badan lain,” katanya.

Menurut Daily online, beliau berkata, ikan itu mempunyai saiz gigi mendatar sama seperti gigi manusia yang mempunyai elemen menggigit dan mengunyah.

“Kebanyakan ikan itu bersaiz 21 sentimeter (sm) panjang.

Minggu lalu, dua nelayan maut selepas digigit ikan berkenaan. Selepas bedah siasat, kami mendapati kemaluan mangsa cedera digigit ikan tersebut,” katanya.

Menurut kajian, ikan tersebut boleh mencecah saiz 90sm panjang dan berat sehingga 25 kilogram.

Thursday, August 29, 2013

Baru kenal sudah ajak ke bilik



khalwat  
Pegawai penguat kuasa memeriksa pasangan berkenaan yang ditahan berada dalam keadaan mencurigakan.

BATU PAHAT – Niat pasangan kekasih untuk memadu asmara tidak kesampaian selepas ditahan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dalam serbuan di sebuah rumah tumpangan dekat sini, semalam.

Dalam serbuan jam 2 pagi itu, pasangan berusia 25 dan 22 tahun terbabit ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai ikatan perkahwinan.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Jaij Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pasangan terbabit mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membuka pintu dipercayai memikirkan cara bagi mengelak ditahan.

“Selepas pintu dibuka, hasil soal siasat mendapati mereka bukan mahram dan mengaku telah melakukan perbuatan yang salah.

“Pasangan terbabit berasal dari daerah ini dan mengaku baru sahaja berkenalan tidak sampai sebulan serta dalam proses mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Menurutnya, pasangan terbabit di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk proses selanjutnya sebelum mereka dituntut oleh waris masing-masing.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 27 (1) (a) (b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Johor 1997.

“Operasi yang dilakukan ini bertujuan membendung kegiatan sumbang yang kian menular dalam kalangan anak-anak muda yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

“Operasi seperti ini akan dilakukan lebih kerap lagi, dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel bajet dan kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti ini,” katanya.

Jutawan blogger bapa ayam ditahan


BEIJING - CHINA. Pihak berkuasa China menahan seorang jutawan blogger berketurunan China-Amerika yang didakwa melibatkan diri dengan aktiviti pelacuran di Beijing, kelmarin.

Charles Xue, yang mempunyai 12 juta pengikut di laman blognya, Venture capitalis Xue, ditahan susulan peningkatan kawalan pengguna laman web sejak minggu lalu.

"Beliau didakwa melibatkan diri dengan aktiviti perniagaan pelacur," kata polis. - AFP

Dimalukan angkara mencuri


HUBEI - CHINA. Seorang lelaki digantung selama lima jam di tepi jalan raya  akibat mencuri di sebuah apartmen di Wuhan, wilayah Hubei, China, kelmarin.

Menurut pegawai,  suspek, 34 tahun ditahan ketika cuba memanjat keluar dari tembok bangunan itu.

Foto menunjukkan, kedua-dua tangan dan lehernya diikat pada tembok setinggi enam meter bersama barangan yang dicuri.

Lapor media tempatan, antara barangan yang dicuri adalah iPad, dua utas jam tangan, dua buah telefon bimbit dan sebuah komputer riba. - MailOnline

Curi gerudi, bapa tembak anak


NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Seorang bapa nekad menembak anak lelakinya kerana ditangkap mencuri di salah sebuah kedai keperluan dan peralatan rumah, semalam.

Remaja berusia 17 tahun itu mengalami luka di bahagian perut selepas ditembak.
 
Laporan news.com.au yang dipetik berkata, remaja berkenaan, Quasaun Smalls telah mencuri satu mata gerudi dari Home Depot di Long Island City.
 
Menurut laporan, kejadian bermula apabila bapa mangsa, Robert Smalls, 39, menjadi berang apabila mengetahui anaknya dilepaskan oleh pihak polis dan hanya menerima "desk apperance ticket" iaitu notis peringatan bertulis untuk hadir ke mahkamah tempatan atas kesalahan yang dilakukan.
 
Sedangkan, bapa mangsa mahu anaknya 'menginap' semalaman di dalam penjara sebagai pengajaran.
 
Dek kerana tidak berpuas hati, ketika mangsa kembali ke rumah keesokkan harinya, berlaku pertengkaran antara kedua beranak itu.
 
Pertengkaran itu berakhir apabila si bapa yang juga bertugas sebagai seorang warden penjara mengeluarkan pistol 9mm miliknya lalu menembak anaknya.
 
Menurut laporan itu juga, jiran turun mengakui mendengar suara teriakan yang diikuti dengan bunyi tembakan.
 
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital dan bagaimanapun, mangsa dilaporkan stabil dan akan pulih segera.
 
Sementara itu, bapa mangsa terus menghubungi pihak polis sebaik menembak anaknya dan ditahan untuk tindakan selanjutnya.
 
Bapa mangsa didakwa kerana menyerang dan memiliki senjata api.

Mata kanak-kanak kena korek


Mata kanak-kanak kena korek  
Mangsa dipercayai diberi dadah dan berada dalam keadaan tidak sedar ketika matanya dikorek.

BEIJING - CHINA - Seorang kanak-kanak berumur enam tahun di wilayah utara Shanxi berpotensi cacat penglihatan seumur hidup akibat perbuatan kejam individu tidak berperikemanusiaan.
Isnin lalu, media melaporkan Guo ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan matanya turut dikorek selepas dilaporkan hilang ketika sedang bermain di luar kawasan rumahnya.
Menurut laporan AFP, sebelum ini, beberapa pihak membuat spekulasi bahawa mangsa mungkin diserang ahli sindiket penjualan organ selepas kornea matanya dilaporkan hilang.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memberitahu bahawa kornea tersebut telah ditemui, namun mereka belum memberi sebarang butiran lanjut berhubung perkara itu.
"Siasatan masih dilakukan untuk mengetahui motif sebenar perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan ke atas mangsa," kata jurucakap polis Fenxi.
Difahamkan, polis turut menawarkan ganjaran 100,000 yuan (RM54,000) kepada pemberi maklumat yang membawa kepada penahanan suspek dipercayai seorang wanita.
Menurut bapa saudara Guo, doktor merancang menggunakan implan mata ke atas anak saudaranya selepas mangsa sembuh.