Tuesday, October 8, 2013

Amah minum air kencing sendiri


NEW DELHI - INDIA. Seorang amah diselamatkan anggota polis selepas mendakwa didera majikan di sini, semalam.

Pegawai polis berkata kepada AFP, pembantu rumah itu dipaksa meminum air kencingnya sendiri dan badannya ditekap dengan kuali panas.

“Remaja itu diseksa majikannya, seorang wanita berusia 50 tahun warga tempatan bekerja di syarikat multinasional Perancis.

Hasil maklumat jirannya, kami menyerbu ke kediaman mangsa untuk menyelamatkannya,” katanya.

Sementara itu, remaja terbabit mendakwa, dia juga dipukul dengan penyapu dan dipaksa berbogel di dalam bilik air sebelum menyimbahnya dengan air panas.

Thursday, October 3, 2013

Najis panda hasil bahan api


Najis panda hasil bahan api

WASHINGTON - AS. Sepasang panda di Zoo Memphis menyumbang sisa buangan untuk tujuan penyelidikan bagi pembangunan biofuel.

Penyelidik Universiti Mississipi, Ashli Brown mengetuai kajian itu berkata, mereka cuba mengalihkan penghasilan biofuel daripada menggunakan bahan makanan seperti jagung.

"Kami menemui lebih 40 mikrob dalam najis panda yang sebenarnya mungkin penyelesaian kepada pencarian sumber tenaga baru.

"Penghasilan biofuel daripada sisa tumbuhan lebih mudah dan murah," katanya dipetik Daily Mail.

Menurutnya, etanol daripada jagung adalah alternatif bahan api terbaik di Amerika Syarikat, bagaimanapun ia dikhuatiri akan meningkatkan harga makanan atau membawa kepada kekurangan makanan jika penggunaan kacang soya dan jagung digunakan secara meluas.

Budak 6 tahun menari breakdance


Budak menari breakdance  
Sebahagian daripada gerakan tarian breakdance oleh Dachiya yang mampu memukau penonton.

PARIS - PERANCIS. Seorang kanak-kanak perempuan enam tahun berjaya memukau penonton dari serata dunia dengan kemahiran tarian breakdance yang menakjubkan.

Dachiya Atkinson atau B-Girl Terra mula menjadi sensasi di internet awal tahun lalu selepas rakaman persembahannya di sebuah pertandingan tarian di Paris ditonton oleh lebih 2.8 juta orang dalam tempoh hanya lima hari.

Selepas itu, penampilan Dachiya sekali lagi mengejutkan penonton dalam rancangan The Ellen Show dan dia turut muncul dalam muzik video Platoon oleh penari Britain, Jungle.

Klip video tersebut telah dimuat naik di pelbagai laman media termasuk YouTube dan berjaya menarik lebih 100,000 jumlah tontonan.

Ibunya, Jennifer Hollyak, 27, berkata, anaknya itu mula belajar berjalan ketika berumur sembilan bulan.

"Dachiya telah melakukan aksi handstands  dan berpusing menggunakan kepala semasa berumur tiga tahun," katanya.

Difahamkan, walaupun dikurniakan bakat luar biasa, Dachiya tetap berperwatakan sama seperti kanak-kanak perempuan lain yang suka bermain dengan anak patung, laporan dipetik dari DailyMail.

Rumah mudah alih


Rumah mudah alih  
Rumah Casa Transportable APH80 ini menggunakan konsep hiasan dalaman mewah.

MADRID - SEPANYOL. Jika dilihat sekali imbas, ia kelihatan seperti sebuah bangsal logam biasa.

Bagaimanapun, ia sebenarnya adalah sebuah rumah kecil mudah alih dilengkapi ruang tamu dan bilik tidur berkonsepkan hiasan dalaman mewah serta boleh didirikan dalam tempoh 24 jam.

Rumah digelar Casa Transportable APH80 berukuran tiga meter tinggi itu direka oleh sebuah syarikat seni bina di Sepanyol.

Ia dibina menggunakan bahan kitar semula dan hanya mengambil masa enam minggu untuk disiapkan.

Difahamkan, rumah kecil itu lebih selesa jika didiami tidak melebihi daripada dua orang dalam satu masa.

Menurut syarikat hiasan dalaman Batavia, walaupun bahagian luar rumah itu kelihatan suram, hiasan dalamannya tidak menghampakan kerana menggunakan papan berkualiti dan tidak menimbulkan alahan kepada pemiliknya, laporan dipetik dari DailyMail.

Ular gemparkan penumpang


Ular gemparkan penumpang  
Ular spesies Mandarin Rat Snake ini ditemui di kabin penumpang.

CRANBERRA - AUSTRALIA . Seramai 370 penumpang pesawat Qantas Boeing 747 terpaksa bermalam di Sydney selepas penerbangan dibatalkan susulan penemuan seekor ular di dalam pesawat itu.

Qantas Airways dalam satu kenyataan melaporkan, ular berukuran 20 sentimeter spesies Mandarin Rat Snake itu ditemui di kabin penumpang sebelum pesawat terbabit berlepas ke Tokyo dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney.

"Keseluruhan pesawat diperiksa bagi memastikan tiada ular lain terdapat di dalam kabin tersebut," menurut kenyataan AP.

Sementara itu, Jabatan Pertanian memaklumkan, reptilia itu boleh membesar sehingga 1.2 meter dan boleh mendatangkan bahaya kepada manusia.

Hilang zakar kerana Viagra


COLOMBIA - Gara-gara mengambil dos Viagra secara berlebihan untuk menarik perhatian teman wanitanya, seorang bekas ahli politik menerima padah selepas doktor terpaksa memotong zakarnya.

Hasil pemeriksaan doktor di sebuah hospital di Neiva mendapati zakar bekas ahli politik dari Gigante berumur 66 tahun itu telah patah dan mengalami keradangan.

Difahamkan, prosedur itu terpaksa dilakukan kerana mangsa mengalami ereksi selama beberapa hari akibat ubat kuat tersebut.

Doktor juga mengesahkan keadaan kesihatan lelaki tersebut semakin pulih selepas menjalani pembedahan itu, dipetik dari laporan DailyMail.

Bekas perompak, penagih insaf


Bekas perompak, penagih insaf

SIKAP perompak yang insaf dan memulangkan kembali wang hasil rompakan sememangnya jarang terjadi dan harus dicontohi.

Meskipun kejadian berlaku lebih 12 tahun lalu, namun dia nekad mengembalikan wang yang dirompak dalam usahanya untuk kembali membetulkan kesilapan yang telah dilakukan sekali gus membuka lembaran baru dalam hidupnya.

Walaupun tidak berdepan secara bersemuka dengan pemilik wang, tindakan bekas perompak itu meninggalkan sampul surat berisi nota tulisan tangan meminta maaf dan wang AS$400 (RM1,300) harus dipuji.

Dalam notanya, bekas perompak itu menjelaskan, dia tidak lagi mengambil dadah dan mahu membetulkan kesilapan terhadap mereka yang pernah disakitinya.

Pewaris kedai runcit InterAsian Market & Deli di Nashville, Amerika Syarikat Somboon Wu berkata, walaupun tidak mengenali lelaki itu, tetapi dia ingin masyarakat tahu lelaki itu perlu diberikan peluang kedua.

“Kami berasa terharu dengan sikap bekas perompak ini. Dia perlu dipuji  kerana telah insaf. Tindakannya itu memberi inspirasi kepada bekas perompak yang senasib dengannya. Kepada lelaki ini, kami ingin memberitahu, anda telah dimaafkan. Semoga anda mendapat ketenangan dan kemakmuran dalam hidup,” katanya pada laporan Daily Mail

Wu dan bapanya Keosavanh Xayarath memuat naik gambar nota itu di laman Twitter dan Instagram dengan keterangan: “Kami telah dirompak kira-kira 11 atau 12 tahun lalu. Hari ini kami terkejut menerima nota ini daripada perompak yang mengembalikan semula wang tunai".

Wu menerima kedatangan seorang lelaki tidak dikenali awal bulan lalu yang berkeras menyuruhnya menerima sampul surat. Tanpa diketahui, lelaki itu adalah lelaki sama yang melakukan rompakan bersenjata dan melarikan wang lebih AS$300 (RM980) lebih sedekad lalu.

Pak belang tinggal serumah


Pak belang tinggal serumah 
 Borges bersama seekor daripada harimau peliharaan di Sao Paulo.

SAO PAULO - BRAZIL. Sebuah keluarga pencinta haiwan sanggup tinggal serumah dengan tujuh harimau seberat kira-kira 222 kilogram di Maringa, Brazil.

Ary Borges berkata, beliau mula memelihara haiwan pemangsa itu selepas menyelamatkan dua harimau dari sarkas lapan tahun lalu.

"Saya tidak bimbang membiarkan anak dan cucu bermain dengan harimau ini. Kita perlu tunjukkan rasa sayang dan hormat kepada haiwan itu supaya ia lebih jinak," katanya pada Daily Mail.

Menurutnya, selain membenarkan harimau itu bebas, mereka juga melakukan aktiviti riadah bersama.

"Saya terpaksa mengawal pembiakannya selepas pihak berkuasa mengehadkan permit pemilikan," katanya.

Beliau berkata, keluarganya kini dalam perancangan membina taman eko seluas 17 hektar untuk melakukan program pembiakan.

Bosan di kuliah, pelajar lukis di peha sendiri


Bosan di kuliah, pelajar lukis di peha sendiri

FLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Jodi Steel menghilangkan rasa bosan dalam bilik kuliah dengan cara unik.

Gadis kelahiran Florida ini bakal melukis pehanya sendiri semasa menunggu kuliah pensyarahnya berakhir.

Sebaik pulang ke rumah, Steel akan memuatnaik gambar itu di blognya dan memadamkannya lukisan di pehanya.

Uniknya, lukisannya itu menghasilkan gambar-gambar yang mengagumkan dan membuatkan ramai pelawat ke blognya.

Malahan beberapa gambar 'hasil seninya' yang sering mendapat perhatian adalah seperti wajah pelakon dan seniman seperti Joseph Gordon-Levitt serta vokalis Radiohead, Thom Yorke sehingga ke gambar gajah dan kucing.

“Selalunya, orang memang berharap karya seninya dilihat orang tetapi saya sendiri tak berfikir bahawa gambar-gambar ini akan menjadi perhatian orang,” katanya seperti yang dipetik dari Daily Mail.

Presiden Iran dibaling kasut


Presiden Iran dibaling kasut  
Kasut yang dibaling ke arah Hassan dilaporkan tersasar dan gagal mengenai beliau.

TEHERAN - IRAN. Kereta yang membawa Presiden Iran Hassan Rohani telah dibaling kasut oleh individu tidak dikenali ketika beliau meninggalkan Lapangan Terbang Mehrabad selepas kembali dari menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, semalam.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan kasut tersebut gagal mengenai beliau yang ketika itu sedang melambaikan tangan ke arah penyokongnya.

Kejadian itu dipercayai berlaku berikutan sekumpulan penunjuk perasaan berang kerana Hassan berbual selama 15 minit bersama Presiden AS Barack Obama untuk pertama kali, malam kelmarin selepas hubungan antara kedua-dua negara terbabit dilaporkan dingin sejak lebih 30 tahun lalu.

Khamis lalu, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif turut mengadakan pertemuan bersama wakil beberapa negara termasuk Setiausaha Negara AS, John Kerry untuk berbincang mengenai program nuklear yang dibangunkan negara tersebut.

Difahamkan laporan dipetik dari AFP, bekas Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad juga pernah menerima nasib yang sama ketika beliau mengadakan lawatan ke Mesir, awal tahun lalu.

Memandu boleh rosakkan ovari?


Memandu boleh rosakkan ovari?  
Memandu didakwa boleh beri kesan sampingan kepada golongan wanita.

RIYADH - ARAB SAUDI. Seorang ulama terkemuka di Arab Saudi mendakwa bahawa memandu boleh memberi kesan sampingan kepada golongan wanita termasuk merosakkan ovari selain menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah klinikal.

Jumaat lalu, dalam satu wawancara yang dipaparkan di dalam laman sesawang sabq.org, Sheikh Saleh al-Lohaidan turut menyokong hujahnya itu bersama dengan kajian perubatan yang menunjukkan perbuatan memandu sebenarnya memberi kesan secara terus kepada ovari selain menolak pelvis ke atas.

"Perkara ini dapat dilihat dengan jelas kerana wanita yang memandu secara kerap biasanya akan mempunyai anak yang mengalami pelbagai masalah klinikal," jelasnya menurut laporan Reuters.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu susulan daripada tindakan beberapa aktivis yang mengadakan kempen baru untuk membantah larangan tersebut pada 26 Oktober depan.

Caesar teman setia pesara


Caesar teman setia pesara  
Weller menghabiskan masa bersama Ceaser di rumahnya.

KENT - ENGLAND. Seorang pesara, Chris Weller, 66, sanggup tidur di loteng dan membelanjakan lebih 23,000 pound  (RM120,000) untuk mengubah suai rumah banglo di Rochester, Kent, Britain bagi menempatkan seekor buaya peliharaannya.

Weller yang pernah berkhidmat lebih 40 tahun di penjara Rochester menukar tingkat bawah rumahnya dan membina sebuah kolam untuk dijadikan habitat reptilia itu untuk berkeliaran.

Menurut Weller, buaya digelar Caesar dibeli enam tahun lalu ketika panjangnya masih kurang 0.3 meter untuk dijadikan sebagai teman.

"Kini ia berusia tujuh tahun dengan panjang lebih 1.6 meter. Spesies ini boleh hidup sehingga 40 tahun dan panjangnya boleh mencecah lebih 2 meter.

"Caesar adalah peneman paling rapat, dan kami akan menghabiskan hampir setiap masa bersama pada setiap hari dengan menonton televisyen dan mendengar radio," katanya, laporan dipetik dari DailyMail.

Lelaki paling pendek di dunia


Lelaki paling pendek di dunia 
 Master Nau mempunyai ketinggian 41sm.

KATHMANDU - NEPAL. Seorang warga emas sanggup pergi ke Kathmandu bagi menunaikan hasratnya untuk diiktiraf dalam Rekod Dunia Guinness sebagai lelaki paling pendek di dunia.

Master Nau, 73, dari Bhairahawa mempunyai ketinggian 41 sentimeter (sm).

Anak saudaranya, Seema Sheikh berkata, kehadiran Nau disambut meriah media dari pelbagai agensi.

"Master Nau gemar melancong dan suka berkongsi tentang kehidupan hariannya," katanya.

Difahamkan, rekod manusia paling pendek di dunia ketika ini dipegang seorang lelaki warga Nepal, Chandra Bahadur Dangi, 74, dengan ketinggian 54.6sm, laporan dipetik dari AP.

Budak maut disambar buaya


MEXICO - Seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun meninggal dunia selepas dibaham buaya yang muncul di kampungnya selepas ribut tropika Ingrid dan Manuel membadai selatan negara itu.

Jurucakap Pegawai Perlindungan Alam Sekitar dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 28 ekor buaya ditangkap di bandar itu sejak dua minggu lalu, laporan dipetik dari AFP.

"Ketika kejadian, kanak- kanak malang itu sedang bermain di sungai di selatan negeri Oaxaca bersama abangnya berusia 13 tahun sebelum buaya sepanjang empat meter menyambar kepala dan mengheret mangsa.

"Buaya itu ditangkap dan kini diletakkan di taman negara di bawah perlindungan pengawal pantai Oaxaca," katanya.

Tikus gergasi ditangkap


Tikus gergasi ditangkap  
Tikus menjadi hidangan penduduk di Hunan.

HUNAN - CHINA.Seekor tikus gergasi seberat lebih lima kilogram ditangkap petani Cina di Shaoyang, Hunan, China.

Tikus seberat 10 kali ganda daripada tikus biasa itu pertama kali dikesan selepas memakan ikan seberat tiga kilogram dari sebuah kolam di kampung Shaoyang yang selama ini mengganggu ketenteraman penduduk kampung.

Menurut media tempatan, selepas dibunuh petani menghadapi kesukaran untuk menyiangnya kerana kulit dan tulang yang tebal.

"Dua bilah pisau patah semasa mereka cuba memasaknya," menurut laporan itu kepada Daily Mail.

Tikus merupakan makanan tradisional di Guangdong, selatan China dan dipercayai tiga kali lebih berkhasiat berbanding ayam.

Mr Bean sudah peluk agama Islam?

Rowan Atkinson 



 Rowan Atkinson

BERITA ini mungkin akan mengejutkan dunia hiburan seluruh dunia.

Sebentar tadi, melalui sebuah portal berita yang dipetik dari Islampos.com dan laman web Sadalbadi.com melaporkan bahawa selebriti yang popular dengan watak lucu Mr Bean iaitu Rowan Atkinson, dipercayai telah memeluk agama Islam baru-baru ini.

Menurut laman web berkenaan, Rowan dipercayai terbuka hati untuk memeluk agama Islam selepas menonton filem Innocent of Muslim.

Melalui sebuah portal berita dari Indonesia pula, mereka memberitahu, “Mr Bean tak berbicara banyak ketika ditanya media, hanya mengangkat jari saja sebagai isyarat dia bersyahadat."

Menurut beberapa sumber portal media, Sheikh Rashid Ghannousyi, adalah salah seorang pembimbing Mr Bean.

"Banyak yang memberi selamat kepadanya di sepanjang jalan” – dipetik dari Islampos.com.

Sehingga kini, masih belum dapat dipastikan lagi kesahihan berita ini.

Khabarnya, media-media barat masih belum menyiarkan lagi apa-apa berita mengenai Rowan Atkinson.